“Kalah kerana
puasa!”
Semasa bersekolah
di UGM awal tahun 70an dulu, saya pernah tergamam dengan komen seorang kawan, “Hempa
orang-orang Melayu parti X ni, kalau
sebut saja Islam, semua hujah lain tak
lut lagi!”
Kata-kata
teman penyokong kuat parti U yang dulu, kini dan selamanya bersama Unya itu
masih berbekas lagi dalam kepala saya sehingga ke hari ini. Teman sepersatuan PKPMI (Persatuan Kebangsaan
Pelajar Malaysia di Indonesia), ini kerap menggendalikan slot siaran lagu-lagu
Melayu di stesen radio amatir, Suara Istana tak jauh dari rumah kos saya di
Djetis 6, Jalan Gembiraloka, Yogyakarta, ini amat yakin dengan kata-katanya. Baginya Islam selalu digunakan@peralatkan,
sama ada betul atau pun salah, demi untuk
mematikan segala hujah lawan.
2.
Semasa bersama
JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, seorang teman yang sangat warak pegangan
Kristiannya dan baik pula budi pekertinya pernah juga membuat saya tergamam
dengan masalah sensitiviti dalam hal-hal agama, silang agama dan silang budaya
ini. Kisahnya ialah semasa kami mengadakan
jamuan Hari Raya; juadah yang
dihidangkan hari tersebut hanyalah rendang@gulai daging lembu. Hanya itu yang ada ― tak ada pilihan lain, tak
ada rendang ayam atau pun gulai ikan misalnya.
“Kassim, do
you think Raju is happy even though he doesn’t mind that you serve only beef?”
Ya, kebetulan
di pejabat kami hanya ada seorang Raju. Di
pejabat kami, Rajulah racun dan Rajulah penawarnya dan dalam hal beragama Raju adalah
seorang Raju. Teguran yang tepat, pedih menghiris
tapi membuka nurani itu, saya ingat
sampai ke hari ini. Itu adalah soal sensitiviti
beragama. Sensitiviti yang semestinya bertimbal
balik yang tak boleh ditutup dengan kepura-puraan, sebarang pameran atau lakonan. Kesalahan terlepas pandang itu memberikan konotasi
buruk; perbuatan yang seolah-olah disengajakan
kerana tidak sensitif itu, adalah satu pengalaman yang berharga sekali. Kami penganjur memohon maaf di atas kesalahan
seperti itu.
3.
Seorang lagi teman,
kali ini seorang Cina pernah menceritakan indahnya pengalaman semasa bersekolah
di kelas tingkatan 6 di Kota Bharu.
Boleh dikatakan semua kawannya anak-anak muda Melayu belaka ― maklumlah Kota
Bharu. Dia menceritakan pengalamannya tidur
bangun, makan minum, bergaul dan bersahabat dengan anak-anak Melayu Kelantan
ini. Misalnya waktu mandi tanpa segan
silu mereka sama-sama bertelanjang bulat.
Ketika itu tak ada yang pelik, tak ada yang ganjil, mereka bersuka ria sambil
meraikan kepolosan fizik masing-masing.
Bila Ramadhan tiba, dia juga cuba ikut-ikutan berpuasa tapi ternyata pemgalaman
berpuasa itu begitu memeritkan, “I cannot stand the pain of being hungry”.
4.
Saya telah teks
seorang sahabat, kira-kira begini, “ Pemuda X seakan-akan mahu ‘berperang’ dengan
seorang Raju sebab kenyataannya bahawa kekalahan Malaysia ialah kerana
puasa. Adakah sekarang ini kita semua rata-rata
sudah diserang penyakit ‘sayangkan Islam’ yang agak ganjil? Nampaknya sekarang
ini tak ada sesiapa pun yang boleh berkata apa-apa lagi sekiranya dikaitkan
dengan Islam?” Saya teringat sindiran
tajam sahabat lama ketika di Gadjah Mada dulu.
Teman yang
diteks ini menjawab: Itulah masalahnya.
Alangkah baiknya
jika yang menjuarai, yang mengangkat agenda Islam-Melayu sebagai ‘punching bag’nya
dan sentiasa saja melatah itu hanyalah parti U itu dan bukanlah komponen parti
Pakatan Rakyat. Bukankah U itu sebuah parti
yang terlebih-lebih suhu sasaunya di musim-musim dan tahun-tahun pemilihannya? Bukankah parti U itu memang begitu perangainya,
dan oleh kerana itu kenapakah kita mesti meniru gelagatnya U?
Adakah kita meniru
kerana Islam telah cedera teruk dan terhina kerana pandangan seorang Raju
tentang puasa atau kita meniru gaya U supaya kita juga kelihatan lebih gagah
membela Islam jika dibandingkan dengan parti U?
Apakah bentuk kesalahan yang dilakukan oleh seorang Raju yang berpendapat
bahawa pasukannya kalah kerana teamnya kekurangan tenaga akibat tidak makan dan
minum?
Kenapakah kita
mesti memaksanya percaya bahawa puasa tidak akan menjejaskan prestasi
pasukannya?
Kenapakah kita
mesti memaksanya percaya bahawa sejarah telah membuktikan bahwa Islam juga
menang perang dalam bulan puasa?
Bahawa Israel
kalah perang dalam bulan Ramadhan bukanlah disebabkan oleh Mesir yang berpuasa
adalah bukti sejarah. Jika seorang Raju
tidak yakin dengan hakikat ini, apakah
dia kita tuduh menghina Islam?
Demi kebaikan
kita semua, rasanya betapa eloknya jika
kita berhenti menjadi dan berperangai macam parti U itu. Tak perlu kita bersaing dengan U dalam
hal-hal lakonan dan wayang.
No comments:
Post a Comment