Sunday, August 18, 2013

Par excellence in splitting hairs on minor issues





Yang kita hantar sebagai pemimpin


Kecuali satu atau dua orang, pemimpin-pemimpin yang dipilih dan diangkat menjadi pemimpin parti-parti politik itu, UMUMNYA bijak sekali berkata-kata.  Para pemimpin ini selalunya (atau adjektif yang lebih tepat ialah ‘sentiasa, biasanya, kerap kali, tidak dapat tidak’)  bergetar syahwat bercakapnya setiap kali mereka terpandang mikrofon.  Ketika syahwat bercakapnya itu masih tegang, tanyalah tentang apa saja tajuk atau persoalan di dunia ini, tidak ada yang tidak mereka kuasai, semuanya mereka amat arif.  Kekadang pengetahuan mereka ini kelihatannya seolah-olah mengalahkan ilmu pakar bidang.   

Oleh kerana seni bercakap telah menjadi kaedah yang paling popular untuk menarik perhatian khalayak, maka ramailah yang memilih untuk bercakap.  Dalam mesyuarat PIBG mereka yang paling lantang bercakap, berhujah, merungut, mengkritik atau membantah, BIASANYA akan dilantik menjadi pemimpin PIBG.

2.

Secara tradisi lesen maha besar lagi terbuka ( a big-open license) untuk bercakap, berpidato dan membuat keputusan tentang hal-hal agama diberikan kepada mereka yang memegang jawatan-jawatan agama. Mereka ini dilantik untuk mengurus bidang agama, satu profesion yang antara lain menentukan perihal nikah cerai manusia beragama dalam negeri di bawah jajahan takluknya.  Ertinya tidak ada sesiapa yang boleh menodai kesucian agama selagi para pegawai agama ini wujud di muka bumi ini. 

Oleh kerana bercakap, bersyarah atau berkhutbah itu termasuk bidang kerjanya orang-orang yang memegang jawatan agama, maka akan bercakap, berkhutbah dan bersyarahlah mereka ini mungkin sehingga pencen atau sehingga mati.  Jangan salah faham,  mereka bukan saja bersyarah atau pun menulis khutbah, mereka juga menyerang hendap segala perbuatan maksiat seks yang cuba disembunyikan.  Mereka menyerang para calon ratu cantik yang mendedahkan batang tubuh yang katanya bertujuan mengaut keuntungan dengan memperdagangkan tubuh yang mentah.  

Oleh kerana berita-berita tentang serangan hendap bersungguh-sungguh segala institusi agama terhadap maksiat berunsur seks itu,  TELAHpun disensasikan dan didedahkan dengan begitu meluas sekali oleh pihak media, maka segala kerja mulia institusi agama dalam memelihara kerukunan rumah tangga, kebahagiaan pasangan suami isteri supaya tidak sampai bercerai berai ― tenggelam begitu saja.  Betapa malangnya segala penat lelah, titik peluh memelihara kesejahteraan ummah tidak dihargai sama sekali kerana yang dihargai ialah semata-mata SENSASI.  Segala usaha serta penat lelah mereka dalam memberikan kaunseling tentang pelbagai cabaran hidup dan kehidupan berumah tangga yang makin berantakan dek tekanan hidup yang sangat menghimpit, tidak diberikan perhatian sebenarnya, sewajarnya dan seadilnya oleh pihak media.  Ternyata media lebih selesa dan teruja dengan SENSASI.

3.


Kiblat ialah arah.  Ia menunjukkan arah ke mana ibadat seperti sembahyang itu ditujukan.  Ia  penting supaya ibadah diterima?  Oleh itu menyatakan bahawa arah kiblat itu penting dan arahnya TIDAK BOLEH melencong adalah peranan dan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.  Jadi kenapakah ada pula pihak yang mahu menSENSASIkannya?   Kita pun tidak begitu faham kenapakah memusnahkan surau yang SALAH kiblatnya itu mahu diSENSASIkan?   

Di atas ialah salah satu contoh ‘padangan’ tentang kiblat, arahnya dan kenapa yang TIDAK BETUL arahnya@melencong mestilah dimusnahkan?  Sehubungan persoalan ‘kesucian’ ibadah termasuk kiblat, kita teringatkan perihal ribuan surau dan masjid yang dibina oleh pemborong Cina yang 'kapir' itu.  Ya, surau dan masjid hasil buah tangan mereka yang 'kapir'.  Setelah segala surau dan masjid yang dibina oleh pemborong Cina yang ‘kapir’ ini siap,  tentulah mereka kencing dan berak.  Adakah ribuan surau dan masjid ini masih suci bersih dijadikan tempat beribadah?

Di atas juga adalah satu lagi contoh ‘pandangan’ tentang ‘kesucian’ dalam beribadat.  Ada soalan yang  sering menerjah: Are we an ummah that is par excellence in splitting hairs on minor issues?  Bukankah kerajaan yang korup, mementingkan kroni, zalim tidak demokratik itu lebih besar melencong kiblatnya dalam kehidupan beragama?



No comments: