Wednesday, May 9, 2012

Tali di leher


SPR, penyarungnya.
 
Bola sepak, seperti bola jaring atau pun hoki adalah permainan berpasukan.  Ertinya, ia bukan teka silang kata yang boleh dikerjakan dalam kamar tidur,  sendirian. Dalam permainan bola sepak, ada dua puluh dua manusia mengejar dan mengawal bola yang sebutir.  Dan katanya setiap manusia dalam padang itu memiliki dan didorongi oleh cita-cita yang SATU ― masing-masing bertekad  mau bolosi gawang lawannya.  Dalam padang yang sama, ada juga seorang manusia, biasanya berseragam hitam.  Dengan wisel di bibirnya, dia berlari ke sana ke mari, mengikuti setiap gerak bola.  Lelaki berwisel ini,  katanya tidak tahu apa-apa kecuali berlaku adil.  Untuk membantunya berlaku adil, lelaki berseragam hitam dan berkulum wisel ini perlu dibantu oleh dua orang petugas di garisan tepi ― di kiri dan kanan padang.  Merekalah pembawa bendera yang maha setia.

Ada yang memberitahu kita, lelaki berseragam hitam ini namanya SPR.  Kita tidak peduli siapakah namanya.  Ya, kita tidak peduli apakah dia itu MACC atau pun PKFZ.  Yang kita peduli,  dialah manusia yang telah dipilih oleh sebuah sistem untuk mengadili perlawanan musim ke – 13 nanti. Yang kita ambil peduli ialah hakikat bahawa di dalam stadium dan juga di luar stadium,  jutaan manusia telah lama memerhatikan segala gerak gerinya SPR.  Para penonton juga bersiap untuk turun sekali lagi walaupun PDRM berkali-kali memaklumkan yang mereka masih lagi memiliki segala peralatan ampuh canggih ― lori, trak, pembedil, meriam air kimia dan sebagainya.  Dan telatah SPR ini diperhatikan oleh sekian jutaan manusia di kaca tv.

Bagaimanakah SPR sembunyikan segala kerja buatnya sebagai pengadil jika ‘pengadilan’nya sentiasa diperhatikan?  Apakah SPR masih percaya penonton tidak berupaya melihat perbuatannya yang jelas berat sebelah?  Ya, itulah latar kemelut pertandingan musim ke-13.  Tingkah hodoh SPR itu masih jua membayangi setiap penonton. Mereka asyik bertanya:  Untuk pertandingan musim ke-13 nanti, apakah SPR tetap diturunkan lagi sebagai pengadil perlawanan?

Dan di luar padang sana ada APCO, Kutty et al yang tak pernah DIAM dan diam.  Sepanjang hayatnya, mereka merancang dan terus merancang perjalanan setiap gerakan perlawanan.  Kata penonton, mereka tak boleh membenarkan bola itu digiring ke gawang Putrajaya.  Membiarkan itu berlaku samalah seperti membenarkan penonton menyarungkan tali ― ke leher.  Tak mungkin, mereka terlalu sayangkan tali leher yang ada. 


No comments: