Manusia melihat. Demikian jua kucing.
Sang kucing amat teruja tatkala melihat seekor burung leka mencari makan di laman rumah. Tingkah sang pemangsa merapatkan perutnya ke tanah, buntut yang digoyang-goyang, kaki belakangnya terpancang kukuh adalah aba-aba yang jelas bahawa itulah saat-saat terakhir lonjakan-mautnya. Citra telatah pemangsa yang sentiasa siap untuk membunuh.
Apakah bedanya penglihatan kita, manusia dengan seekor pemangsa di laman rumah? Pernahkah kita melihat 'suatu peristiwa itu' sepertimana kita melihat sinar yang dibias oleh sebuah prisma kaca? Mereka yang jinak dengan dunia persajakan faham benar prisma makna yang dibias oleh sesebuah karya yang baik. Ertinya manusia sebagai makhluk-bukan-kucing akan membaca makna-makna yang dibias pelbagai peristiwa.
Kebetulan kami sama-sama menjadi tetamu sebuah rumah sakit, masing-masing ada handai taulan yang lagi sakit. Di dalam perbualan sambil menghirup kopi pekat dan teh tarik, kami meredah tajuk yang pelbagai: Dari soal bahasa ibunda, peranan penjawat awam yang baik, habuan dan rezeki manusia yang dianugerahi nikmat-kekayaan yang bernama kesihatan sehinggalah menyentuh perihal protes rakyat, penentangan GMP terhadap PPSMI. Protes? Lantas teman bicara ini menambah bahawa besannya pernah "di sana"
"Di sana?"
"Di Kemunting, tapi dia sudah meninggal! Saya rasa penjawat awam mestilah tahu membawa diri."
Perbualan kami terhenti di situ. Dia tergesa-gesa mahu pergi kerana "Anaknya mungkin sudah lama menunggu" Atau apakah dia dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang sedang bergelora? Mungkin.
Tatkala sendirian, saya teringatkan banyak perkara. Namun yang paling nyaring terngiang-ngiang di lubuk nurani adalah persoalan: Berapa jauhkah rumah tamadun kita?
3 comments:
nak cuba acu try test komen!
Ya, betul tu, penambahbaikan sememangnya melibatkan penelitian dan ujian proses kerja. Macam yang disarankan di dalam mana-mana proses kualiti.
Terima kasih, Pyan.
sesungguhnya barajiwa perlu lebih menyelami kelukaan hati anak-anak mangsa memali dan isa
dan kesabaran hati isteri-isteri mangsa memali dan isa , kerana di situlah letak nya nilai rumah tamadun kita
Post a Comment