Ekonomi itu paksi kekuatan budaya?
Kegilaan mencari,
merebut dan berebut-rebut, membeli dan ‘menguasai’ sebanyak mungkin ‘benda’
cukup besar pengaruhnya dalam kehidupan kebanyakan manusia. Kegilaan untuk menguasai ‘benda’ ini termasuklah
kegilaan menggunakan pelbagai kaedah ― yang halal, yang haram, sah dan juga yang
gelap. Dalam bahasa yang lebih langsung ―
merampok, menipu dan juga makan rasuah.
Sementara
‘benda’ yang diidam-idamkan itu juga pelbagai.
Zaman dahulu kala ‘benda’ ini termasuklah binatang-binatang ternakan
yang bagus-bagus seperti kuda, unta, lembu kerbau, ladang-ladang kurma, dusun
dan sawah ladang yang seluas mata memandang dan juga barang-barang mewah seperti
emas, perak, intan, berlian, saham (sekadar memasukkan satu dua contoh). Dan jangan lupa ‘benda’ yang diidam-idamkan
oleh manusia itu ― tidak ketinggalan termasuklah pangkat, darjat dan juga
set-set kumpulan gundik dan akhirnya tentulah kuasa dan pengaruh ― pakej yang pada
kebiasaanya akan datang bersamanya.
Sehari dua ini
semasa mengurus persediaan pra “Persidangan Model Kepemerintahan (governance)
Islam Semasa”, tajuk perbicaraan kami berpindah ke merata tempat termasuk
betapa hebatnya para profesor di negara jiran yang begitu aktif, berani dan
tidak tanggung-tanggung untuk bangun memperjuangkan nasib para marhaen yang
tertindas. Mereka terjun langsung untuk bersama-sama
NGO kerana bagi mereka Sang Penguasa di merata dunia telahpun mandul dan
dimandulkan oleh sistem zalim para perakus dunia. Mereka turun untuk mengambil maklumat dan
untuk berjuang bersama-sama para marhaen yang ditindas. Dalam konteks ini, kita teringat kisah Syed
Husin Ali (waktu itu masih pensyarah Universiti Malaya) yang membaringkan diri
di depan truk FRU sebagai ikhtiar menghalang rumah marhaen ini dirobohkan.
Kata seorang
teman, “Mereka ― para profesor negara-negara ini ― sanggup turun dan lawan Sang
Penguasa bersama-sama rakyat marhaen atas pertimbangan yang ‘lebih mudah’―
bahawa gaji mereka sebagai profesor tak seberapa, jika dipecat sekali pun tidak begitu terasa
dan berkesan kepada mereka. Bayangkan dan
bandingkan dengan gaji para pensyarah kita yang berbelas-belas ribu itu, apakah
mereka tidak berfikir dua, tiga, empat kali untuk bangun melawan?”
Alangkah
bagusnya strategi “Endless Possibilities” yang digunakan itu; semakin besar
habuannya maka semakin payahlah untuk bangun melawan. Dan “possibilities”nya tidak terhenti walaupun
sudahpun pencen. Otak manakah yang
fikirkan tentang pelbagai habuan yang tidak pernah berakhir@kering@mengalir
terus itu?
2.
Dalam senario seperti
di atas itu, maka ada yang mengirimkan teks berikut kepada Dinsman, iaitu sebagai
tanggapan susulan terhadap wacana ‘kuasa budaya’ yang diangkat oleh Mahfuz di
Parlimen dan dibincang dengan lanjut bersama Paksi tidak lama dulu:
“Dalam
berjuang menegakkan budaya dan melebarkan ‘kuasa budaya’, tuan disarankan
melihat juga bagaimana ‘mutiara-mutiara budaya’ boleh diterjemahkan di dunia
ekonomi untuk menjanakan dana ‘gerakan perluas budaya Melayu sebagai budaya
dunia’ itu sendiri setidak-tidaknya.
Pada saya, punca utama ancaman perluasan ‘budaya’ yang ingin kita
angkat, adalah kelemahan ekonomi yang sekaligus telah merendahkan kuasa dan
pengaruh politik bangsa Melayu-Islam.
Kita harus terima hakikat, bangsa yang lemah ekonominya tak mungkin
dapat menjayakan budayanya...apatah lagi untuk dominasi bertaraf dunia. Saya ingin mengajak rakan-rakan budayawan
seperti tuan memikirkan perancangan budaya yang bersinergi dengan perancangan
ekonomi ummah..dan tuan jauh lebih baik dan berkemampuan untuk memikirkan hal
ini. Ekonomi itu adalah paksi kepada kekuatan budaya.”
Sebagai
balasan, ini pula teks saya kepada Dinsman:
“Mesej sapa
tu? Macam Mahathir saja?” Demikianlah mendalamnya gigitan pemikiran ‘sesat’
Mahathir itu terhadap orang-orang
Melayu. Bukankah begitu?
No comments:
Post a Comment