Dinsman (Artikel
325, 2/7)
Menghindari rasuah cara TG Nik Aziz
Selama kira-kira
satu jam Tok Guru Nik Aziz memberi kuliah mengenai bagaimana kita boleh
menghindari atau menghapuskan rasuah dalam pentadbiran kerajaan sesebuah
negeri. Beliau berbuat demikian atas jemputan Kerajaan Negeri Selangor melalui
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, dan Seniman
Paksi Rakyat (Paksi). Kuliah disampaikan di dewan jubli perak, bangunan SUK,
Shah Alam, pada pagi Selasa 26 Jun 2012. Sekitar 700 orang kakitangan kerajaan
dan orang awam hadir.
Saya antara orang
yang menunggu dengan penuh debar untuk mendengar kuliah tersebut. Setahu saya
inilah kali pertama Tok Guru Nik Aziz bercakap secara rasmi mengenai tajuk
pentadbiran tanpa rasuah atau menghindari rasuah dalam pentadbiran, atas
anjuran rasmi sebuah kerajaan negeri. Saya percaya ada ramai lagi orang seperti
saya di kalangan hadirin pagi itu, yang menunggu untuk mendengar fatwa atau
formula Tok Guru Menteri Besar yang telah berjaya mentadbir negeri Kelantan selama
hampir 22 tahun dalam keadaan bersih daripada rasuah, walaupun terpaksa
menghadapi pelbagai fitnah dan tohmah.
Dan setelah
mendengar kuliah satu jam itu, saya tertanya-tanya pula, bagaimanakah tanggapan
seorang pentadbir profesional atau seorang pakar mengenai pentadbiran, apabila
mendengar kuliah TG Nik Aziz itu? Atau apakah itu di kalangan orang-orang
pentadbiran dan pengurusan dapat dianggap sebagai sebuah kuliah pentadbiran?
Mengapa saya
bertanya demikian? Sebabnya ialah saya mendengar kuliah itu hampir tak ada
bezanya dengan kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah TG Nik Aziz yang pernah saya
dengar sebelum ini. Mengenai iman kepada Allah dan hari akhirat. Mengenai Allah
sebagai pencipta alam ini dan pencipta manusia, juga pencipta seluruh sistem
kehidupan.
Mengenai beriman
kepada Nabi Muhammad saw sebagai Rasul atau utusan Allah untuk mengajar manusia
perkara-perkara yang tidak mampu dicapai oleh fikiran manusia. Mengenai diri
manusia yang terdiri darpada unsur-unsur ke arah kebaikan dan ke arah
kejahatan. Mengenai ‘starter’ di
dalam diri manusia yang hendak itu dan hendak ini. Mengenai polis tak mungkin
mengawal tingkah laku manusia. Mengenai agama sebagai pengawal nafsu jahat
manusia. Dan seterusnya.
Kuliahnya itu
umpama kuliah agama. Bukannya seperti kuliah pentadbiran yang biasa kita
dengar. Begitulah agaknya tanggapan kebanyakan orang. Dan memang begitu. Kuliah
yang diperkuatkan dengan hujah-hujah dari ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi
itu, tidak menghuraikan apa-apa mengenai sistem dan peraturan pentadbiran, atau
mekanisme bagi mengelakkan rasuah dan penyelewengan, misalnya.
Tidak ada
langsung istilah-istilah pentadbiran dan pengurusan yang biasa kita temui dalam
buku-buku pentadbiran dan pengurusan, dapat kita dengar dalam kuliah TG Nik
Aziz pagi itu. Yang kita dengar ialah istilah-istilah agama seperti beriman,
bertaqwa (atau rasa gerun dengan Allah), akhirat, nafsu, hati, fujur, ghaibiyat, dosa-pahala, halal-haram, pencipta, hamba dan
sebagainya.
Biasanya apabila
bercakap mengenai pentadbiran Kelantan, TG Nik Aziz atau pegawai-pegawai kanan
yang biasa atau terlibat dengan pentadbiran negeri Kelantan akan menyebut tiga
unsur utama, iaitu ‘Ubudiyah, Mas’uliyah dan Itqan. Tetapi entah mengapa pagi itu TG Nik Aziz tidak menyebutnya.
Barangkali dia terlepas perhatian kerana tidak membaca teks ucapannya (yang
kelihatan dibawanya), atau dia sengaja tidak menyebutnya kerana sebab-sebab
tertentu, tak tahulah.
Walau apapun,
pada keseluruhannya Wacana Ilmu mengenai buku “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi” karya Syed Hussein Alatas yang
panel pembicaranya terdiri daripada Dr Syed Husin Ali, Dr Shaharir Md Zain
(ganti Tan Sri Robert Phang yang tak dapat hadir), dengan moderator Syed Shahir
Syed Mohamud itu, sangatlah menarik.
Menarik bukan
kerana saya melihatnya dari sudut politik, bahawa Kerajaan Negeri Selangor mahu
belajar daripada Kerajaan Negeri Kelantan bagaimana cara menangani masalah
rasuah, seperti yang diucapkan oleh Dr Halimah Ali (Exco berkenaan), sambil
menyebut peruntukan RM15 juta disediakan untuknya. Itu pun menarik. Bukan tak
menarik. Tetapi lebih menarik lagi ialah saya melihatnya sebagai satu permulaan
daripada usaha untuk ‘memformulakan’ cara-cara pentadbiran TG Nik Aziz itu,
dengan melihatnya dari sudut teori dan sistem pengurusan dan pentadbiran moden.
Memang Kelantan
di bawah pentadbiran Islam cara TG Nik Aziz itu berjaya menghindari rasuah
selama hampir 22 tahun. Dan memang itu satu kejayaan besar. Lebih-lebih lagi
kalau difikirkan realitinya negeri Kelantan itu adalah sebahagian daripada
negara Malaysia, dan di Malaysia amalan rasuahnya adalah sangat membarah,
berleluasa dan sedang meruntuhkan pentadbiran yang dipimpin oleh Umno-BN itu.
Tetapi di luar
Malaysia terdapat juga beberapa buah negara yang berjaya menghindari rasuah,
dengan pentadbiran cara mereka, yang jauh berbeza dibandingkan dengan cara
pentadbiran Islam di Kelantan. Pertamanya, kerana mereka itu bukan orang Islam.
Ertinya bukanlah kerana Islam semata-mata maka kita boleh menghindari rasuah.
Dan di sudut lain pula kita menyaksikan banyak bukti yang menunjukkan bahawa
faktor Islam tidak boleh menjadi faktor yang berkesan bagi menghindari amalan
rasuah. Bahkan mungkin sebaliknya.
Maksudnya,
bukanlah satu perkara yang semudah itu untuk dirumuskan formula atau teorinya
mengapa pentadbiran Kelantan di bawah kepimpinan TG Nik Aziz berjaya
menghindari rasuah selama hampir 22 tahun itu. Ya memang Tok Guru sendiri telah
menghuraikannya selasa lalu, tetapi saya fikir huraiannya itu tidak menyentuh
semua perkara yang perlu disentuh. Lagipun terdapat perbezaan ‘set minda’ yang
mungkin menghalang pemahaman sebenar.
Maka saya melihat
wacana 26 Jun itu adalah sebagai permulaan kepada usaha yang patut berterusan,
bagi mendapatkan rumusan teori dan formula mengenai pentadbiran bebas rasuah. Cadangan
saya: satu wacana eksklusif di kalangan beberapa orang penting sahaja, untuk
membincangkan bagi merumuskan teori dan formula kejayaan TG Nik Aziz itu,
dilihat dari perspektif ilmu pengurusan dan pentadbiran moden.
No comments:
Post a Comment