Dinsman (Artikel
397, 2/9)
Melayu akan balik kepada Umno
Akhirnya orang
Melayu akan balik kepada Umno semula. Ini suatu trend pemikiran yang sedang
berlegar-legar di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Trend pemikiran pasca
PRU13. Akibat daripada krisis kepemimpinan yang semakin tak dapat
disembunyikan, berlaku dalam PKR dan juga dalam PAS.
Saya bukan orang
politik, tetapi saya mulai mendengar cakap-cakap yang seperti itu hampir di
mana-mana sekarang. Cakap-cakap mengenai krisis kepemimpinan di dalam parti.
Cakap-cakap mengenai ketidak-puasan hati terhadap pimpinan atasan parti.
Cakap-cakap mengenai ketidak-puasan hati ahli-ahli di bawah terhadap gelagat
pimpinan yang mulai menunjukkan “perangai dan sikap macam orang Umno juga”.
Ini bahaya.
Keadaan yang membahayakan. Orang seperti disillusion,
seperti kecewa dengan harapan yang tak kesampaian. Mengharap dan mengharap
terlalu lama, khasnya dengan janji-janji dan harapan yang diapungkan oleh
pimpinan Pakatan Rakyat; dan Reformasi yang bermula sejak September 1998 itu –
adalah suatu tempoh yang agak lama. Manakala di pihak Umno pula nampaknya
mereka tetap bertahan dengan ikhtiar-ikhtiar gigih yang berterusan untuk
mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada Umno.
Memang mereka
bermain dengan sentimen perkauman. Dan saya perhatikan memang sentimen
perkaumanlah faktor utama yang boleh menarik orang Melayu kembali kepada Umno.
Dan kita tak boleh menafikan kepentingan faktor sentimen perkauman ini,
betapapun kita cuba bersikap positif dalam persefahaman antara kaum,
terutamanya apabila terselak sedikit demi sedikit permainan mengutamakan
kepentingan Cina di pihak DAP.
Mungkin betul
mungkin tidak, kita tidak tahu pasti. Tetapi orang mulai mempercayainya. Kalau
sebelum ini kita menepisnya dengan hanya senyum sinis dan menganggap semua itu
sebagai tohmah dan fitnah, tetapi sekarang tidak lagi demikian. Sebab apa? Krisis
di dalam parti PKR dan PAS sendiri yang mendorong orang ke arah mempercayainya.
Dan kekalahan PAS
Kedah itupun tidak sahaja kekalahan PAS di Kedah. Ia mempunyai impak dan
akibatnya terhadap kepercayaan dan keyakinan orang ramai kepada kepemimpinan
PAS keseluruhannya. Imej yang terbina di sekitar kepemimpinan Ustaz Azizan itu
rupa-rupanya tidak kecil. Ia cukup besar, sehingga orang mulai merujuk kepada ‘Azizanism’ (Hang sapa? Depa tau apa?).
Memang agak menyedihkanlah.
Dulu, sebelum
PRU13 kita bolehlah bersilat memberi hujah dengan pelbagai alasan untuk
mempertahankan cara dan gaya kepemimpinan Ustaz Azizan itu. Tetapi sekarang,
bolehkah? Tempelaklah yang akan berbalik kepada kita. Dan ternyata tidak mudah
untuk memperbetulkan kembali perkara yang telah dirosakkan itu. (Pengajaran
dari sejarah di Trengganu rupa-rupanya gagal dipelajari).
Di Selangor pula
walaupun PR menang dan Tan Sri Khalid terus jadi Menteri Besar dan dia pun
terus berbangga dengan bilion RM simpanannya yang terus meningkat, orang dan
orang PKR sendiri pun tetap juga mempersoalkan kewajaran pelbagai tindakannya
yang dianggap tidak membantu Melayu itu. (Apa gunanya simpanan berbilion-bilion
pun kalau tak dapat digunakan untuk membantu Melayu?)
Isunya,
nampaknya, ialah isu Melayu. ‘PAS Ganti Umno’ ternyata hanya retorik untuk
menyedapkan ceramah politik sahaja, manakala realitinya di Kedah yang diberikan
peluang satu penggal untuk PAS membuktikan kebenaran dakwaan-dakwaan
politiknya, gagal dibuktikan. Maka orang bertanya – di manakah kekuatan PAS
sebenarnya?
Manakala di Pulau
Pinang pula orang mulai memuji beberapa tindakan Umno di sana, hatta yang
dibuat oleh Nazri Aziz pun – katanya dia hendak mengangkat isu hak Melayu di
Tanjong Tokong yang mesti dipertahankan itu, yang selama ini enggan diangkat
oleh PKR. Saya tak tahu fakta sebenarnya. Tetapi itulah cakap-cakap yang saya
dengar.
Banyaklah lagi.
Dan akhirnya beberapa malam lalu saya hadir di suatu perjumpaan beberapa orang
ahli PKR dan budayawan tak berparti, juga bekas tokoh korporat, berbincang hal
yang sangat menarik – tentang manusia yang apabila diberi kuasa mereka menjadi
sedap dengan kuasa mereka dan mulai melupakan rakyat dan mulai menjadi “lebih
Umno daripada Umno” yang sebelum ini mereka kritik dan marah habis-habisan itu.
Semacam sudah
timbul satu kesedaran untuk pemikiran semula politik orang Melayu.
Dalam pertemuan
itu ada suara budayawan yang cuba memberi amaran awal-awal lagi supaya
perbincangan tidak akan menjadi seperti perbincangan tertutup orang Melayu.
Maksudnya dia cuba membawa semangat PR yang tidak mahu bercakap soal
kepentingan sesuatu kaum sahaja.
Namun apabila
satu kes demi satu kes yang mengabaikan nasib orang Melayu, malah menekan rakyat
marhaen Melayu diceritakan, (termasuk kes di Jalan Enggang), budayawan itupun
terpaksa akur – turut berbincang hal rakyat Melayu yang masih ditindas di
negeri di bawah kuasa PR sendiri.
Malam itu
banyaklah cerita kelemahan dan kesalahan dalam kepemimpinan dan pentadbiran PR
yang diungkapkan. Cerita kronisme dan nepotisme dalam kepemimpinan PKR dan PAS
pun tidak lagi menjadi cerita rahsia. Hairannya walaupun ia sudah begitu
menonjol tetapi tidak pernah ada teguran. Ia dibiarkan begitu sahaja
seolah-olah bukan satu amalan yang salah; sedangkan pada awal-awal era
Reformasi dulu kita begitu kuat mengkritik kronisme dan nepotisme dalam Umno.
“Sekarang sudah
tak ada beza sebenarnya. PKR dengan Umno sama saja. Mungkin Umno lebih baik
dalam hal-hal tertentu,” tegas seseorang dalam perbincangan itu
Demikianlah, maka
saya fikir kita perlu bertindak segera sebelum terlambat. Keadaan sudahpun
sampai ke takah merbahaya. Dan keadaan tidak bertambah baik. Ada yang baru saja
menjadi Exco, sudah tidak ada masa lagi untuk bertemu rakyat. ‘Sibuk’ sudah
menguasai perjuangannya! Memang ‘kuasa’ itu sedap dan nikmat, dan ia mudah
memisahkan pemimpin daripada rakyat, “kecuali mereka yang beriman, beramal
soleh dan saling menasihati…”
(Penulis boleh juga
dihubungi dengan sms 019-7172408)
Nota:
1) Ada sesiapa yang mahu menyanggah pandangan di atas ini?
Jika saudara bermasalah dengan komen di dalam blog, sila emel kritikan saudara kepada:
barajiwa@gmail.com
No comments:
Post a Comment