Perihal ‘merit’,
‘fakih’ dan ‘memahami realiti semasa’ dalam pemilihan saf kepimpinan
1.0
‘Merit’, ‘fakih’ dan ‘memahami realiti
semasa’
Dalam entri
kali ini, sekali lagi kita ingin membicarakan tentang resolusi Kota Sarang Semut
yang antara lain bercakap tentang ‘merit’ dan ke’fakih’an seseorang itu sebelum
dia dilantik sebagai pemimpin tertinggi atau saf kepemimpinan parti. Sebenarnya senarai ciri ‘pemimpin yang baik’
seperti bertaqwa, amanah dan lain-lainnya, yang perlu dimiliki oleh seseorang calon
itu turut disenaraikan. Dan senarai seperti
ini juga telah bertahun-tahun diketengahkan oleh Umno. Di samping itu resolusi juga menyentuh tentang
betapa mustahaknya para saf kepimipinan ini ‘memahami realiti semasa’ di negara
kita.
Ertinya di
antara kata-kata kunci penting resolusi ialah merit, fakih dan frasa
kuncinya pula ialah ‘memahami realiti
semasa’
Apabila membaca
kata-kata kunci tentang ‘merit’, ‘fakih’ dan ‘realiti semasa’ ini, kita teringatkan
tiga soalan berikut:
Soalan Pertama
(S1): “Apakah bisnes kita?”
Jawapan Satu:
Kita ingin dan bercita-cita supaya negara ini ditadbir mengikut kehendak dan arahanNya sepertimana yang digariskan dalam
Al-Quran dan hadis kerana itulah tugas kita sebagai seorang hamba.
Soalan Kedua (S2):
“Apakah realiti yang mesti kita hadapi sebelum cita-cita itu terlaksana?”
Jawapan dua:
Kita perlukan kuasa politik, kuasa untuk memerintah sebelum cita-cita ini dapat
dilaksanakan sepenuhnya.
Soalan Ketiga
(S3): “Apakah cita-cita untuk memperolehi kuasa politik itu sesuatu yang
mungkin dalam tempoh terdekat?”
Jawapan tiga:
Tidak ada kuasa yang dapat menghalang ketentuanNya. Kun faya kun!
S4: “Saya tak
punya apa-apa soalan lagi, Yang Arif!”
2.0 Bolehkah
kaedah penurunan Al-Quran diterapkan dalam menjayakan ‘bisnes’ kita?
Pertama sekali
kita mohon maaf kerana tidak memiliki ‘merit’ dan juga ‘kefakihan’ untuk membicarakan Al-Quran namun masih juga beria-ia
mahu memetik dan ‘berhujah’ berlandaskan Al-Quran. Oleh itu mohon dibetulkan jika di sini
terdapat kesilapan ‘teokrasi’ yang amat besar.
Sebenarnya ini bukanlah ‘hujah’ tapi sekadar kefahaman biasa oleh seorang
awam.
Dalam Tafsir
Al-Maraghiy, Jilid 1 (Juzuk 1 & 2), Ahmad Mustafa Al-Maraghiy (Penterjemah
Muhammad Thalib): Dewan Bahasa dan Pustaka: 2001: 6 dikatakan:
“ Al-Quran
al-Karim diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, bersesuaian dengan
peristiwa yang memerlukan ia turun bagi menyelesaikan masalah. Sebahagian daripada ayat ini turun di Makkah
sebelum Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah, manakala sebahagian yang lain pula
turun di Madinah. Ayat-ayat Makkiyyah dan
Madaniyyah ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.
Ciri-ciri ayat
Makkiyyah, antaranya:
1. Ia turun untuk menerangkan dasar-dasar agama,
seperti keimanan kepada Allah s.w.t., hari kiamat, kitab-kitab, dan
nabi-nabi. Di samping itu juga terdapat
suruhan untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
2. Ungkapan
yang digunakan adalah pendek dan gaya bahasanya ringkas. Ciri-ciri tersebut jelas kelihatan dalam
surah-surah al-mufassal (yang ayatnya pendek), seperti: Surah al-Haqqah,
al-Waqiah dan al-Mursalat”
3.0 Soalan penutup:
Dalam menggabungkan
kerjasama politik di antara PKR, DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat (dengan
tujuan mengambilalih kuasa Umno/BN yang telahpun kehilangan merit itu) bolehkah
kita melaksanakan proses penggambilalihan kuasa ini secara berperingkat-peringkat,
sepertimana turunnya ayat-ayat Al-Quran itu?
Jika jawapannya,
“YA”, bagaimanakah agaknya kita mahu melakukannya.
Jika sekiranya
jawapannya “TIDAK”, kenapakah cara
berperingkat-peringkat dan strategik (misalnya
penjelasan terperinci lagi tuntas segala dasar penting PAS sebagai komponen Pakatan
Rakyat, berhujah balas tentang isu-isu Melayu, Islam, Raja, ‘PAS sebagai kuda
tunggangan’ dan ‘PAS yang tidak dominan dalam Pakatan Rakyat’ yang dibangkitkan
oleh Umno melalui akhbarnya dalam PRU12 yang lalu) itu tidak boleh dilakukan?
Apakah ketika
ini cara yang terbaik untuk PAS ialah
dengan menfokus supaya PAS itu mestilah ― luar dan dalamnya ― kelihatan ulama, apa
pun takrifnya tentang ‘intelektual’ agama ini?
Atau sebenarya
ada agenda lain yang lebih besar yang mahu dan sedang diusahakan oleh para ‘intelektual’,
konservatif@kanan Melayu-Islam ini?
Nota kaki:
Maaf jika entri
ini kelihatan sarat istilah. Mungkin sudah
terpengaruh kerana terlalu banyak nonton rancangan kartun; power rangers,
transformers setelah begitu lama didodoi oleh Super Heroes. Dua tiga hari yang
lalu kita telahpun memasuki zon Empowerment. Yang untung kilang pembuat minuman penguat tenaga
kuat lelaki.
Selain itu yang
turut mengaut keuntungan segera berlipat ganda ialah mereka yang bisnesnya menggilap
imej. Kata kawan-kawan di Kedah, sekarang
ini ramai pemimpin politik selain PAS juga muncul dengan imej baru ― berjubah
dan memetik ayat-ayat Al-Quran. Kata seorang sahabat, “Aku tengok-tengok juga
sapa yang terkam nak jadi imam”.
Apakah ini satu
lagi versi ― versi terbaru dunia eksklusif kehidupan kita termasuk dunia politik?
No comments:
Post a Comment