Saturday, August 24, 2013

Silalah berkelahi



BERKELAHILAH DALAM KELAMBU


Ada satu kenyataan yang kerap diulang-ulang Dinsman dalam tulisannya, “Kita terlalu berpolitik sehinggakan politik telah menguasai kehidupan kita”.   Bagi Dinsman disebabkan oleh permainan politik yang keterlaluan itu,  makanya terlalu banyak sekali peristiwa dalam kehidupan kita ini disorot dan diamalkan berdasarkan tafsiran kaca mata politik ini.  Akhirnya segala selok belok hidup dan kehidupan serta mimpi-mimpi serta tidur dan bangun kita dikuasai sepenuhnya oleh politik yang keterlaluan. 

Sebenarnya yang kerap kita dengar dan baca ialah pesanan bersungguh-sungguh para ahli politik kita ― biasanya para ahli politik yang sedang berkuasa ― supaya “Janganlah politikkan isu ini!”, satu seruan  yang lebih membawa maksud, “Benarlah segala tuduhan yang dilemparkan  itu.  Kami tak ada jawapan lain kerana yang dilaporkan itu betul”.  Ertinya mereka yang berkuasa tidak lagi mampu untuk menjelaskan sesuatu peristiwa itu secara rasional dengan menggunakan hujah yang rasional pula.  Salah satu sebab kenapa para penguasa tidak lagi mampu ‘berhujah’ ialah kerana ‘kebenaran’ telahpun diketahui umum (terima kasih kepada pelbagai media sosial) dan ia telahpun dihebahkan kepada khalayak umum, biasanya tanpa sekatan, tanpa sensor sang penyunting.


2.

Mari kita kembali kepada kebimbangan Dinsman tentang kehidupan kita yang menurutnya sudahpun dicengkam oleh politik yang keterlaluan sehinggakan ia menjadi ‘budaya’ yang tidak sihat dalam masyarakat kita.   Apakah benar masyarakat kita tidak lagi bebas dari perangkap kaca politik yang jelek ini?   Ertinya,  memang benarlah semua orang politik itu ― tidak kiralah sama ada mereka itu penganut politik sekular dan oleh kerana itu tidak bertuhan kecuali ‘benda’ atau pun mereka yang bertuhan ― tidak dapat lari dari perangkap berpolitik yang keterlaluan ini?  Ertinya orang-orang politik ― hatta mereka yang mendakwa bahawa acuan politiknya itu adalah agama (dalam konteks kita, Islam) ― kadang-kadang diragui kesahihan niat politikya apabila niat itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan.   Kerap juga diperhatikan (harap-harap mata yang memerhati ini tidak juling), jika di sana tidak kelihatan bayang-bayang mileage politiknya, jika di sana tidak ada keuntungan politiknya,  maka usahlah diandalkan bahawa cadangan atau gerak kerja itu diberikan sokongan sepenuh hati.  Orang-orang politik boleh saja menidakkan tanggapan ini ― tapi percayalah diam-diam, orang-orang kecil, mereka  yang berada di luar zon kuasa itu memerhatikan gerak geri orang-orang politik ini.  Orang-orang politik menggilai dan mengejar mileage politik.    


3.


Lalu apakah ikhtiar kita?  Kita merungut dan merungut sepanjang masa?  Mari kita lihat satu dua sudut senario yang sedang berlaku di sekeliling kita.  Jika mereka itu (Sang-Perengkuh-Kuasa-Sedia Ada-Walaupun-Dengan-Apa-Cara-Sekalipun-Termasuk-Menipu ) benar-benar mahu terus berkuasa sedar bahawa hayat mereka selanjutnya tidak boleh semata-mata bergantung kepada kerja-kerja menipu sepanjang hayat, mereka (Sang-Perengkuh-Kuasa-Sedia Ada-Walaupun-Dengan-Apa-Cara-Sekalipun-Termasuk-Menipu ) perlu mencari kaedah dan ikhtiar untuk menawan hati para pengundi, khususnya orang-orang muda.  Sebabnya cukup mudah, mereka tidak boleh lagi terus-terusan menipu. 

Mereka juga tidak boleh lagi ―sepanjang masa ― menakut-nakutkan orang-orang Melayu tentang Islam yang terancam oleh para ‘kapir’ seperti DAP.  Lama kelamaan, apatah lagi pabila DAP yang tidak Islam ini berjaya memberikan model kepemimpinan yang jauh lebih baik (baca: Islamik) daripada model-model mereka (Sang-Perengkuh-Kuasa-Sedia Ada-Walaupun-Dengan-Apa-Cara-Sekalipun-Termasuk-Menipu ) sepertimana yang wujud sekarang ini, maka Sang Perengkuh Kuasa tak lagi mampu membohongi rakyat jelata.  Apabila DAP ‘yang tidak Islam’ itu bercakap tentang betapa pentingnya makna hafiz dan hafizah untuk semua keluarga orang-orang Islam, lalu melakukan sesuatu untuk menzahirkan cita-cita ini,  akhirnya orang-orang kampung ‘yang Islam tulen’ itu juga faham bahawa kepemimpinan tidak Islam DAP juga berkongsi aspirasi mereka tentang roh al-Quran dalam kehidupan yang maha sementara ini.  Itu sekadar satu contoh amalan DAP.  Waktu itu komponen Perkasanya Sang Penguasa boleh terus menjerit-jerit, melolong-lolong di media perdana bahawa mereka mahukan Melayu dan Islam itu tertegak.  Jeritlah sehingga terjulur anak-anak lidah, tak ada yang percayakan segala lakonan.

Sebagai penutup, dan mesej utama entri: bagaimanakah caranya agar rakyat keluar dari kemelut dibelenggu politik yang keterlaluan itu?

Kita semua tentu akur bahawa sudah sampai masanya kita ― rakyat negara ini ― bertindak agar orang-orang politik tidak lagi mengambil mudah undi yang mereka terima. Misalnya orang-orang Selangor memilih Pakatan Rakyat untuk terus memerintah Negeri Selangor walaupun Sang Perengkuh Kuasa itu bermati-matian mahu merampasnya daripada Pakatan Rakyat.  Segala isu telah digunakan untuk menjananamkan Pakatan Rakyat dan kaedah ini tidak akan berhenti sampai bila-bila. 

Dalam konteks peperangan menawan hati pengundi ini, sejarah menceritakan bagaimana Troy yang perkasa itu tidak jatuh kerana serangan dari luar ― kubunya terlalu kukuh untuk ambruk.  Namun ‘Trojan’ yang diseludupkan itulah yang memusnahkan Troy.  Trojan-Trojan yang menyelinap dalam pelbagai bentuk adalah musuh yang akan memusnahkan. Trojan yang paling besar ialah perebutan kuasa di kalangan mereka yang kita lantik.  Ada pemimpin besar negeri Pakatan Rakyat berperang secara terbuka dan rakyat melihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana para pemimpin mereka tidak lagi mampu  mengawal kehendak (nafsu)  masing-masing.  Ketika memerhatikan pertempuran terbuka ini, rakyat tidak peduli apakah yang ditelagahkan itu adalah tentang kaedah kepimpinan yang tidak memenuhi citarasa semua pihak atau pun masalahnya ialah khazanah negeri tidak diurus dengan saksama.  Rakyat peduli tapi tidak begitu terkesan.   Rakyat tidak melihat isu itu kerana yang rakyat lihat ketika itu adalah hakikat pemimpin yang mereka lantik sudah bergaduh.  Dan ini menjadi modal musuh.

Nah, kita belum lagi menyatakan bagaimana rakyat juga boleh turut ‘mendidik’ orang-orang politik supaya menjadi ahli politik yang baik,  AHLI POLITIK YANG TIDAK SEMATA-MATA BERPOLITIK TETAPI YANG LEBIH UTAMA MEREKA MEMIMPIN.  Tidak kiralah kayu ukur ‘kebaikan’ itu sekular atau pun agama.  Yang penting kita mampu mengukurnya dan orang-orang politik tahu bahawa mereka semua sedang diukur@nilai. 

Maka apabila seorang teman menyatakan bahawa KJ Sang Penguasa itu telah mengundangnya untuk membentangkan kertas kerja kepada sekelompok mahasiswa dalam Program Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM), via Jabatan Perdana Menteri, kita percaya inilah salah satu kaedah untuk memdidik para ahli politik kita bahawa kami rakyat negara ini tidak lagi taksub melulu terhadap kelompok-kelompok politik tuan-tuan semua.  Kami ― rakyat negara ini ― tidak lagi mahu terus-terusan diperdaya oleh orang-orang politik yang pentingkan diri masing-masing.  Oleh itu jika ada orang-orang politik ini MESTI berkelahi, BERKELAHILAH dalam kelambu masing-masing.  Sila jangan berkelahi di pasar-pasar borong.  Sebabnya mudah: We want to see you all govern, and please govern well.





No comments: