Kenapa orang-orang
Melayu mesti diajar supaya kritis
Situasi Satu
A: Tarik balik
gelaran yang diberikan kepadanya!
B: Silakan, Bapak tidak kisah. Jika mahu tarik kerakyatan pun tidak mengapa,
silakan.
A: Suruh dia
serahkan semula gelaran itu!
Situasi Dua
A: Syiah
sangat merbahaya kepada akidah, kita tidak boleh biarkan ia berleluasa.
B: Jangan
jadikan Syiah itu isu untuk tujuan politik sempit.
Di atas adalah
dua contoh ‘peristiwa’ yang mungkin kita temui dalam kehidupan
sehari-hari. Peristiwa-peristiwa benar
atau mungkin peristiwa yang digarap sebagai karya sastera (cerpen atau puisi) atau
mungkin juga sebuah laporan sidang DUN, Dewan Undangan Negeri yang baru saja dirampas
semula.
Salah satu
aspek menarik yang boleh diamati ialah melihat bagaimanakah dan apakah kesan tulisan
atau laporan ‘peristiwa’ seperti itu terhadap seseorang pembaca; bagaimana sesorang
pembaca itu menanggapi sesuatu tulisan atau laporan itu. Jika dia membaca seadanya ― membaca apa saja yang dicetak (atau at
face value), maka dia yakin seyakin-yakinnya
dengan ‘hujah’ yang mahu dibawa oleh tulisan atau laporan. Dalam Situasi Satu, dia setuju gelaran itu
dipulangkan oleh si penerimanya. Dalam
Situasi Dua, demi akidah yang suci dia yakin ‘Syiah’ mesti diperangi. Ya, perang demi akidah.
Situasi ‘yakin
seyakin-yakinnya dengan hujah yang mahu dibawa’ oleh tulisan atau laporan masih
berleluasa dalam kalangan rakyat kita. Oleh
itu jangan terkejut jika dalam Situasi Satu seorang pembaca yang terbiasa ‘membaca
seadanya’, akur bahawa sesungguhnya arahan
‘suruh dia serah semula gelaran itu!’ itu tepat dan wajar kerana itulah yang tertulis
dan itulah yang dibacanya. Ertinya itulah
mesejnya yang benar dan tidak ada sebarang sebab musabab kenapa mesej itu ‘tidak
benar.’
Sementara itu dalam
Situasi Dua, seorang sahabat yang susur galur keluarganya begitu dekat dengan Umno
parti Melayu, pernah berjinak-jinak sebentar dengan parti lawan, tapi kini telahpun
kembali semula ke pangkuan Umno parti Melayu itu bertanya, “ Kenapakah dalam
kes agama yang sangat jelas seperti akidah ― kes berat akidah yang terpesong, parti
lawan yang katanya memperjuangkan Islam ini, tidak menyokong usul Syiah ini? Bukankah jelas dalam sejarah, puak-puak Syiah
ini mencerca para sahabat tapi dalam kes usul Syiah di DUN ini, mereka tidak
menyokong usul yang dibawa oleh kerajaan Umno parti Melayu? Kenapa?
Saya begitu sedih dengan sikap politik yang begini!”
Saya
hampir-hampir mahu membuka mulut, bertanya satu dua soalan seperti: Pertama, adakah
‘kes Syiah’ ini sesuatu yang baru dan ia baru saja timbul sehari dua ini? Kedua, tidakkah terfikir bahawa musim
pemilihan Umno parti Melayu itu sudahpun berada di ambang pintu? Saya tidak membuka mulut kerana kasihan
melihat sahabat ini begitu rancak sekali menyuap. Biarlah, jangan sampai dia tersedak.
Dalam konteks permainan
isu agama, dan agama sebagai permainan politik seorang anak muda yang tidak rela
membaca apa adanya dan seadanya, berhujah, “ Pak Cik, pernahkah pak cik ceritakan
(wah, siapalah aku?!) kepada ulamak-ulamak Pas yang besar itu (lalu disebutnya
dua nama) bahawa isu nama Allah itu menjadi sebab penting kenapa orang-orang
Melayu di kampung lari ― tidak
mengundi Pas?” Benarlah seperti yang sahabat
saya sering katakan ― jika
pendekatannya hanyalah semata-mata “Kita lawan, kita tak perlu rancang-rancang tak
perlu pun strategi-strategi, satu abad lagi kita tak akan ke mana-mana. Lihat anak muda PKR itu (lalu disebutnya satu
nama), lihatlah bagaimana strateginya berfikir dan bertindak!”
Soalannya: Bilakah kita belajar berfikir, dan kritis
berfikir untuk bertindak? Bilakah kita
yakin dan percaya bahawa sesungguhnya “lawan saja” tidak lagi mencukupi?
No comments:
Post a Comment