Wednesday, August 29, 2012

Kenapa kita perlu tulis semula sejarah perjuangan kemerdekaan kita


‘buat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon.’
 (Kenapa kita perlu tulis semula sejarah perjuangan kemerdekaan kita)



Salah tempat kami sekeluarga selalu singgah dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Kuala Lumpur atau sebaliknya, ialah Masjid di Kampung Mesah, Gopeng. Perak.  Dan setiap kali kami berhenti,  saya teringatkannya.  Petang tadi saya sempat bertanyakan Tok Siak masjid:

“Di manakah letak rumahnya Rashid Maidin?”

Tok Siak menunjukkan arah kampungnya.

“Masih ada sanak saudaranya?

“Masih ada.” jawab Tok Siak.   


II.

Di dalam Memoir Rashid Maidin – Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian, SIRD, 2005:5, Rashid merekodkan pengalaman-pengalaman berikut:


“Jadi saya ini dari golongan orang miskin yang bermastautin di kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak. Di situlah saya dilahirkan dan dibesarkan.  Pada tahun 1924, saya masuk belajar di Sekolah Melayu Gunung Panjang, Gopeng.  Sebelah pagi belajar di sekolah Melayu, sebelah petang belajar agama di madrasah Kampung Gunung Mesah.  Saya mengaji Al-Quran sampailah khatam, dibuat kenduri kecil oleh keluarga saya untuk merayakan khatam Al-Quran saya.”

Di halaman 26 buku yang sama, Rashid Maidin bercakap tentang perjuangan kelompok kirinya dan sikap UMNO tentang kemerdekaan.

“ Sepanjang masa aman iaitu selepas Perang Dunia Kedua, masa, tenaga dan fikiran saya ditumpukan kepada aktiviti perjuangan iaitu membangkitkan kesedarn rakyat untuk kemerdekaan.  Masa itu merdeka hanya lahir dari mulut golongan kiri sahaja.  Masih ada lagi golongan United Malay National Organisation (UMNO), mereka bukan saja tidak mahu kemerdekaan, tapi menentang gerakan kami pula.  Masa itu UMNO dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar.  Mereka berkata kami berjuang, tetapi ‘buat sebatang jarum pun tak pandai, nak merdeka konon.’



No comments: