Saturday, August 15, 2009

serai, daun limau purut

“Tom yam mesti ada daun limau purut dan serai,” demikianlah pandangan seorang teman PMBK, saudara Mat Ali tatkala kami duduk-duduk merakamkan aktiviti di sekitar Gua Madu, Gua Musang pada Jumaat 14 Ogos 2009 yang lalu. Mat Ali sedang bersemangat berfalsafah tentang pemimpin dan kepimpinan. “Kalau tom yam tak pakai limau purut dan serai, itu bukanlah tom yam namanya, itu dah jadi singei .” Hujah Mat Ali lagi.

Limau purut (citrus padeda) kata Kamus Dewan, edisi keempat 2005 ‘sejenis limau yang kasar kulitnya’ sementara serai pula (cymbopogon citratus) ‘sejenis tumbuhan rumput yang daunnya berbau harum’ adalah bahan-bahan mesti untuk masakan tom yam. Namun tak ada orang yang normal memakan serai dan daun limau purut tatkala menikmati hidangan tom yamnya. Kalau ada yang berbuat begitu, itu satu kelainan.

Memang benarlah kata-kata teman saya ini, serai dan daun limau purut tom yam yang tidak dimakan, TIDAK boleh dilupakan walaupun tom yamnya telah terhidang. Apakah para pemimpin kita termasuk dalam kategori mereka yang selalu melupakan serai-daun limau purut tom yam mereka?

Percayalah rakyat bukan lagi sekadar angka untuk peti-peti lima tahun sekali. Tidak juga rakyat itu serai dan daun limau perut, perisa tom yam. Rakyat sewajarnya menjadi roh, hati nurani dan hela nafas, tubuh yang namanya pemimpin.

Wallahuaklam.




1 comment:

din said...

Mat Ali tentu suka baca tulisan ni.