Wednesday, May 13, 2009

Padang rata untuk rakyat


Pertandingan yang sihat sepatutnya mampu menghasilkan produk terbaik. Contohnya pada akhir musim pertandingan, sebuah liga primer akan perolehi sang Juara: Produk terbaik pertandingan. Apakah mungkin semua pertandingan menghasilkan produk yang terbaik?

Belum tentu. Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi hasil pertandingan. Salah satu faktor utamanya ialah ketelusan pengendalian pertandingan. Apakah pertandingan yang nyata berat sebelah dan melanggari segala macam peraturan itu benar-benar berupaya menghasilkan Juara tulen?

Sebenarnya padang pertandingan yang tidak rata wujud dalam pelbagai bentuk: Antara lain penipuan, ketidaktelusan penguatkuasaan peraturan, sikap berat sebelah dan tidak amanah si pengadil. Dan sebagai individu, kita sering berfikir bahawa kita tidak terdaya berbuat apa-apa walaupun sangat yakin sesungguhnya penyelewengan-penipuan berleluasa di depan mata kita!.

Benarkah kita benar-benar tidak terdaya? Adakah ini fakta atau sekadar tanggapan saja? Bukankah BERSIH, keranda 152 dulu dan kini (2009), GMP dan PPSMI 7 Mac 2009 adalah peristiwa benar sebuah bangsa? Kita, rakyat jelata telah membenarkan peristiwa-peristiwa tersebut.

Kezaliman berleluasa kerana kita mengizinkan maksiat-hina-para-penguasa itu hidup, membesar, melembaga menjadi budaya yang akhirnya merongrong kehidupan kita. Kita sebagai rakyat merelakan segala bentuk kezaliman tumbesar di dalam masyarakat. Kita, sebagai rakyat memilih jalan yang paling mudah; kita tidak berbuat apa-apa. Kita takut terlibat kerana dipenjara oleh ketakutan yang tidak pernah kenal sempadan waras.

Namun kita lupa hakikat bahawa tidak berbuat apa itu
(the do-nothing option )
adalah tindakan yang bakal ditanya di depan Pemilik kita. Tak percaya? Pengantin perempuan yang berdiam diri tatkala ditanya, apakah bersetuju dikahwinkan dengan si folan bin si folan, selalu ditafsirkan sebagai persetujuan mutlak. Di dalam tradisi hadith dikatakan juga bahawa diamnya Nabi SAW itu menandakan persetujuan Baginda. Oleh sebab itu apakah kita yang telah tidak dan tidak akan berbuat apa-apa itu dikira tidak terlibat?

Apakah kita sentiasa berpendapat bahawa kita, rakyat biasa ini adalah manusia kerdil yang sama sekali tidak terdaya? Apakah kita bukan pengundi, pembayar cukai, pengguna dan pembeli? Apakah kita bukan pekerja? Adakah kita bukan anggota masyarakat madani? Apakah kita cicak mengkarung yang hanya pandai melata?

Apakah kita selamanya cenderung berfikir bahawa sesungguhnya (kita=rakyat=kita=rakyat) itu sememangnya kerdil, selama-lamanya?

Ya?

Kita, rakyat jelata mungkin perlu menelaah semula kitab-kitab kebijaksanaan yang tersimpan di dalam rumah sejarah.

1 comment:

srikuala said...

apakah mungkin kita nak salahkan rakyat sepenuhnya,walaupaun perjuangan menegakkan yang haq memerlukan pengorbanan, namun sukar untuk mendapat suatu toleransi keluarga yang agak baik dan sehaluan dengan landasan perjuangan.
mampukah kita melihat anak kita merengek kelaparan akibat tidak turun kelaut kerana menghadiri suatu perhimpunan. apakah sanggup kita melihat gelojak nafsu sang isteri yang sering bersendirian di dingin malam.
sekarang perjuangan sudah banyak ketirisannya, sebab itu kalau kita memiliki isteri dan anak yang soleh bermakna kita sudah memiliki dunia dan isinya, kerana bagaimana kita nak menangani isu ppsmi, isu pru bersih, isu isa, kalau keluarga sendiri tidak menyokong perjuangan ini malah jadi penetang pula.
dan yang paling penting adakah lagi kitab kebijaksanaan di dalam rumah sejarah.