Cita-cita dan
impian boleh saja memakan diri
Setiap manusia
normal memiliki semacam cita-cita peribadi yang mahu dipenuhinya, jika mungkin,
sebelum dia memejam (dipejamkan?) matanya
buat selama-lamanya. Apakah ini sebuah pernyataan (statement) yang adil? Rasanya memang begitulah sikap manusia yang
normal dengan telatahnya; yang berbeza hanyalah besar kecilnya cita-cita
peribadi yang mahu dipenuhinya sebelum dia pejam mata. Apakah salah jika setiap manusia yang normal
itu memiliki cita-cita peribadi yang mahu diisinya sebelum dia mati?
Sebagai
manusia yang kecil dalam kehidupan yang serba luas ini, dia selalu terbayangkan
sebuah rumah kecil buat melindungi anak-anak dan isteri; rumah untuk mereka
anak beranak berteduh dan melelapkan mata. Itulah mimpi kehidupannya yang sukar
dibuang jauh-jauh walaupun setiap malam, rumah yang didiami sekarang sudah memadainya
buatnya. Jika ‘mata’ dan ‘kepala’nya
dijadikannya ukuran cita-citanya, rumah
yang ada sekarang sudahpun memadai. Kepalanya pantang mencecah bantal, mata pasti
lelap dan dengkur juga datang bertandang, setiap kali dia memilih untuk tidur. Jadi,
tidur nyenyak itu bukan masalah yang
besar buatnya kerana sejak zaman kanak-kanak lagi, dia tak punya sebarang masalah
‘memejamkan’ matanya. Sebaik saja kepalanya
mencecah bantal; waima berbantal lengan, dia pasti dapat menikmati nikmat tidur
nyenyak.
Namun sejak
mesin-mesin itu memasuki penempatan mereka di sepanjang sungai dan telah mula
pula bertingkah di sepanjang sungai itu kerana katanya “untuk menebat banjir”, dia sukar tidur nyenyak kerana bimbang kalau-kalau
esok atau pun lusa dia dan keluarga, tidak ada lagi rumah untuk berteduh. Sebagai
manusia yang kecil dalam kehidupan yang serba buas, dia selalu terbayangkan tentang
sebuah rumah kecil buat anak-anak dan isteri; rumah untuk mereka anak beranak
berteduh dan melelapkan mata. Sekarang ini, la la ni, rumah itu bakal lenyap
kerana katanya itulah cara yang paling bagus untuk menebat banjir yang sering
melanda kawasan-kawasan rumah banglo di hilir sungai. Sekarang ini, dalam kepalanya ialah sebuah soalan
rusuh, “Di mana aku bersama anak-anak dan isteriku akan pergi? Sungai yang manakah yang boleh kutumpangi dan
dirikan sebuah rumah?”
2.0 Sepanjang ingatannya, dia bermula dengan
menghantar (kepada akhbar-akhbar kegemarannya) pelbagai laporan dan peristiwa
semasa di kampung-kampung, tentunya termasuk kampungnya sendiri. Itulah
permulaannya. Kata orang, stringer. Ya, sebagai
stringer dia bermula dengan menghantar berita tentang hal-hal yang sederhana
tapi menyenangkan; tentang kerajaan yang telah memulakan projek itu dan projek
ini demi rakyat dan untuk rakyat; tentang persatuan belia yang giat beraktiviti,
tentang orang-orang politik tertentu yang ternyata peduli dan sangat tinggi
tahap kepeduliannya. Dan pabila sebuah ‘parti musuh’ mula kelihatan begitu
agresif ‘menghasut’ orang-orang kampung supaya ‘memilih Islam’ dan pemerintahan
Islam, maka sejak itu tajuk yang menjadi sasarannya setiap kali menulis ialah
parti Islam yang songsang. Itu cerita dulu-dulu, cerita tentang permulaannya
dalam tahun-tahun 60an tatkala kartun Wak Tempeh masih lagi menjadi bahan
renungan yang popular dalam akhbar tulisan Jawi.
Namun sekarang
ini, sejak dunia media berubah, sejak lahir media baru dengan ribuan penulis upahan
dan juga para penulis mandiri, dia masih lagi menulis. Dia menulis dalam media baru dan juga media konvensional
tentang politik; tentang tokoh-tokoh politik yang begitu beria-ia mahu merubah
dunia politik negaranya supaya menjadi lebih liberal dan menolak politik
siapakah tuan di negara ini. Baginya
yang liberal itu masih boleh diterima, tapi betapa amat menyedihkan ialah pabila tokoh politik Melayu sendiri menolak
ketuanan bangsanya sendiri. Itu yang
begitu sukar dimaafkannya kerana baginya itu sajalah yang masih ada di tangan
bangsanya. Yang lain-lainnya, apatah
lagi ekonomi, sudahpun hancur berderai
dan hilang dari tangan Melayu.
3.0 Yang
setinggan, yang korporat dan seniman budayawan dengan cita-cita dan impiannya
Seorang
setinggan tidak dapat tidur lena kerana terlalu runsing memikirkan rumahnya
yang bakal dirobohkan untuk memberikan laluan kepada projek “menebat banjir”
agar kawasan banglo di hilir tidak lagi dilanda banjir.
Seorang pengarang
veteran tersangatlah resah kerana tuan-tuan besarnya begitu resah melihat politikawan
Melayu yang jelas tersangat liberal (dan telah dengan sewenang-wenangnya mencampakkan
nasib dan masa depan bangsanya sendiri kerana sikap dan pendirian liberalnya
itu) sudahpun berakar pengaruhnya di kalangan rakyat Malaysia, sekarang ini semakin
agresif menyerang tuan-tuannya. Tuan-tuan
besarnya dengan harta terkumpul yang bertimbun-timbun itu, begitu resah memikirkan apa yang bakal terjadi
dengan harta-harta tersebut jika yang ketuanan sudah tidak ada lagi?
Seorang
seniman budayawan menolak politik yang berlebihan kerana masyarakat kita sudah terlalu
banyak berpolitik. Pilihan terbaik di antara pelbagai pilihan yang ada ialah
membuat apa yang boleh dibuat dengan sedaya dan terdaya dibuat. Baginya itulah pilihan yang terbaik.
Seorang
setinggan melarat, seorang pengarang veteran yang kaya raya dan seorang seniman
budayawan sentiasa sibuk mengejar cita-cita dan impian. Jalan yang manakah, yang terbaik untuk mereka
pilihi, dalam mengharungi hidup dan kehidupan yang maha buas ini?
No comments:
Post a Comment