Wednesday, September 30, 2009

Siapakah yang perlukan kuda?




(Sesekali elok juga kita semak makna pembangunan itu)


Katakanlah kita ini warga sebuah masyarakat yang tidak pernah mengenali apa yang namanya kereta atau pun sebarang jenis kenderaan bermesin. Bagaimanakah agaknya kita bergerak dari satu tempat? Ya, ketika itu.

Ali Shariati dalam sebuah tulisannya berjudul “Civilisation and Modernization: What’s the Difference?” memberikan contoh yang cukup menarik. Kata Shariati tatkala dia sedang belajar di Eropah, dia merasakan pelik tatkala mendapat tahu bahawa sebuah kilang pengeluar kereta mengiklankan jawatan bergaji tinggi untuk ahli-ahli sosiologi dan saikologi (sociologists dan psychologists). Saya sedang mencari kerja dan berminat untuk mengetahui kenapakah kilang kereta memerlukan sociologists dan psychologists.

Lalu Shariati bercerita tentang sekumpulan manusia asli di sebuah negara di benua Afrika yang dalam kehidupan seharian mereka, bergerak dengan berkuda. Mereka tidak berpakaian dan memelihara binatang ternakan sebagai sumber penghidupan. Di sana tidak ada sekolah, tidak jua jalan raya. Dan di depan khemah ketua suku kaum itu tertambat dua ekor kuda yang gagah tangkas; yang terbaik. Dalam masyarakat manusia peribumi ini, siapa saja yang memiliki kuda yang paling bagus, dialah yang paling unggul, berprestij dan dicemburui.

Bagaimanakah mereka, para pemodal-kapitalis dari Barat ini berupaya menjual timbunan kereta yang dikeluarkan jika keadaan ini berkekalan?

“Kami perlu memodenkan ketua suku kaumnya: Kalau selalunya si ketua ini menambat kuda-kudanya di laman khemah, kami telah menggantikannya dengan dua buah kereta.”

Shariati bingung: Mana jalan rayanya?

“Kami telah membina jalan raya sepanjang 8 kilometer di situ.”


II)


Terdapat banyak sebab kenapa dan bagaimana sungai-sungai kita yang dulunya prestine telah mememui ajalnya, pelahan-lahan.

Salah satu sebabnya ialah kerana kita telah menjadi moden: Kita telah didatangi air dalam bosi.





III)


Kata Cikgu Azmi, Presiden Teras, “Semasa Projek Jerai Industrial Park sedang panas dalam agenda pembangunan” oleh mantan seorang MB Umno di Kedah, “Ada tak kurang dua ribu orang berkumpul di rumah saya ni!” Benarlah, orang cerdik tidak mudah diperdaya dengan silau kemilau pembangunan.


IV)


Apakah semestinya, kita terkam dan telan semuanya, segala-galanya atas nama pembangunan? Jangan mudah terpedaya dengan gabungan politikus-bisnes rakus. Jangan mudah terpedaya! Bak kata itu si anak Rais dalam blog tukartiubnya....pasti ada mau masyyuuukk!!

















Sunday, September 27, 2009

'Budayawan Bertindak' menyokong Pak Samad




Artikel 'Wacana Budaya' Dinsman (Harakah Bil. 1475, 28 Sept - 1 Oktober 2009)

Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dengan begitu cepat sekali bertindak menganjurkan sebuah majlis baca puisi khas, “Bahasa Jiwa Bangsa” (dalam siri “Puisi Di Ambang Sore”), sebagai menyahut cadangan daripada Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) agar diadakan acara bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan Sasterawan Negara A Samad Said, bagi mendaulatkan kembali bahasa Melayu di negara ini.

Kita semua tentu sudah sangat maklum akan pendirian SN Samad Said sejak bermulanya gerakan yang dipimpin oleh GMP atau Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) awal tahun ini. Selaku Penasihat GMP, sejak turun ke jalan raya dan menghidu gas pemedih mata dan sesak nafas dalam himpunan 100 ribu rakyat menentang PPSMI pada 8 Mac, Samad Said tidak pernah lagi memandang ke belakang.

Dari masa ke semasa, kenyataannya semakin lantang menyatakan komitmennya untuk perjuangan bahasa, “biar sampai ke akhirat” katanya. Sesiapa sahaja pemimpin yang cuba meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di negara ini, dianggapnya sebagai pengkhianat yang mesti dijatuhkan.

Dan dia sendiri telah berjanji akan meneruskan perjuangan ini, dengan menggunakan saluran-saluran yang penting termasuk saluran politik dan pilihanraya, bagi memastikan kerajaan yang mengkhianati bahasanya (dan identiti negara-bangsa ini), tidak akan dipilih lagi, sebaliknya diganti dengan kerajaan baru yang lebih peka terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Komitmen Samad Said ternyata sudah jauh melampaui komitmen seni dan sastera yang menjadi pegangan dan pendiriannya selama ini. Komitmennya kini tidak lagi terbatas kepada ruang daerah seni dan sastera sahaja, tetapi telah mengalir juga ke ruang daerah lain, bersama-sama dengan rakyat yang sekian lama menjadi bahan dan sumber inspirasi seninya.

Inilah dia komitmen budaya seorang seniman dan budayawan besar milik bangsa dan negara ini. Maka kita haruslah berbangga dengannya. Bahawa dia telah menjadi simbol perjuangan budaya kita. Inilah yang dirasakan oleh beberapa orang seniman dan budayawan di dalam Paksi dan juga yang bersahabat dengan Paksi, lalu membawa mereka bertemu di Rumah Pena pada petang Ahad 6 September lalu.

Seramai 11 orang seniman dan cendekiawan yang bertemu menjelang saat berbuka puasa dengan e-Sastera di Rumah Pena itu, bukan sahaja telah bersetuju untuk menyambut komitmen perjuangan A Samad Said, dengan merancangkan beberapa aktiviti yang sesuai, tetapi mereka juga bersetuju untuk bergabung tenaga dan suara secara berterusan, bagi menyatakan kehadiran seniman dan cendekiawan dalam arus kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.

Buat sementara ini, atas cadangan Prof Emeritus Abdullah Hassan, mereka menamakan kumpulan mereka yang tiga orang daripadanya dari kaum Cina itu sebagai “Budayawan Bertindak”. Suatu nama yang cukup sesuai dengan kesedaran di kalangan mereka – bahawa golongan budayawan-cendekiawan tidak sepatutnya berdiam diri membiarkan golongan politikus dan bisnesmen sahaja menentukan arus pembangunan dan perubahan dalam masyarakat, tetapi mereka juga perlu bertindak aktif dalam arus kehidupan tersebut. Ya, ‘Budayawan Bertindak’!

Berita dan wacana bahawa perjuangan SN A Samad Said perlu diberi sokongan itu disebar juga kepada kawan-kawan di luar Kuala Lumpur. Aktivis teater di Trengganu yang telah menghasilkan puluhan karya, Wan Ahmad Ismail, yang kebetulan datang ke Kuala Lumpur, memberi sambutan yang sangat menggelorakan.

Manakala di utara, Anuar Asmadi (Ketua Satu 2PNP), seperti yang diceritakannya dalam tulisannya di Harakah Bil.1474, 18 Sept, ms F22: “Lantas saya pun hubungi beberapa teman di Pulau Pinang seperti sasterawan Azizi Hj Abdullah, Marzuki Ali (ahli cipta USM), dan Azmi Hamid (Presiden Teras). Mereka memberi jawapan yang positif dan meminta 2PNP merencanakan satu kegiatan…”

Itulah dia – “Baca Puisi Di Ambang Sore” dengan tema “Bahasa Jiwa Bangsa” akan diadakan di Laman Ilmu, Masjid Batu, Permatang Pauh, pada petang 3 Oktober. Ini memang di luar perancangan kumpulan 11 yang menamakan diri mereka “Budayawan Bertindak” tadi. Tetapi itulah dia – sesiapa sahaja budayawan yang mahu bertindak, maka mereka pun adalah juga “Budayawan Bertindak”. Bukankah begitu?

Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras itu, malah menyatakan minatnya yang sangat besar terhadap gagasan ‘Budayawan Bertindak’ ini. Dia malah mencadangkan supaya “geng 11” yang membuat inisiatif Budayawan Bertindak di Kuala Lumpur itu turun ke Permatang Pauh pada 3 Oktober, meraikan majlis baca puisi anjuran 2PNP yang mempunyai tujuan yang sama. Dan kemudian sama-sama pula membincangkan tindakan ‘Budayawan Bertindak’ yang selanjutnya.

Menarik, memang menarik. Komitmen berani yang dibuat oleh SN A Samad Said itu nampaknya telah menggerakkan minda dan rasa-sedar ramai kawan-kawan seniman, sasterawan, budayawan dan cendekiawan. Kalaulah ini suatu petanda akan bermulanya suatu gerakan kebudayaan baru dalam masyarakat kita….

Apa pun, biarlah kita jangan terlalu cepat memasang angan-angan dan imaginasi yang belum tentu bagaimana jadinya lagi. Wan Ahmad Ismail mungkin sedang bersama dengan kawan-kawannya di Kuala Trengganu mengaturkan satu acara seni-budaya yang sesuai bagi menyambut cabaran yang dilontarkan oleh A Samad Said itu.

Manakala di Selangor Dr Ibrahim Ghafar mungkin juga sedang melakukan hal yang sama. Dan begitu juga dengan Lee Ban Chen, kolumnis Malaysiakini yang percaya dan menulis dalam bahasa Melayu, barangkali sedang merancangkan sesuatu dengan kawan-kawannya Goh Kean Seng dan Wong Chun Nam.

Biarlah semuanya bergerak sesuai dengan kemampuan dan kepakaran masing-masing. Dan sementara itu sesiapa yang teringin hendak bersama-sama dengan gerak pertama ‘Budayawan Bertindak’ pada 3 Oktober ini, mereka bolehlah datang ke Masjid Batu, Permatang Pauh, solat Asar di situ, dan jumpa kawan-kawan. Dan kalau ada apa-apa kemusykilan, bolehlah berhubung terus dengan Ketua Satu 2PNP, Anuar Ahmad, telefon 019-5626982.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel
dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)



Politik Pembangunan, politik jamban






Setiap kali mengunjungi Pasar Siti Khadijah, kelihatannya Dinsman tidak boleh tidur nyenyak jika tidak bercakap tentang “jamban yang lebih besar daripada Pasarnya!”

“Tengoklah saiz tandasnya!” Itu yang disebut-sebutnya walaupun seribu kali kami melewati tandas itu. Ya, bagi saya jamban itu sudah jadi semacam simbol nafsu besar untuk menyatakan bahawa kamilah pencipta pembangunan di negeri ini.

Satu ketika kami ke Gunung Stong. Saya juga cukup tertarik dengan iklan yang seolah-olah mahu mengumumkan kepada seluruh dunia ini: Kamilah jaguh pembangunan....ya, termasuk tandasnya.

Demikianlah wajah politik kita. Mereka yang sekian lama berkuasa mahu terus berlumba-lumba memberitahu rakyat: Hatta tandas sekali pun kami mampu bangunkan. Malah kami mampu membangunkannya dengan skala yang jauh lebih besar, dengan lebih gagah dan lebih megah...

Lalu tatkala ada wira yang terus-terusan menjerit-jerit kenapa kita semua perlu segera banteras politik tandas ini, kita semua telah terlupa untuk terkejut. Beruk-beruk juga mudah lupa bagaimana mahu terkejut. Mungkin kita perlu bertanya kepada yang maha arif bagaimanakah caranya. Kita perlu bertanya akan formulanya memberantas politik tandas ini kepada yang paling lama@paling arif memerintah negara ini.

Dan apabila sehari dua ini, orang ini terus saja menyebut bahawa ISA, Sami tidak layak kerana pernah terpalit dengan politik tandas, kita pun tidak tahu apakah mahu menangis atau ketawa?
















"Bila Malam Bertambah Malam"






“Kenapa Ngurah ditjegah kawin?” tanjanja. “ Kita sudah tjukup menderita karena perbedaan kasta ini. Sekarang sudah waktunya pemuda2 bertindak. Dunia sekarang sudah berubah. Orang harus menghargai satu sama lain tanpa membeda-bedakan lagi.”

Dan pada halaman lain novel Putu Wijaya ini, kita temui:

“Ngurah mungkin menjangka dia ayah Ngurah jang sedjati. Sebab dia suami sjah ibu Ngurah. Tetapi dia bukanlah seorang pedjuang. Dia seorang pendjilat. Musuh gerilja. Dia bukan seorang lelaki djantan. Dia seorang wangdu!”

Membaca “Bila Malam Bertambah Malam” Putu Wijaya (Pustaka Jaya, Jakarta 1971), mengingatkan kita kepada sekian banyak bahan yang diterbitkan oleh SIRD, Strategic Information and Research Development Centre, Petaling Jaya yang membukukan perjuangan manusia-manusia seperti Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin, Fong Chong Pik atau Baharuddin CD dan lain-lainnya. (Lee Ban Chen memuatkan kisah Rashid Maidin dalam tiga buah bab koleksi rencana kritisnya “Bagaimana Keris Diganti Dengan Merpati?” Oriengroup Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2008 )

Apa lagi dalam BMBMnya Putu Wijaya ini?

Kata Putu Wijaya, versi rasminya (apakah ini juga pandangan masyarakat umum?) sentiasa menghebahkan bahawa I Gusti Ngurah Ketut Mantri adalah pejuang@wira yang gugur tatkala menentang penjajah Belanda. Dan versi rasminya itu juga menyatakan bahawa Ngurah adalah anak kandung hasil perkahwinan sang wira tersebut dengan Gusti Biang. Namun Wajan, lelaki tua pikun yang menjadi pesuruh seumur hidup dan kekasihnya Gusti Biang yang bangsawan itu mengetahui semuanya...tentang rahsia ‘pejuang’ yang khianat-impoten yang memiliki lima belas orang perempuan simpanan demi untuk menutup ketidakjantanannya yang sebenar.


Demikianlah sejarah. Apakah benar, ia sentiasa dan hanya ditulis oleh mereka yang menang?


Glosari:

Gusti Biang, panggilan kepada njonja bangsawan
Ngurah, lengkapnya I Gusti Ngurah, gelar para bangsawan, dengan Anak Agung
Wajan, sebutan untuk anak nombor satu
Wangdu, impoten.
Pendjilat(penjilat), pengampu, pembodek






Saturday, September 26, 2009

Perihal Pokok Pinang dan Kambing


Dalam sejarah persekolahanmu, pernahkan tuan dengar kisah pelajar yang gagal mata pelajaran bahasa kerana karangannya, katanya terkeluar tajuk? Ertinya lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Ini semua boleh saja berlaku kerana pelbagai sebab: Terlalu gopoh atau mungkin tidak cermat memahami soalan. Mungkin.

Lain pula pesan nakal teman sebaya kami tatkala di sekolah menengah dulu itu. Bunyi pesanannya begini: Katakanlah kamu ditanya tentang pokok pinang tetapi kamu lebih arif dan gemar sekali dengan kambing-kambingmu. Usah risau kamu boleh mulakan saja karanganmu kira-kira begini. “Datukku ada caranya yang tersendiri menandakan batas sempadan kampung kami. Di sepanjang sempadan kampung kami, datuk tanami pokok-pokok pinang. Biasanya pokok-pokok pinang itulah tempat kuikat kambingku sebelum aku keluar bermain. Kambingku tiga ekor semuanya, dua betina satu jantan....” Nah kau ceritalah tentang kambingmu yang sangat akrab denganmu itu.

Apabila blog Raja Petra, Malaysia Today mempamerkan kertas kabinet berhubung skandal PFZ yang tersohor itu, para pemimpin kita menjadi kalut dan marah-marah: Bagaimanakah dokumen sesulit itu boleh bertaburan di alam maya? Siapakah yang cirit birit? Bagaimana? Ya, bagaimana? Para pelaku sewajarnya dikenakan hukuman keras di bawah OSA, jerit para penguasa kita. Seorang bekas panglima DSAI pernah terhukum kerana perbuatan yang sama. Dan pahlawan itu pun diamankan kerana didapati terlalu celupar membocorkan bahan-bahan sulit yang boleh diOSAkan itu. Dan khabarnya lagi.... kos PFZ ini belum seberapa jika dibandingkan dengan Bakun.

Kita tidak tahu apakah para aparat pemerintah-yang-setianya-entah-seperti-apa-itu pernah mendengar nasihat teman saya itu: Kau ceritakan saja tentang kambingmu. Bukankah itu subjek yang paling kau minati?

Dirgahayulah wahai negaraku, 1Malaysia yang tercinta!







Thursday, September 17, 2009

Jerat juga mudah lupa




(I)

Kalaulah nama-yang-cukup-besar-lagi-menggerunkan dalam arena politik tanah air kita itu (setelah ini npb) dapat membayangkan bahawa tindakan regimnya terhadap Lim Guan Eng dalam peristiwa cucu@korban seorang penguasa besar Melaka itu bakal membawa persahabatan kental di antara Guan Eng-Mat Sabu, mungkin npb berfikir-fikir panjang sebelum menggunakan undang-undang untuk ‘mengamankan’ Guan Eng. Perilaku songsang untuk membungkam dan mendera musuh politik yang mengguriskan nurani ramai rakyat jelata terlalu sukar dinyahkan begitu saja: Seperti menghalau lalat yang hinggap di atas bahu. Dan bagi saya peribadi peristiwa tragis itu meningkatkan iltizam bahawa ‘kebijaksanaan’ penguasa seumpama ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja. Paling tidak kita ada talian aduan on-line kepada Maha Pencipta untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Kita tidak boleh membiarkan siri-siri kekejaman seperti itu berterusan tanpa berbuat apa-apa.

(Dalam konteks ini saya sering tertanya-tanya apa agaknya pandangan para pembaca Utusan Malaysia, para pengheret kepala lembu, para pembakar semangat ketuanan Melayu dan kelompok-kelompok lain yang sekelas dengannya ..? Ya, pandangan mereka yang ikhlas tatkala melihat orang yang bangun mendedahkan peristiwa Melaka itu dihumban ke dalam penjara? Adakah mereka akur bahawa tindakan nph itu benar? Atau mereka tidak setuju tetapi memilih untuk berdiam diri? Atau apakah mereka tidak sama sekali peduli kerana Guan Eng itu seorang Cina DAP?)

(II)

Dalam episod penutup teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT) yang diiringi gesekan biola menyentuh jiwa oleh Sani Sudin, Mat Sabu mengungkapkan bagaimana teater sebagai salah satu cabang seni, mampu membawa mesej universal tentang kemanusiaan. Maka dicadangkan upaya agar pelbagai peristiwa besar dari pelbagai budaya seperti Umar Abd. Aziz, festival kueh bulan, moon cake festival, pemuda Al-Kaffi, Habil dan Qabil misalnya diangkat dalam bentuk teater untuk tontonan rakyat.

Itulah lakaran denai MKDT sehingga ini. Ia telah memasuki dua buah masjid, singgah di pelbagai pentas, hadir dalam pelbagai dewan dan berdiri di tanah nan lapang untuk menemui rakyat jelata. Kelmarin Rabu, 16 september 2009 MKDT telah mencipta sejarah dengan memasuki pentas rasmi Kerajaan Pulau Pinang, merayakan tarikh keramat 16 September Malaysia. Semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa persahabatan dan hubungan peribadi yang istimewa Guan Eng-Mat Sabu.

Kami dari Paksi sangat berterima kasih kerana memungkinkan seni dan budaya hadir dalam kalangan khalayak dalam wajahnya yang polos tanpa lipstick yang dipaksa-paksa lagi amat hodoh itu: Lipstick propaganda.



Terima kasih para birokrat organisasi dan individu. Terima kasih Datuk SUK Pulau Pinang dan staf beliau yang baik hati dan mengerti. Azizi Abdullah, Annuar Asmadi, Sdr Radzi ...dan teman-teman lain, terima kasih. Kita telah sama-sama memperkukuhkan lagi jambatan itu.



Tuesday, September 15, 2009

Terminal terakhir

Pola pencarian seniman


“Our task as human is to find some formulas to pacify the great anguish of human kind. We must put together what is torn apart, make justice a possibility in an obviously unjust world, render happiness to peoples poisoned by the sufferings of our age. This is of course a superhuman task, yet one simply calls ‘superhuman’ those tasks which men take a very long time to accomplish.’ Albert Camus dalam himpunan eseinya L’Été.

Yang terjemahannya kira-kira bermaksud begini: “Tugas kita sebagai manusia ialah mencari beberapa rumus buat mengamankan keresahan maha gawat umat manusia. Kita perlu jahit semula yang koyakrabak, memungkinkan tertegaknya keadilan dalam dunia yang jelas tidak adil dan tebarkan kebahagiaan pada bangsa-bangsa yang diracuni penderitaan zaman kita. Tentunya ini adalah tugasan seorang superhuman, seorang manusia luar biasa, tugasan manusia-luar-biasa yang mengambil masa yang cukup lama untuk dicapai manusia.”

Sementara Dinsman dalam ucapan penerimaan ijazah kehormat Sarjana Persuratan Universiti Utara Malaysia, pada 18 Oktober 2008, mengaku begini:

“Maka terima kasih saya ucapkan dengan hati yang tulus ikhlas, kerana menyedarkan dan menginsafkan saya bahawa perjalanan hidup saya sudahpun jauh, dan saya tidak punyai banyak masa lagi untuk bermain-main dan berlengah-lengah di pentas dunia yang bergemerlapan ini. Masanya sudah tiba untuk bersungguh-sungguh bertekun mempersiapkan diri untuk menuju ke alam di bawah tanah, alam yang menjanjikan kebahagiaan abadi.”

Begitulah kembara manusia seniman. Manusia seniman yang jarang sunyi dari tragedi dan kisah kepetualangan merempuh rimba raya yang apa-saja-namanya baik nihilisme maupun absurd. Namun terminal terakhir mereka sebagai seniman masih jelas.

Bandingkan pula dengan tingkah para politikus kita yang pernah/masih besar yang tercokoh di depan mata kita. Apakah kita, sebagai rakyat yang mereka pimpini, pernah melihat imbasan bayang-bayang terminal terakhir itu?

Mazhab apakah agaknya yang dianuti para pemimpin besar kita, dulu dan sekarang?




Sunday, September 13, 2009

Bahasa kebangsaan: Apakah kita tidak pernah sesat?

Dalam membicarakan rasa cinta yang berterusan anak bangsa kita terhadap bahasa Melayu/Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, penulis-aktivis masyarakat Lee Ban Chen pernah memberikan pandangan yang kira-kira membawa maksud begini:

Terdapat anak-anak keturunan Tionghua yang mempelajari bahasa kebangsaan semata-mata untuk lulus peperiksaan. Selepas SPM bahasa itu tidak lagi dipedulikan kerana pelbagai sebab. Ertinya bahasa itu dipelajari semata-mata kerana terpaksa.

(Dalam konteks ini saya cenderung bertanya begini: Apakah ini hanya terjadi dalam kalangan anak-anak keturunan Cina saja? Apakah tidak terdapat anak-anak kelas menengah Melayu misalnya yang tidak selesa berbahasa Melayu walaupun dalam rumah sendiri?)

Kata Ban Chen lagi:

Dalam menanam kecintaan anak-anak kita terhadap bahasa kebangsaan, kita juga tidak boleh menggunakan pendekatan yang meragukan@tidak ikhlas seperti pelaksanaan yang seolah-olah memaksa. Lebih memudharatkan lagi jika dalam proses pengajaran dan pembelajarannya tersirat unsur-unsur bahawa bahasa kebangsaan itu jauh lebih unggul@superior daripada bahasa-bahasa lain.

Sementara itu, Kua Kia Soong pula menulis begini dalam “13 Mei Dokumen-dokumen Deklasifikasi Tentang Rusuhan 1969 Malaysia, Suaram, 200?”

“Pada 31 Ogos 1967, Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal. Menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan kerajaan dan sistem pendidikan adalah untuk memastikan selanjutnya pengekalan keistimewaan dan hak istimewa orang Melayu. Sementara ketika Merdeka pada 1957, keistimewaan Melayu ini hanya dianggap sebagai langkah sementara yang akan dipelihara selama kira-kira 15 tahun untuk “menaikkan taraf ekonomi dan pendidikan orang Melayu supaya mencapai kesetaraan dengan orang bukan Melayu”

Kesimpulannya:

Apakah yang dapat kita pelajari dari pandangan dua orang tokoh di atas?

Apakah benar kita masih lagi terkial-kial dalam isu-isu yang paling asas seperti ini? Kalau ‘ya’, kenapa?

Apakah kita pernah berjaya dengan cara memaksa?





Friday, September 11, 2009

Patronage@pelindung, 'koneksi' dan tarbiah dalam mobiliti masyarakat

Kalau tidak salah ingat, salah seorang ilmuan yang kerap bercakap tentang kebobrokan politik patronage (politik pelindung) ialah Chandra Muzaffar. Demikianlah pandangan seorang pakar bidang.

Sementara Syed Husin Ali dalam bukunya “Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan” Harakah, edisi bahasa Melayu, 2008, antara lain menulis begini di bawah tajuk kecil, “ Mobiliti sosial dalam masyarakat, halaman 101.”

“Pada umumnya kelihatan bahawa faktor yang terpenting sekali yang mempengaruhi mobiliti dalam masyarakat pada masa ini ialah pelajaran dan politik; dan kedua-dunya diperolehi melalui pencapaian dan tidak semestinya warisan. Mobiliti tersebut boleh berlaku dalam generasi yang sama atau generasi yang berlainan.

Walaupun diakui bahawa mobilti wujud dan ada peluang untuk orang bawah naik ke atas, namun pada hakikatnya peluang ini adalah sangat terbatas kepada bilangan yang kecil sekali. Dalam generasi yang sama, peluang bagi anggota daripada lapisan atasan untuk memperkukuhkan kedudukan mereka sendiri adalah lebih baik daripada anggota dari lapisan lain.”

Seterusnya, Syed Husin menurunkan contoh berikut:

“Misalnya, seorang bekas menteri atau pentadbir kanan dalam kerajaan dengan mudah sekali boleh diberikan saham-saham kosong dan dijadikan pengarah syarikat asing atau tempatan dan dalam badan berkanun atau separa kerajaan. Dengan demikian mereka berpindah daripada satu peranan kepada peranan yang lain, dengan tidak menurunkan kedudukan mereka dari lapisan atasan.” Kalau saudara belum membacanya, bacalah. Ia cukup menarik.

Dan Azizi Abdullah dalam blognya, http://aziziabdullah.blogspot.com menulis tentang kepapaan yang masih mencengkam ramai manusia kelas bawahan. Ya, kelompok manusia yang rata-rata tidak memiliki sebarang talian ('koneksi', kata orang Indonesia) apatah pengaruh untuk keluar dari lingkaran setan kepapaan ini.

Kalau begitu, apakah heran kita melihat Nik Aziz Nik Mat, misalnya menjadikan kerja-kerja mentarbiah rakyat Kelantan itu sebagai salah satu tugas dan peranan yang tidak pernah ditinggalkannya? Katakanlah mereka yang pernah meningkat mobiliti sosialnya ini sering ditarbiah oleh pemimpinnya yang bukannya dari kelas catak serukin, cakap-tak-serupa-bikin, demikian istilah Pak Samad, pemimpinnya yang amat yakin dengan pahala-dosa, apakah segala masalah yang kita hadapi sekarang ini menjadi sedemikian kronik? Ya, kronik seperti sekarang ini.

Dan tatkala itu apa masih ramai lagikah pegawai-pegawai kerajaan yang sudi dan merelakannya? Ya, diperalatkan.








Tuesday, September 8, 2009

Hak dan kebebasan pemerintahan yang disita

Hak dan kebebasan pemerintahan yang telah tersita
“We can be legally married, so you can have my body, but definitely not my soul, never!”


Dalam sistem pentadbiran negara kita, penjawat awam adalah pelaksana segala dasar yang telah diputuskan oleh pihak legislatif. Istilah yang lebih biasa dipakai untuk ‘penjawat awam’ yang dilantik oleh Suruhan Jaya Perkhidmatan Awam/Negeri ialah ‘pegawai kerajaan.’

Selaras dengan kedudukan mereka sebagai pelaksana, pegawai-pegawai kerajaan ini bertanggungjawab untuk melaksanakan segala dasar dan undang-undang yang dibuat oleh pemerintah yang memegang tampuk kuasa ketika itu, the government of the day (setelah ini, tgotd) iaitu parti-parti politik yang memenangi pilihan raya.


Sebagai pelaksana, kedudukan dan kuasa para pegawai kerajaan adalah besar. Oleh sebab itu jika ada di antara pegawai-pegawai kerajaan sudah benar-benar bertekad untuk tidak mahu bekerjasama dengan pemerintah semasa, tgotd maka masalah yang dihadapi oleh tgotd memanglah cukup besar. Ibarat seorang suami beristerikan seorang betina yang jelas dan sengaja ingkar dan tidak rela menjadi seorang isteri. Kenapa sampai terjadi demikian? Ha..ha… ternyata hati sang isteri sudah sekian lama berpaut rapat dengan kekasih lamanya. Saking kecewanya kerana tidak dapat mendirikan mahligai idamannya, maka dilafazkannya ungkapan klise remuk hatinya, kepada sang suami, “We can be legally married, so you can have my body, but definitely not my soul, never!” Benar, ini semacam kisah cinta sehidup semati ala Romeo dan Juliet atau Laila Majnun.



Di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, terdapat pegawai-pegawai kerajaan yang telah sekian lama bercinta dan berjanji sehidup semati dengan kekasih lamanya. Sebagai kekasih yang setia pada cintanya, para pegawai kerajaan ini memilih untuk menjadi isteri yang ingkar dan sekaligus menjadi Abdullah bin Ubai dalam rumah tangga pemerintahan Pakatan Rakyat.


Apakah tindakan paling wajar yang mampu diambil oleh sang suami terhadap isterinya yang sengaja mencabar dengan memilih untuk membelakangkan peraturan, melupakan adat dan menentang syariat ini?

Saturday, September 5, 2009

Rebranding emosi: Produk lama, pedagang kuno bungkusan baru

Sebagai makhluk berkaki dua, usahawan (entrepreneur) sememangnya bijak merekacipta, menghidu, mencari dan memanfaatkan peluang. Kekadang kita pelik bagaimana manusia-manusia istimewa ini berupaya terfikir akan benih-benih peluang untuk membuat duit. Katanya Azizi Ali, usahawan muda internet yang muncul dengan pelbagai buku tentang seni membuat duit, mula menerokai dunia bisnes dengan menjual peta lewat internet.

Di sekeliling kita terdapat contoh-contoh lain yang boleh kita amat-amati keunikan dan keanikaragamannya. Misalnya ada yang ghairah mengumpul dan menjual barang-barang antik. Viralal, itu sang suami dalam novel ‘Sangeetha’ Azizi Abdullah membina kekayaan dengan menjual barang-barang bekas dan besi buruk. Ada yang membuat duit dengan menjual insurans. Ada yang menjual kepakarannya dengan memberikan latihan. Tidak kurang istimewanya, ramai juga yang bijak menjual barang separuh masak. Contohnya telor separuh masak. Di Kota Bharu, telor separuh masaknya White House, begitu mengngiurkan...

Ada pedagang yang hela nafasnya half-truth. Nyawa perdagangan mereka adalah half-truth yang diputar-belit, dikitar semula dan diobral sebagai fakta.

Para pelelong ‘half-truth,’ para pembelit@penyorok fakta ini semata-mata bertujuan memperdaya dan mengelirukan para pembeli mereka yang lalai berfikir. Orang-orang ini bukan saja tidak menceritakan kedudukan sebenar perihal sesuatu perkara malah mereka tidak mahu kebenaran diketahui oleh para pembeli mereka. Oleh sebab itu jangan terperanjat jika kebenaranlah yang mereka gelapkan. Dan ‘fakta’ separuh benar mereka perdagangkan. ‘Fakta’ yang bukan ‘fakta’ ini digunakan untuk berhujah dan mengelirukan khalayak. Mereka adalah makhluk berkaki dua yang tidak mengetahui cara-cara lain kecuali berniaga half-truth demi kelangsungan hidup mereka.

Tragedi melambakkan kepala lembu berdarah, menyepaknya di depan khalayak adalah salah satu contoh mutakhir half truth itu. Ini berlaku dalam bulan Ramadhan dan telah direkod untuk tontonan seluruh dunia.

Sekali lagi, tidakkah kita semua keliru dengan apa yang terjadi dalam negara kita ini? Mesej apakah yang telah dihantar untuk tontonan seluruh warga dunia oleh para pedagang half-truth ini?

Tuesday, September 1, 2009

Amarah




resah yang amarah
ada darah pada jerit warna
gelepar
meronta