Dinsman (Artikel
317, 28/5)
Berdakwah di sana sini, tetapi…
Hari itu
sebenarnya bercakap tentang teater. Ada seminar mengenai pemikiran Sasterawan
Negara Noordin Hassan, di Dewan Bahasa dan Pustaka. Noordin Hassan ialah
Sasterawan Negara satu-satunya yang berkarya hanya di bidang teater. Dia tidak
menulis novel, tidak menulis cerpen (kecuali sebuah), tidak menulis puisi
(kecuali yang di dalam teaternya) dan hanya sesekali menulis esei. Antara karya
teaternya yang terkenal ialah Bukan
Lalang Ditiup Angin, Tiang Seri Tegak Berlima, 1400, Jangan Bunuh Rama-rama,
Sireh Bertepok Pinang Menari, Demi Zaiton, dan yang terakhir dipentaskan
ialah Di Mana Setangginya.
Sempena seminar
dua hari itu, sebagai acara penutupnya pada 23 Mei diadakan satu forum bertajuk
“Teater sebagai wahana seni atau dakwah?” Saya dijemput menjadi ahli panel
forum tersebut bersama S.M.Zakir dan Ismail Kasan. Tokoh pengkritik filem dan
pengarah teater terkenal A Wahab Hamzah menjadi moderatornya.
Teater sebagai
wahana seni atau dakwah? Memanglah, bagi saya teater bukanlah sekadar wahana
seni semata-mata. Di peringkat awal berkarya mungkin ia wahana seni, sebab pada
peringkat awal itu yang paling penting sekali ialah menghasilkan karya. Tetapi
setelah berjaya menghasilkan karya, kita perlu pula memikirkan pengisian karya
seterusnya. Ketika inilah penulis akan membentuk personaliti atau perwatakan
dirinya, melalui pemilihan bahan bagi mengisi karyanya.
Dan ketika inilah
teater tidak lagi semata-mata wahana seni buat saya. Teater juga adalah wahana
dakwah. Tetapi saya berasa kurang senang untuk melabelkan teater saya sebagai
teater dakwah. Juga teater Noordin Hassan, bukan teater dakwah. Seperti Noordin
sendiri telah menamakan teaternya sebagai Teater Fitrah – itu memang nama yang
cukup sesuai untuk teater Noordin Hassan. Teater Fitrah. Bukan teater dakwah.
Kenapa saya
kurang senang melabelkan teater saya, dan juga teater Noordin Hassan, sebagai
teater dakwah? Sebab saya tidak mahu kita terperangkap atau disalahfahami
dengan istilah yang telah disalahguna dan diguna secara berlebih-lebih itu.
Bukan sahaja istilahnya disalahguna dan diguna secara berlebihan, tetapi
gerakan dan aktiviti dakwah itu sendiri pun telah dilakukan secara
sewenang-wenangnya, secara berleluasa, hingga hilang kredibilitinya – atau
hilang bisa dan kesannya.
Hari ini negara
kita boleh dikatakan telah melimpah-limpah dengan dakwah. Barangkali mereka
hendak berlawan dengan hiburan, yang juga melimpah-limpah aktivitinya. Di mana
saja, ke mana saja, siang malam kita akan berjumpa dengan orang berdakwah.
Hingga televisyen pun ada beberapa stesyen yang seperti berlawan menyiarkan
rancangan dakwah. Dari satu segi, baguslah! ‘kan? Kerana dakwah memang dituntut
oleh Islam.
Tetapi apabila
memikirkan situasi dan realiti sosial dalam masyarakat kita hari ini,
kadang-kadang terlintas dalam fikiran saya – orang Islam ni tak ada kerja lain
kah? Asyik bercakap dan mengajar agama tak habis-habis, di merata-rata. Orang
agama lain tidak macam tu pun.
Mereka tidak
mengajar agama melalui televisyen seperti kita pun. Mereka tidak berceramah
agama di pejabat-pejabat seperti kita pun. Di kalangan mereka tak ada pun
tokoh-tokoh yang begitu ramai dikenali sebagai penceramah agama yang popular
dan masyhur namanya, seperti di kalangan kita masyarakat Islam.
Tetapi dalam masa
yang sama siapakah yang paling ramai menjadi penagih dadah? Siapakah yang
membuang bayi? Siapakah yang banyak mengambil rasuah? Orang-orang Islam kita!
Padahal kitalah yang paling banyak berdakwah.
Kenapa terjadi
begitu? Kenapa kesannya terbalik begitu?
Tempat ibadat
(solat) orang Islamlah yang paling banyak di negara ini. Di mana-mana pun ada
tempat solat. Bukan saja bangunan masjid dan surau ada di mana-mana. Bahkan di
setiap shopping complex, di setiap stesyen
petrol dan di setiap RnR lebuhraya – ada surau. Bagi penganut agama lain tidak
ada pun tempat “solat” mereka seperti itu.
Dan kitab suci
orang Islam (al-Quran) menegaskan bahawa solat itu mencegah daripada kejahatan
dan kemungkaran!
Tetapi kenapakah
realitinya tidak demikian? Di manakah salahnya orang Islam? Kita tidak boleh
mengatakan di manakah salahnya agama Islam. Kerana agama Islam tidak salah.
Yang salah ialah penganutnya, iaitu orang-orang Islam. Kita. Di manakah
salahnya kita?
Kebetulan seorang
kawan saya terlibat dengan satu kumpulan pengkaji yang baru selesai membuat
kajian mengenai tanggapan masyarakat Melayu di Selangor terhadap beberapa orang
tokoh agama yang sering “berdakwah” itu. Hasil kajian itu agak memeranjatkan.
Mereka didapati tidak menunaikan tanggungjawab mereka seperti yang sepatutnya,
atau seperti yang mereka sendiri dakwahkan.
Memang ini satu
perkara yang sangat menyedihkan. Sudah lama pun saya memikirkan perkara ini.
Tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk mengatasinya, atau menyelesaikannya. Maka
saya fikir tidak eloklah saya menyuarakannya begitu saja.
Tetapi dalam
forum Rabu lalu itu, walaupun mengenai teater, saya berasa enggan mengakui yang
saya berdakwah melalui teater; walaupun teater saya Menunggu Kata Dari Tuhan itu telah dipersembahkan dalam beberapa
masjid. Saya lebih selesa mengatakan bahawa teater saya adalah Teater
Perjuangan.
Dalam forum itu
juga timbul persoalan tidakkah teater juga satu hiburan? Maka saya tegaskan
bahawa saya juga enggan teater saya dianggap sebagai hiburan. Sebab apa? Sebab
kita sudah ada terlalu banyak hiburan. Hinggakan amalan berdakwah pun sering
juga dijadikan hiburan. Maka janganlah teater pun dijadikan hiburan.
No comments:
Post a Comment