Showing posts with label dongeng moden. Show all posts
Showing posts with label dongeng moden. Show all posts

Tuesday, November 25, 2014

Pemimpin pemikir





Pemimpin dan idea yang terjuntai


Diteruskan syarahnya:

“Pemimpin itu kitalah yang pilih, usung, angkat dan berikan amanah untuk memimpin.
Aku, sama seperti saudara,  punya suara dan pandangan tentang pemimpin dan kepimpinan.   
Aku, sama juga seperti saudara, bertanggungjawab dalam memilih pemimpin.

Aku mungkin seorang yang gemar bersyarah dan kerjaku setiap hari ialah bersyarah.  Sama ada seluruh dunia melihatku bersyarah atau pun tidak, itu tidak ada sebarang kesan kecuali saudara ini (dia menghampiriku, aku mundur setapak).  Saudara ini suka sekali, setiap kali aku hadir bersyarah. (Sekali lagi dia menghampiriku, aku cuba berdiri tegak seperti patung).   Tidak apa, bukankah kerjaku ialah bersyarah tentang dunia?  Dunia yang kacau!!”

Begitu melihat ada yang lalu lalang membuang puntung rokok, dia berhenti mendadak.  Seperti helang di puncak menara PWTC, dia menukik lalu menyambar sisa tembakau yang belum dibakar habis itu.  Dan di situlah dia bertinggung untuk sekian lamanya sambil menarik nikmat yang tak terkatakan.  Lama kemudiannya, baru disambungnya syarahan:

“Aku suka rokok dan gemarkan sisa-sisa puntung rokok yang dibuang.  Pemimpin punya kuasa, kedudukan, pangkat dan pengaruh.  Apakah pemimpin juga suka sisa nikmat puntung rokok dunia dan segala isinya?”

Aku, sama seperti saudara, memilih pemimpin bukan untuk memburu keinginannya tapi untuk mengurus negara dan orang-orang sepertiku!”

“Puntung rokok! Puntung rokok!!! Siapa ada puntung rokok paling nikmat?”

Tanpa disedarinya, puntungnya juga terjuntai seperti terjulurnya segala idea dan pemikiran para pemimpin negaranya tentang ekonomi dan bla bla...



Sunday, July 27, 2014

Abi Tok Ayah Incorporated





My Daddy, Abi Tok Ayah Incorporated


“Jadi, kau serius?” dahinya terus berkerut-kerut, pelupuk mata kian mengecil; dia sudah hampir-hampir sepet.  Segala alur, kerutan dan lipatan di dahinya tidak dapat dia sembunyikan lagi.

“Kau fikir aku main-main?  Kami berkenalan sejak dia mula-mula sampai ke Kaherah.  Akulah seniornya yang menyambut, mengurus, melayan dan menatangnya sepenuh jiwaku ― ibarat mengimbang-ampu sebuah takhta kristal.”

“Wah, menjaga atau meracik?  Kau tahu siapa Dedinya ‘kan?”

“Abi...” aku perbetulkan panggilan untuk bakal bapa mertuaku.

“Ya, Abi..” Aiman patuh meniru gayanya si tiung.    

Itu kisah akhir tahun-tahun 1990an.  Minggu lalu aku memberitahu Aiman yang kami akan bernikah sebelum akhir tahun.


“Dapat juga kau racik anak kesayangan Tok Ayah...” Aiman masih sukar mahu percaya aku layak menjadi menantunya orang hebat-hebat.

“Apa kau masih tidak percaya yang aku adalah lelaki terbaik dalam kalangan jejaka yang baik-baik...?”

 Kuhulurkan bukuku yang baru.  Dalam buku pertama,  kusyarah perihal bagaimana mahu belajar agama di negara asal usul para ulamak besar dunia.  Buku itu mendapat sambutan luar biasa, lebih-lebih lagi dalam kalangan para calon hafiz, hafizah, ustaz dan ustazah yang ada kaitan dengan Azhar.

“Ha, bukan main lagi – Tips Menjadi Menentu Yang Baik”   

Gambarku terpampang di kulit belakang, lengkap dengan “cv” dan segala macam kelulusan. Yang memikatkan tentunya nama Universiti tertua dunia. 

Kubiarkan Aiman mengimbas-imbas isinya:


Bab 1: Hormati bakal isterimu ― anak kesayangan bakal mertuamu ― dan jagalah anaknya baik-baik.   

“Nah! Itu telahpun kulakukan sejak kami sama-sama di Azhar lagi...”  kujelaskan walaupun Aiman tidak pula meminta sebarang penjelasan.


Bab 2: Dampingilah sang puteri di saat-saat diperlukan


“Pernahkah kau tengok aku abaikan Diyana?  Bukankah aku sentiasa di sisinya di saat-saat aku diperlukan ― semasa dia mahu ujian, praktikum, sakit gigi, mahu ke doktor atau pun deman?”


Bab 3: Bersikap dan bertindaklah seperti lelaki sejati


“Apa kau lihat aku ini jenis yang berkelakuan tidak senonoh di depan bakal isteriku dan juga di depan bakal mertuaku?”


Bab 4: Dekatilah bakal bapa mertuamu

“ Aku tak pernah lupa membuktikan bahawa aku sentiasa ingat dan teruja dengan Abinya Diyana.  Paling busuk pun,  aku selalu titipkan salam setiap kali dan pabila Diyana menelefon Abinya”


Bab 5: Hadiri, dekatilah dan bermesra-mesralah dengan keluarganya          

“Kenapa tak ada penjelasan?” Aiman seolah-olah menunggu keterangan lanjutku.

“Itu lebih banyak kulakukan bila kami sama-sama berada di Pantai Timur.” begitulah kira-kira penjelasanku.


Bab 6: Binalah jambatan kasih dengan keluarganya yang lain

“Itu tak jadi masalah besar kepadaku.  Aku sentiasa dirindui adik kakaknya.  Ini jelas terbukti jika aku terlalu lama tidak bertandang ke Pantai Timur.  Semua pada bertanya, di manakah Muaz?”


Bab 7: Berunding dan mendapatkan nasihat buah hatimu pabila ada masalah besar

“Bukankah yang lebih dekat, rapat dan mengetahui  segala ‘selok belok, liku dan tikungan perasaan’ seorang Abi itu adalah anaknya sendiri?  Sebelum kuperolehi jawatan juruperunding sekarang ini, itulah yang kubisik ke telinga Dyana.  Dan waktu itu kami sedang menunggu kehadiran cahaya mata kami yang pertama ...”

“Bolehkah kubicarakan karyamu ini?  Ini kit praktis terbaik untuk menawan hati mertua yang pernah kutemui!” 

Wah, ternyata Aiman juga teruja dengan kemahiranku, Muaz Al-Jabbar Al-Hafiz,  melagang agenda besar.   


27 Julai 2014
Kuala Lumpur.


Tuesday, January 28, 2014

Kerja JAHAT juga dirancang





Pengalaman LIMA hari S 


Hari pertama S melaporkan diri sebagai Hamba Rakyat, dia dimaklumkan tentang MPK, Manual Prosedur Kerja jawatannya sebagai seorang Hamba.  Dalam taklimat tugas sebagai Hamba Rakyat pada hari bersejarah itu, para penceramah menjelaskan ungkapan basi yang sering diucapkan oleh segala makhluk, “If you cannot beat them, join them” yang kira-kira bermaksud “Bergabunglah dengan mereka, sekiranya anda tidak lagi terdaya menentang!”


Hari kedua SE masuk ke pejabat sebagai Hamba Rakyat, dia dimaklumkan bahawa ada tugas khas yang perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin.  Keadaan memerlukan tindakan segera sebelum semuanya terlambat.


Hari ketiga SET masuk pejabat sebagai Hamba Rakyat, pasukan yang bakal keluar untuk bertindak telahpun siap dengan segala alat dan peralatan mereka.  Di antara alat dan peralatan termasuklah sepanduk menyeru segala manusia membuat onar.


Hari keempat SETA masuk pejabat sebagai Hamba Rakyat, pasukan yang bakal menyerang telah diberikan amaran keras supaya mematuhi segala gerak kerja yang telah diatur.  Pesan yang diulang-ulang, “Jangan sekali-kali tertangkap!”


Hari kelima SETAN masuk pejabat sebagai Hamba Rakyat, dia diberitahu dengan jelas dan nyata:
“Jika kita tidak dapat memerintah, jangan sekali-kali biarkan mereka memerintah dengan mudah”. Maka hari kelima itu,  lengkaplah 5S yang perlu dihafal dan dilaksanakan sebagai Hamba Rakyat.


Isterinya,  Setan Gundul sering ulangi sebuah amanat besar berbentuk soalan itu:
“Siapakah kata para setan tidak merancang?”



Monday, January 27, 2014

Kembali Ke Dunia Surreal






His first day as The Enforcer



Hari pertama dia memasuki Pejabat, dia dihulurkan bosnya senaskhah MPK, Manual Prosedur Kerja jawatannya.  “MPK ialah watikah keramat jawatan.  Ia mestilah sentiasa berada di penjuru kanan meja setiap pegawai” begitulah di antara pesan bosnya yang sukar dilupakan. Nyaris-nyaris muncul soalan kepada Bos, “Apakah ini Quran jawatan?”   


Oh, ya sebelum itu ada satu lagi upacara yang juga sukar dilupakannya; urusan basa basi “Salam Selamat Datang” dengan seluruh staf Pejabat itu.  Dan seperti kebanyakan pejabat-pejabat Kerajaan abad ke 21, bilangan staf kategori Minah-Minah jauh lebih ramai daripada Mat-Mat Balak.  Walaupun itu diakui oleh Bosnya dengan permerhatian khusus, “Bila kita buat serangan mengejut nanti, ini yang akan menjadi masalah terbesar, masalah menggabungkan para Minah dan Mat dalam misi menyergap perbuatan songsang”, namun dia gembira dengan komposisi Minah-Mat yang lebih berat kepada Minah.  Baginya berdasarkan pengalaman silamnya, Minah lebih mudah diurus jika dibandingkan dengan Mat.


MPK yang baru diberikan oleh Bos itu diselaknya, lembar demi lembar.  Setelah mengimbas segala basa basi, segala ucapan, aluan dan mukadimah Orang-Orang Besar Jabatan, matanya terpaku kepada lembaran yang menggariskan senarai perkataan yang haram disebut oleh orang-orang bukan beragama X.  Berikut ialah senarai nama yang menjadi milik mutlak orang-orang X:


i) Kentut
ii) Berak
iii) Syurga
iv) Sujud
v) Sembah
vi) Salam

..
..
..

xxx) Hidup
xxxi) Mati


Kata Bosnya senarai itu belum lengkap kerana “kita masih lagi dalam proses kemaskini dan penambahbaikan yang berterusan”.

Betapa kisruh dan kelam kabutnya duniaku jadinya.  Demikian patah-patah perkataan yang menyerangnya sepanjang hari.


2.0  


“How do we survive on this planet?”
“Are we the new Zionists or our very own version of Nazis?”
“My dear, when is the next rocket flight to another planet?”


Isterinya terkejut besar melihat Sang Suami muntah-muntah.  Malam pertama, hari pertama dia melaporkan diri ke jawatan baru, Sang Suami benar-benar meracau, racau-racau yang sakan.  Siang tadi Sang Suami baru saja melaporkan diri ke Pejabat Penguatkuasa Moral Negara; Pejabat ITU.  Dan setelah hidup berumah tangga lebih setengah abad, dia arif benar bila, bagaimana dan kenapa Sang Suami muntah dalam bahasa Inggeris.  Dia Inggeris sepenuhnya setiap kali, pabila dan sebaik saja dia diserang penyakit muntah-muntah.



Monday, August 5, 2013

Musim Pemilihan



To grab the attention of delegates, the pre-party election season has to erupt with bizarre fireworks.  Yes, to grab the attention of the delegates, some aspiring contestants are constantly prying and cooking for burning issues.  Normally, there is nothing easier, more effective, and surely more explosive yet juicy other than stirring up religious and racial sentiments.     

However these ambitious aspirants are having terribly-horrifying dreams.  This is the story of their predicament.



Penyakit musim pemilihan


Belum pernah doktor tua di pinggir kota itu dikunjungi serentak oleh sebegitu ramai pesakit yang kelihatannya menderitai penyakit yang sama ― dikejar-kejar para makhluk mimpi sehingga menerobos keluar ke dunia nyata ― alam sedar mereka.     

Aneh tapi benar, dari keterangan pesakit-pesakit pola serangan hampir-hampir sama saja; makhluknya gemar sekali memerintah dan di antara ayat-ayat perintah yang diulang-ulangi  oleh segala makhluk alam mimpi itu termasuklah:

“Kamu tidak boleh lagi berdiam diri.
Cari dan ciptalah peluang untuk menarik perhatian”.

Biasanya siri perintah diikuti pula dengan penjelasan:
 
“Ingat: setiap peluang adalah lauk.  Ciptalah lauk di mana saja, bila saja dan dengan siapa saja.  Rumus utama paling strategik ialah menarik perhatian segala ahli.

Akhirnya ditutupi dengan arah tegas:

Lebih bagus ― demi perhatian, letupkan peluang supaya ia meletup-meletup menjadi isu besar.  Lagi besar isunya,  lebih bagus.  Ya, letupkan isu!”

2.

Lalu mereka pun berbondong-bondong dan berduyun-duyun mengejar episod sup bak ku teh untuk berbuka, aksi anjing dan tuannya dalam klip ucapan selamat hari raya, ruang makan di sebelah jamban untuk anak-anak yang tidak berpuasa dan ― paling penting segala reaksi mempertahankan dan menjuarai agama suci, mestilah mendapat liputan maksima.  Katanya secara sengaja dan terus-terusan,  gerakan memperlekehkan dan provokatif terhadap kesucian agama suci ini mestilah diserang tanpa ampun.

“Bila pemilihannya?” tanya doktor tua itu.

“Hujung tahun doc.” jawab mereka, serentak.

“Nah, ini preskripsinya.  Cuba dapatkan di farmasi.  Saya kehabisan stok.”


3.

Ahli farmasi di pinggir kota yang sama masih membelek-belek preskripsi yang dicakar-cakar-ayamkan sang doktor tua, sahabat kental sahabat lamanya.  Perlahan-lahan urat-urat muka sang farmasis itu berkerut seribu; seluruh muka bulatnya ketat sepenuhnya.  Akhirnya.  Masakah doktor yang suku abad praktik mencadangkan ubat sebegini?  Mungkin kerana buntu yang amat sangat, akhirnya dia menghilang seketika sebelum muncul semula.

“Kenapa tuan? Nampak begitu cemas?” para pesakit yang memenuhi seluruh ruang farmasi itu ingin tahu ubat mujarab apakah yang telah ditetapkan untuk ubati penyakit mereka. 

“Tuan-tuan semua perlu sediakan ubat masing-masing”. 

“Ya??? Bagaimana??!!”

“Tuan-tuan semua TIDAK boleh tidur sehingga selesai musim pemilihan!”