Wednesday, May 9, 2012

ANTARA DATARAN TAHRIR DAN DATARAN MERDEKA


Kenyataan  Media TERAS
9hb Mei 2012

ANTARA DATARAN TAHRIR DAN DATARAN MERDEKA

Teras Pengupyaan Melayu (TERAS)  berpendiran bahawa tanggapan perhimpunan Bersih 3.0 adalah untuk menggulingkan kerajaan adalah suatu manipulasi fakta yang sangat menghina kematangan rakyat.

Adakah terdapat  perbezaan antara niat perhimpunan rakyat di Dataran Tahrir dan Dataran Merdeka.?

Secara inti jelas tidak banyak beda. Iaitu intisarinya adalah untuk menuntut perubahan dari kezaliman regim yang menindas kebebasan rakyat kepada pemerintahan yang adil , dari pemerintah yang terus mahu memegang kuasa dengan cara penipuan dan menekan rakyat secara mengguna kuasa polis dan tentera kepada sistem yang demokratik , dari kepincangan salahgunakuasa untuk memperkayakan pemimpin dan kerabatnya kepada keadilan sosial untuk rakyat. Dari menyalahguna undang-undang untuk kelompok elit politik yang gila kuasa kepada mengembalikan kuasa rakyat untuk memileh pemimpin yang lebih beramanah.

Atas dasar itulah ulama di Mesir termasuk ulama berwibawa Dr Yusuf Qaradhawi menyertai perhimpunan . Adakah ulama tidak tahu bahawa mereka yang turun bersama jutaan rakyat di Dataran Tahrir bercambur baur antara pelbagai golongan yaitu yang Islamis , yang sekular , yang ateis , yang kafir , yang liberal ?

Kenapakah ulama- ulama di Mesir bergabung tenaga dan suara dengan pelbagai kelompok untuk bersatu menjatuhkan pemimpin yang didakwa dilantik sebagai pemimpin yang sah dalam sistem Mesir. Padahal pihak keselamatan di Mesir jauh lebih brutal dan mudharat yang akan dihadapi oleh rakyat juga sangat tinggi bila berhimpun di Dataran Tahrir.

Ketika ulama bersatu bersama Syeikh Yusuf Qaradhawi menyertai demonstrasi untuk revolusi Mesir, mereka bersepakat bahawa rakyat bukan setakat dibolehkan turun ke Datran Tahrir malah disemboyankan wajib bersama walaupun risiko untuk berlaku pertumpahan darah amat jelas. Pokoknya mereka mempunyai hadaf yang murni iaitu merubah regim yang zalim yang menindas dan menipu rakyat.

Di Dataran Merdeka hasrat rakyat adalah jauh lebih rasional iaitu untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tidak ada siapapun yang menimbulkan agenda mengulingkan kerajaan hanya dengan cara duduk dan bantah di Dataran Merdeka. Pernyataan mengulingkan kerajaan hanya datang dari mulut PM yang kemudian turut di iyakan sahaja oleh politikus parti dan penjaga jawatan untuk menyelamatkan periuk nasi.

Sebenarnya tidak jelas siapa yang memberi pengarahan serta siapa yang memimpin perhimpunan untuk rakyat menyatakan hasrat yang sama seperti yang berlaku di Dataran Tahrir.

Sangat naif mereka yang terlalu obses untuk mengatakan perhimpunan itu dianjur oleh seorang atau dua pengerusi. Akan tetapi pada hakikatnya ia datang dari suatu gelombang dalam sanubari rakyat yang sudah muak dengan muslihat dan manipulasi pihak yang berkuasa yang menggunakan taktik kotor dalam pilhanraya untuk menjaminkan kemenangan.

Rakyat sebenarnya tidak perlu menunggu arahan dari sesiapa. Cukup dengan satu kesapakatan untuk berhimpun dan menjelaskan apa yang dituntut , gelombang untuk berhimpun pasti akan terbina dalam memontum yang tidak dapat dibendung.

Sememangnya dalam gelombang itu pihak yang mempunyai jentera organisasi akan menggunakan jenteranya untuk hadhir bagi memberi pengarahan ditengah- tengah lautan manusia. Ada yang patuh dan ada yang tidak. Akan tetapi untuk mengatakan ada pemimpin yang mengarah dan merencana untuk tujuan menguling kerajaan sangat berbau manipulasi fakta , malah cuba merendah-rendahkan kematangan rakyat untuk berhimpun.

Jadi kenapa tiba tiba setelah perhimpunan rakyat dikucar kacir dengan provokasi yang dimulakan oleh pihak keselamatan sendiri dan berlaku kekacauan dan menunjukkan keganasan lebih banyak digerakkan oleh polis yang berpakaian seragam dan berpkaian 'Bersih' , dengan tidak semena- mena dikeluarkan pula sebuah fatwa.

Sementara kami menghormati fatwa yang dikeluarkan untuk memberi panduan kepada umat Islam , namun setelah jelas ramai rakyat awam yang tidak bersenjata dan wartawan yang hanya menjalankan tugas dibelasah dengan melampau oleh pihak polis , kami juga tertanya-tanya kenapa tiba- tiba sebuah fatwa dikeluarkan.

Padahal sebelum perhimpunan diadakan dan tuntutan rakyat dikumandangkan serta asas dan bukti dikeluarkan yang menunjukkan adanya penyelewengan berlaku dalam PRU , kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak bersidang untuk mengeluarkan fatwa?

Kami menuntut agar keadaan tersepit yang kini dihadapi oleh kerajaan tidak terus dikelirukan lagi dengan menghasilkan fatwa yang tidak mengambilkira keseluruhan sumber demi menjaga kehormatan Majlis yang bertanggungjawab memandu umat kepada kebenaran dan keadilan.

Mengabsahkan tindakan kerajaan hanya kerana mahu menjaga kepentingan jawatan tidak membantu untuk memandu umat Islam dan memperkukuhkan kedudukan Islam.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden TERAS

No comments: