Dinsman (Artikel
402, 11/10)
Melihat Falsafah di dalam Tauhid
Wacana kolum ini
keluaran yang lalu mengenai “mengajar falsafah di sekolah” itu sebenarnya ialah
pemikiran-pemikiran saya ketika memikirkan tajuk forum anjuran kumpulan Teach for the Needs (TFTN), iaitu
“Falsafah: Memperkasa atau Menyesat Pendidikan”, yang diadakan di Dewan Cina KL
Selangor, 4 Oktober, 8.30 malam. Saya bersama dengan Hishamuddin Rais dan Fauzi
Naim (UNIKL) menjadi panelnya. Orang kuat TFTN, Zul Fikri Zamir menjadi
moderator.
Hishamudin Rais
memulakan wacana, membicarakan sejarah kelahiran falsafah di Athens dengan
Socrates sebagai tokoh utamanya, dan seterusnya menonjolkan kepentingan
falsafah dari tradisi Barat itu dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan umat
manusia di dunia.
Mendengar
hujah-hujah Hishamuddin terutama tentang pentingnya ‘berfikir’ bagi kehidupan
manusia, dan hal itu dihubungkan dengan falsafah dalam tradisi Barat yang
diasaskan oleh Socrates, otak saya secara spontan melihat perbandingannya
dengan tradisi Islam, dan saya langsung teringat pada pelajaran Tauhid yang
saya pelajari sewaktu di Maahad Mahmud Alor Setar dan di Kolej Islam Petaling
Jaya.
Pemikiran
falsafah Barat bertolak daripada soalan-soalan ‘siapakah kita’, ‘daripada
manakah asalnya kita’ dan ‘ke manakah tujuan hidup kita’. Itulah juga
soalan-soalan utama (atau fundamental
mengikut istilah Hishamuddin) yang dijelaskan jawapannya dalam ilmu Tauhid
dalam tradisi keilmuan Islam. Malah yang penting dalam ilmu Tauhid bukanlah
soalannya, tetapi penjelasan atau jawapannya itulah yang penting.
Hishamuddin
menekankan kepada anak-anak muda sekitar 200 orang yang hadir mengikuti forum
tersebut bahawa falsafah itu mengajar kita berfikir, dan berfikir itu adalah
penting untuk kesihatan otak kita. Ia menjadi senaman otak.
Maka saya
tegaskan bahawa Tauhid dalam tradisi keilmuan Islam juga tidak kurangnya dalam
merangsang otak berfikir. Saya teringat kepada hari-hari di Maahad Mahmud dan
Kolej Islam bagaimana keadaan pembelajaran Tauhid dan Usuluddin menjadi agak
sedikit ‘huru-hara’ disebabkan oleh soalan-soalan nakal pelajar yang
dibangkitkan daripada asas pemikiran Tauhid itu sendiri.
Dalam imbasan
kembali secara spontan itu saya tiba-tiba melihat pengajian Tauhid (dan
Usuluddin) itu sesuatu yang begitu dinamik, progresif, luas horizonnya dan
tidak statik seperti yang ditanggapi oleh kebanyakan orang.
Saya sebutkan
bahawa persoalan kebebasan dalam hidup manusia – sejauh mana manusia itu bebas
membuat pilihan dan menentukan tindakan sendiri – telah menjadi satu perbahasan
penting dalam sejarah tamadun Islam. Barangkali tidak ada perbahasan
mengenainya sebesar dan sehebat yang terdapat dalam tradisi keilmuan Islam.
Golongan
Muktazilah, Qadariyah dan Jabariyah terkenal dengan perbahasan ini. Dan betapa
Muktazilah itu begitu menonjolkan peranan dan kemampuan otak manusia dalam
berfikir dan menentukan kehidupan sendiri. Dan perbahasan ini dihubungkan
dengan kewajaran pengadilan di Hari Akhirat, dengan pembalasan syurga atau
nerakanya.
Manakala untuk
senaman otak pula, saya menegaskan bahawa Imam Ghazali mencadangkan kita
berzikir. Itulah senaman otak bagi pemikiran Tauhid. Dan kalau ingin mendalam
lagi bolehlah mempelajari Tasawuf, atau mengikuti jalur pemikiran Jalaluddin
Rumi melalui puisi-puisi sufinya.
Sengaja saya
tidak sebut Usuluddin dalam forum itu. Saya hanya sebut Tauhid sahaja, bagi
menegaskannya sebagai satu istilah yang seganding dengan Falsafah. Maksud saya,
sebagaimana pihak mereka itu menonjolkan kepentingan ilmu Falsafah dalam
pelbagai aktiviti hidup manusia, kita juga boleh menonjolkan kepentingan ilmu
Tauhid dalam perspektif yang kira-kira sama.
Sebagaimana
Hishamuddin menonjolkan peranan Socrates dalam mengasaskan pemikiran manusia,
saya pula menonjolkan peranan Muhammad (Rasulullah saw), yang oleh Michael Hart
dalam menyenaraikan orang paling berpengaruh dalam sejarah manusia, telah
meletakkan Muhammad sebagai orang pertama yang paling berpengaruh itu (The 100 A Ranking of the Most Influential
Persons in History, 1978).
Saya tegaskan
bahawa Muhammad tidak pernah mengajar Falsafah. Tetapi Muhammad mengajar kita
mengenali siapakah kita, dari manakah asalnya kita dan ke manakah tujuan kita
akhirnya.
Tauhid sebagai
satu bidang ilmu pun memang tidak ada di zaman Nabi Muhammad (saw) dan para Sahabatnya.
Tetapi intipati ilmu Tauhid itu, memang itulah yang diajar oleh Nabi Muhammad
dan memang itulah misi kerasulannya.
Saya teringat
sewaktu ‘huru-hara’ pemikiran di sekitar pembelajaran Tauhid dan Usuluddin di
Kolej Islam dulu, saya pernah mencadangkan supaya ilmu tauhid itu dimansuhkan
daripada kurikulum. Sebab apa? Sebab ia memang boleh mengelirukan pemikiran
anak-anak remaja sekiranya pihak guru gagal membawa penjelasan yang sesuai
dengan pemikiran mereka, atau sebahagian daripada mereka (seperti pernah
berlaku di zaman saya itu).
Demikianlah saya
berterima kasih kepada Hishamuddin Rais. Walaupun hujah-hujahnya dalam forum
itu banyak mendapat sanggahan daripada saya, namun tak dapat dinafikan
hujah-hujahnya itulah yang telah membuka fikiran saya untuk melihat Tauhid
dalam perspektifnya yang baru, iaitu perspektif falsafah.
Michael Hart
(1978) sudah menyenaraikan Muhammad di tempat pertama sebagai orang paling
berpengaruh dalam sejarah manusia. Siapakah pula akan memasukkan Muhammad
sebagai tokoh yang membawa pemikiran baru dalam sejarah pemikiran (falsafah)
dunia?
Atau sebenarnya
tidak sesuai dan tidak kena untuk meletakkan Muhammad sebagai seorang pemikir
atau pembawa pemikiran baru dalam sejarah dunia? Beliau seorang Nabi dan Rasul,
bukannya seorang pemikir atau ahli falsafah. (Bukankah Imam Ghazali telah
menolak falsafah sebagai ilmu yang boleh membawa kepada Kebenaran?).
(Penulis boleh juga
dihubungi dengan sms 019-7172408)
No comments:
Post a Comment