Mendekati atau
membiarkan ‘the deep state’ itu?
Kemenangan sebentar
dan keruntuhan demokrasi yang telah diperjuangkan oleh rakyat Mesir, antara
lain memperlihatkan kepada dunia betapa besarnya pengaruh dan tindakan pelbagai
institusi yang sekian lama mencengkam nadi dan nafas negara walaupun rakyat
telahpun memilih sebuah pemerintah yang baru.
Salah satu daripada institusi yang sekian lama membaham dan mencengkam
nyawa Mesir itu ialah pihak tentera. Gabungan
tentera, mahkamah dan perkhidmatan awam dan yang lain-lainnya ini digelar
sebagai ‘The deep state’.
Apakah kita sendiri
tak ada masalah besar dengan komponen-komponen ‘the deep state’ ini? Sebagai contoh lihatlah segala liku tikungan,
onak dan duri yang perlu ditempuh Pakatan
Rakyat dan segala lapisan rakyat yang bangkit melawan keputusan PRU13. Sejak PRU 13 itu mereka berdepan dengan
seekor peliharaan SPR dan segala jentera di belakangnya. Satu lagi contoh peranan ‘the deep state’ ini
ialah rampokan Perak. Negeri Perak yang berpindah
ke tangan rakyat di bawah Pakatan selepas PRU12, tidak akan tumbang tanpa campur
tangan pelbagai komponen ‘the deep state’ ini.
Oleh itu bayangkanlah masalahnya dan akibatnya apabila sebuah kerajaan
yang dipilih rakyat terpaksa berdepan dengan seluruh kelompok ― gabungan pelbagai ‘the deep state’ yang
menentang kerajaan yang baru yang dipilih rakyat. Satu soalan yang tidak kurang menarik ialah: Kenapakah
agaknya pelbagai komponen ‘the deep state’ ini gerun kepada sebuah pemerintahan
yang baru sepertimana Lee Kuan Yew di Seberang Selat Teberau itu bimbang kepada
kerajaan Pakatan Rakyat?
Lalu apakah
ikhtiarnya? Kita percaya strategi jangka
panjang untuk memenangi sokongan pelbagai komponen 'the deep state' ini sangat
penting. Dalam konteks ini, strategi
(atau keghairahan?) sedia ada mahu melihat segala hukum hakam Islam itu
disegerakan tanpa melihat isu-isu sekitar perikuk nasi dan masalah kehidupan
seharian yang semakin gawat itu, sebaik-baiknya
diteliti semula dengan penuh saksama. Pendekatan
yang seperti ini eloklah ditinjau dengan semasak-masaknya. Berbalik kepada 'the deep state' ini, apakah
bentuk seruan, pencerahan dan tentunya dakwah untuk mereka? Untuk jangka masa panjang dan juga pendek, bagaimanakah
cara terbaik untuk memenangi sokongan mereka? Akhir sekali, kita tentulah tidak boleh pandang mudah pabila
ada komponen 'deep state' bangun berhujah lalu mengacungkan senjata 'durhaka'nya.
No comments:
Post a Comment