Ada seorang mantan pemimpin yang gemar sekali menggunakan kaedah berhujah sebab dan akibat. Salah satu contohnya berbunyi begini:
Bangsa yang miskin tidak akan dihormati. Orang Melayu rata-rata miskin, maka jadilah Melayu itu bangsa yang tidak dihormati.
Apakah penawarnya? Lalu berhujahlah mantan pemimpin itu, kita perlu kayakan orang-orang Melayu. Maka telah terternaklah beberapa kerat Melayu segera, menjadi jutawan segera Melayu segera.
Ada pula seorang pemimpin yang kerjanya bercerita bahawa sesungguhnya hidup ini ada bahagian dunianya dan ada bahagian akhiratnya. Walaupun beliau itu CEO sebuah negeri itulah yang dilakukannya saban waktu. Tarbiah..tarbiah.. dan tarbiah dengan mengandalkan tingkah lakunya sebagai model untuk dicontohi.
Dan kebetulan tatkala menyusun buku-buku di rak, saya terbaca sebuah cerpen “The Butterfly and the Tin of Paint” di dalam antologi “Beyond the Blue Mountains” karya Penelope Lively (Penguin, 1997). Salah satu ungkapan menarik di dalam cerpen tersebut berbunyi begini:
“Thus, a butterfly in the Amazon forest flap its wings and provokes a tornado in Texas” yang kira-kira bermaksud begini “ Begitulah, seekor kupu-kupu di hutan Amazon mengepak sayapnya lalu mencetuskan taufan di Texas.”
Ceritanya melibatkan setin cat cap Dulux Gloss White, Pete, Ambrose, Lennie, pemandu lori. Itulah di antara mata rantai yang menyebabkan seorang Menteri Perdana terpaksa meletak jawatan kerana dipotret terlibat di dalam skandal. Begitulah sebuah karya kreatif yang sarat sebab dan akibat.
Ada satu dua soalan untuk renungan bersama:
Telatah sebab-akibat pemimpin mana (mantan atau yang CEO) yang mahu kita pakai?
Bila lagi para penulis kita mahu mengepakkan sayap-sayap sakti mereka?
1 comment:
BETULLAH TU!
JANGAN PAKAI YANG MANTAN, PAKAI YANG BELUM KHATAN.
AZIZI ABDULLAH
Post a Comment