Dinsman (Hrkh 420, 14/214)
Membina
‘kayangan’ di atas bumi
Bayangkan – apakah agaknya reaksi anda apabila mendengar
seseorang mengatakan “Mari kita bina sebuah kayangan di atas bumi kita ini”;
atau “Sebuah kayangan akan wujud di atas bumi kita ini”?
Barangkali reaksi segera anda ialah orang tersebut
bercakap tentang sesuatu yang mustahil; atau dia hanya berimaginasi; atau dia bercakap
tentang sesuatu yang terlalu ideal, tentang utopia,
yang tak mungkin akan dicapai.
Dan supaya fikiran anda tidak tersasar terlalu jauh, elok
saya nyatakan bahawa seseorang itu ialah seorang bukan Melayu yang sudah
berumur sekitar 70 tahun atau lebih, dan pergaulan-nya meliputi ramai orang
sastera dan budaya, termasuk beberapa orang Sasterawan Negara.
“Sebuah kayangan boleh kita wujudkan di atas bumi kita
ini,” katanya. Dan dia berkata begitu dalam sebuah sidang media yang diadakan
di tingkat 31 Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 10 Februari lalu. Di hadapan ramai
para wartawan dan jurugambar. Sidang media mengenai penubuhan Yayasan Usman
Awang.
Dia mengatakannya dalam satu pengucapan yang kurang
lancar. Agak lama juga dia diam tak berkata-kata, kerana mencari perkataan yang
sesuai, sebelum mengucapkan kata ‘kayangan’ itu. Apakah memang kata ‘kayangan’
itu yang dicari dan dimaksudkannya? Atau dia tersilap memilih perkataan?
“Membina kayangan di atas bumi”, seingat saya, bukanlah
suatu ungkapan yang biasa diucapkan dalam budaya Melayu. Saya pun tak pernah
mendengarnya sebelum ini. Mungkinkah dia tersilap memilih perkataan?
Hari itu, selepas selesai sidang media itu dan selepas
makan tengahari, kami ada satu perjumpaan lagi, di bilik mesyuarat di pejabat
Hai-0, kerana ada seorang wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal
perpaduan), ingin menyampaikan maklumat kepada pihak Huazong (Gabungan Dewan
Perhimpunan Cina Malaysia), mengenai sesuatu yang ada kaitannya dengan Anugerah
Integrasi Nasional Usman Awang.
Dalam perjumpaan itu juga, secara kebetulan, Tan Kai Hee
memperkenalkan seseorang yang namanya Dr Foo, yang telah menjalankan aktiviti
mempromosi perpaduan kaum melalui satu program yang dipanggil ‘sepupu’. Dan
selepas Dr Foo menjelaskan sedikit sebanyak mengenai program ‘sepupu’ itu, Tan
Kai Hee pula menjelaskan sedikit sebanyak wawasannya mengenai apa yang nak
dicapai melalui Yayasan Usman Awang dan Anugerah Integrasi Nasional Usman
Awang-Huazong.
Dalam ucapan ringkasnya itu sekali lagi dia menyebut
mengenai membina kayangan di bumi. Maka sahlah bagi saya dia tidak tersilap
memilih perkataan. Memang dia bermaksud begitu. Sesuatu yang sangat ideal.
Sesuatu yang menjadi idaman semua orang. Satu suasana hidup yang sejahtera,
aman-bahagia, yang diimpikan oleh semua orang. Umpama kehidupan di kayangan,
tetapi dapat dibina di atas bumi ini, melalui penghayatan karya-karya Usman
Awang.
“Terlalu tinggi wawasan Tan Kai Hee terhadap apa yang
boleh dicapai oleh Yayasan Usman Awang,” kata saya kepada Kassim.
“Dia melihat karya-karya Usman Awang itu begitu tinggi
dan mulia, sehingga boleh membina kayangan di atas muka bumi,” sambut Kassim.
Dan dalam ucapannya di majlis makan malam Pertemuan
Kawan-kawan Usman Awang sempena pengumuman penubuhan Yayasan Usman Awang, di
Dewan Bahasa dan Pustaka pada 20 Februari, sekali lagi Tan Kai Hee
mengungkapkan harapannya itu – mewujudkan kayangan di bumi.
Maka tidak hairanlah mengapa dia sanggup menyumbangkan
dana sebanyak RM2 juta kepada wawasan tersebut, iaitu RM1 juta melalui
syarikatnya Hai-0 Berhad, untuk Yayasan Usman Awang; dan RM1 juta lagi
sumbangan dia sendiri kepada Huazong, bagi menjayakan Anugerah Integrasi
Nasional Usman Awang.
RM2 juta ringgit bukanlah satu jumlah yang kecil.
Disumbangkan oleh seorang individu kepada cita-cita kemanusiaan dan perpaduan,
yang diyakininya boleh dicapai melalui usaha-usaha seni, sastera dan budaya.
Beberapa orang kawan menimbulkan soalan – mengapa tidak
ada di kalangan jutawan Melayu kita yang mempunyai kesedaran seperti itu dan
tampil membuat sumbangan yang serupa kepada seni-budaya kita?
Saya tidak pasti apakah soalan itu wajar ditimbulkan atau
tidak, kerana perkara ini saya fikir bukanlah satu perkara yang ada hubungannya
dengan kaum atau bangsa. Ia adalah sesuatu yang tumbuh secara ikhlas dan luhur
dari hati nurani seorang individu insan, hasil satu talian persahabatan yang
juga ikhlas dan luhur, yang tidak mengenal perbezaan kaum dan agama.
Memang ia ada kaitannya dengan perkembangan sosial dalam
masyarakat kita hari ini yang hubungan antara kaumnya sedang terancam
disebabkan oleh mainan politik. Barangkali menyedari bahaya perkauaman itulah maka
Tan Kai Hee timbul dengan idea mempromosi semangat kemanusiaan Usman Awang
melalui penubuhan yayasan dan anjuran anugerah berkenaan.
Tidak perlu kita timbulkan soal dia berketurunan Cina dan
Usman Awang berketurunan Melayu. Apa yang perlu kita buat sekarang ialah
membantu gerak kerja yayasan dan anugerah tersebut, agar cita-cita dan wawasan
untuk suatu masyarakat yang umpama “kayangan di bumi” itu dapat dicapai.
(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms
019-7172408)
No comments:
Post a Comment