Tuesday, August 28, 2012

Hanipa, terokai lagi hujah Hudud itu


Dinsman (Artikel 336, 27/8) 13
Hanipa, terokai lagi hujah Hudud itu

Betul Hanipa! Saya setuju dengan garis hujahan sdr dalam kolum Prima Facie 13 Ogos, berkenaan undang-undang Hudud dan penentangan Karpal Singh terhadapnya. Sdr kelihatannya tidak berputus asa dengan sikap keras dan tegar yang ditunjukkan oleh Karpal, bahkan sdr menunjukkan sikap yang sangat positif pula terhadap kemungkinan bagi Karpal untuk menerima kewajaran undang-undang Hudud, lambat laun, suatu hari nanti.

Keluaran berikutnya juga Hanipa masih meneruskan wacananya mengenai hudud. Tambah meriah lagi isu hudud ini dengan Nasharuddin yang meracau dan disambut Karpal itu. Tapi itu semua tidak menarik buat saya, apatah lagi dalam suasana Eidul Fitri. Wacana Prime Facie 13 Ogos itu lebih menarik.

Kali kedualah ini saya menulis dalam Wacana Budaya bagi menyokong tulisan Hanipa Maidin. Dia pakar dan fasih dan tahu serba-serbi selok-belok undang-undang. Ada hal-hal yang kita terpaksa berhenti kerana terasa sudah sampai ke sempadan dan tak boleh nak berhujah lagi, tetapi Hanipa masih boleh, dan dia tolong mengubah sempadan itu untuk kita.

Demikianlah saya percaya ramai orang sudah melihat tertegaknya pagar sempadan harapan untuk Karpal Singh menerima kewajaran atau bersetuju untuk undang-undang Hudud dilaksanakan di negara ini. Tak boleh nak berhujah lagi dengan dia. Pegangannya terhadap kewajaran undang-undang sekular begitu kuat sekali. Kita hanya boleh berharap pendirian DAP terhadap hukum Hudud akan berubah apabila Karpal Singh sudah tiada nanti.

Tetapi berbeza dengan Hanipa. Dia masih mempunyai hujah dan rasional yang dapat dikemukakannya lagi kepada Karpal. Menggunakan rasional dan dalil-dalil yang pernah diterima oleh Karpal sendiri, yang mungkin Karpal pun tidak menyedari hubungannya dengan kewajaran dalam undang-undang Hudud, seperti dia pernah membela seorang wanita Islam untuk berpurdah, dan juga membela Sukma Darmawan untuk dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Kata Hanipa: “Mungkin ramai yang tidak tahu semasa membela Sukma, Karpal pernah membangkitkan hujah di depan hakim Mahkamah Sivil supaya kes liwat Sukma dibicarakan di Mahmakah Syariah atas alasan kesalahan liwat adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hujah Karpal tersebut menunjukkan Karpal mengiktiraf kewujudan kesalahan jenayah liwat dalam Islam, sekaligus mengiktiraf Mahkamah Syariah untuk mengadili orang Islam yang dituduh dengan kesalahan tersebut.

“Justeru menggunakan hujah yang sama, Karpal sepatutnya melebarkan pengiktirafan beliau untuk kesalahan-kesalahan jenayah yang lain seperti jenayah zina, minum arak, qazaf, hirabah (merompak) dan jenayah murtad untuk diadili juga di Mahkamah Syariah.”

Demikianlah – paling pentingnya, saya melihat jalan yang diterokai oleh Hanipa Maidin itu. Masih ada jalan! Atau tetap ada jalannya! Hanya kita perlu terus meneroka, perlu mencari ikhtiar-ikhtiar baru, perlu mendapatkan alat-alat baru untuk menganjak sempadan lama.

Maka saya pun terfikir – apakah selama ini kita berusaha ke arah itu? Maksud saya, berusaha secara terancang dan berterusan meneroka kemungkinan-kemungkinan baru, strategi-strategi baru, agar dapat membuka minda, kefahaman dan kesedaran pihak-pihak yang selama ini menolaknya.

Dalam masa yang sama kita juga harus sedar bahawa penolakan terhadap Hudud itu juga adalah sebahagian daripada kempen dakyah dan fitnah pihak-pihak tertentu bagi memburukkan dan menempelkan warna negatif terhadap Islam keseluruhannya, di peringkat negara kita dan juga di peringkat dunia. Bukan sahaja dalam bab Hudud tetapi dalam hal-hal lain juga, termasuk seni-budaya dan hiburan.

Maka Hanipa patut meneruskan usaha ini. Bukan sekadar bersendirian, tetapi bersama dengan satu kumpulan yang pakar dalam bidang berkenaan, bagi meneroka strategi-strategi dan hujah-hujah baru ke arah membina kefahaman baru terhadap hukum-hukum Islam.

Barangkali istilah “hudud” itu sendiri mempunyai stigmanya, yang menyebabkan orang langsung berprasangka negatif terhadapnya. Maka kalau demikian barangkali istilah itu tidak perlu ditonjolkan dulu buat masa ini, sebaliknya kandungannya sahaja perlu diungkapkan secara beransur-ansur ke dalam sistem perundangan yang sedia diterima umum. Barangkali.

Cara dan pendekatan yang diambil oleh Hanipa terhadap Karpal Singh itu menunjukkan bahawa di sana terdapat banyak lagi kemungkinan usaha dan ikhtiar yang boleh dilakukan. Dan dalam konteks ini saya juga melihat kemasukan atau penghijrahan ramai golongan artis ke dalam parti PAS akhir-akhir ini adalah juga satu kemenangan penting kepada Islam.

Betapa golongan aktivis seni dan hiburan boleh berubah sikap dan pandangan mereka terhadap kedudukan seni dan hiburan dalam Islam. Bahawa Islam tidak lagi dilihat sebagai anti-hiburan dan anti-kesenian. Walaupun ada hal-hal yang nampaknya masih kabur, tidak menentu dan agak mengelirukan di sana sini, namun fenomena ini adalah sesuatu yang menunjuk arah kepada kemenangan untuk Islam. Terpulanglah caraa kita menyambutnya.

Kena caranya kita menyambut dan meladeninya, baiklah ia. Dan kalau kita tersalah cara menyambut dan meladeninya, akan rosaklah ia.

Demikian juga saya membaca kenyataan baru yang diucapkan oleh bekas seorang menteri Umno yang kita pun tak pernah terfikir dia akan berubah fikirannya terhadap PAS – iaitu Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir. Katanya sekarang orang Melayu yang terbaik ada dalam PAS. Manakala dalam Umno tidak ada lagi orang Melayu yang layak untuk menjadi pemimpin.

Nampaknya ada satu gelombang baru yang sedang membentuk untuk suatu perubahan penting di negara ini, yang berkaitan dengan PAS dan Islam. Apakah Karpal Singh dan mereka yang sependirian dengannya akan terus bersikap keras menolak pelaksanaan undang-undang Hudud di negara ini?

Saya sangat optimis dengan hujah dan usaha yang dibuat oleh Hanipa Maidin. Bayangkanlah apabila Karpal Singh mengubah pendiriannya terhadap Hudud!


No comments: