Wednesday, January 27, 2010

'Imam Wahab'nya Razali Endun (MM. 24 Januari 2010, Sisipan Pancaindera hal. 18)


Latarnya masjid baru, di sebuah kampung. Masjid baru yang ketiadaan imam sejak imam Shafie yang menjadi imam selama 20 tahun itu, meninggal.

Cerpen didukung oleh manusia-manusia Hj. Joned, Mohd Wahab Abdul Wahhub dan Semail Wakang.


Sinopsis cerita:


Kita dimaklumkan bahawa Hj Joned turut mengimamkan sembahyang jemaah kerana imam pengganti belum ada. Bagi Hj Joned setakat menjadi imam berjemaah, itu bukanlah masalah. Dia merasakan dirinya juga mampu. Namun begitu Hj Joned yang berumur 85 tahun, yang telah luruh kesemua giginya dilihat oleh Pejabat Agama tidak layak menjadi imam ‘kerana terlalu tua’. Mulutnya terkulum ke dalam (kepom ?). Lidahnya sudah keras, kaku. Dia pernah hadiri temu duga untuk menjadi imam masjid, tapi gagal.


Imam muda Mohd Wahab Abdul Wahhub, baru berusia 35 tahun. Mendapat pendidikan di Mekah, khabarnya belajar mengaji dengan imam Masjidil Haram, lulusan salah sebuah universiti di Jordan dalam bidang hadis dan falsafah Islam.


Mampu membaca ayat yang panjang-panjang dengan tajwidnya yang tepat, sedap lagunya dan mantap pula suaranya, malangnya Hj Wahab tidak dapat mententeramkan jemaah. Orang-orang kampung menjadi kacau, keliru dengan gelagat dan pembawaan ibadah imam muda yang oleh orang-orang kampung dilihatnya sesat. Apa tidaknya, si imam muda Mohd Wahab tidak membaca doa iftitah, meninggalkan bacaan Bismillah, tidak membaca doa qunut dan kemuncaknya, tidak mahu membaca talqin.


Haji Joned yang disokong kuat oleh Semail Wakang, anak pengerusi JKKK bertekad (?) mahu mengambil alih jawatan imam muda yang songsang itu. Caranya, kata Semail ialah dengan berdemonstari saja ala-PPSMI. Entah kenapa Haji Joned tidak bersetuju berdemo di Pejabat Agama walaupun dia ikut disembur gas pemedih mata tatkala berPPSMI. (Apakah mungkin Hj Joned berpendapat bahawa mengunjuk rasa dalam hal-hal isu Masjid, betul-betul rendah budayanya jika dibandingkan turun di jalan-jalan raya dalam isu PPSMI?! Mungkin juga.)


Kemuncak pertarungan imam muda ‘ajaran yang sesat’ dan Haji Joned yang tidak layak menjadi imam ‘kerana terlalu tua’ ini ialah perebutan fisikal untuk menjadi imam, diikuti pula dengan sembahyang dua imam. Peristiwa yang memalukan ini menjadi hidangan lazat media elektronik dan juga cetak. Aneh tapi benar, Haji Joned berbangga kerana wajahnya terpampang di kaca tv!


Apakah yang mahu kita baca dan apa pula yang dapat kita petik daripada peristiwa Haji Wahab ini?


Pertama

Pejabat Agama bersetuju dengan pendirian imam muda walaupun penduduk kampung yang dipimpin Hj Joned berpendapat bahawa itu adalah ‘ajaran yang telah sesat’. Dalam konteks kita sekarang (abad ke 21, tahun 2010) bahawa ‘ajaran-ajaran yang sesat’ telah diterima oleh yang berkuasa agama Islam sememangnya, sedikit luar biasa. Pada saya yang buta agama, hakikat bahawa Pejabat Agama di tanah air kita sudah boleh membenarkan sembahyang tanpa qunut dan pengkebumian tanpa bacaan talqin adalah sesuatu yang ‘revolusioneer’ dalam kaedah Fiqah. Barang diingat, kejadian ini tidak diterima baik oleh para semua penduduk kampung walaupun si imam muda masih ada pengikut setianya.

Sebagai badan yang bebas dan profesional Pejabat Agama telah bebas bertindak. Ini cukup luar biasa untuk negara kita.


Kedua

Kehadiran media merakamkan peristiwa mengaibkan seperti tragedi dua imam untuk dipaparkan di kaca tv juga menunjukkan ‘keluarbiasaan realiti’ kita sekarang. Tv kita mendedahkan peristiwa-peristiwa sebegini? Biasanya media akan melaporkan sesuatu yang menguntungkan pemerintah. (Contoh yang paling dekat ialah berita YB yang menyokong pemerintah dalam isu Allah mendapat liputan yang luar biasa, sedangkan lawannya juga seorang YB, tidak dipedulikan). Rasanya amalan media yang benar-benar beretika, lengkap dengan kod etikanya sudah lama pun pupus di negara ini.


Apakah yang Razali Endun harapkan dengan sengaja menyongsangkan realiti kehidupan kita hari ini? Jika anak cucu cicit kita yang membaca cerpen ini seabad dari sekarang, tentunya mereka sangat gembira dan bersyukur melihat bagaimana media dan Pejabat Agama begitu taat dan patuh, beretika dan bebas menjalankan tugas masing-masing tanpa ganggu-gugat tangan-tangan usil politik. Mereka bukanlah ‘pecacai angkat najis’, kata arwah TS P. Ramlee. Mereka manusia merdeka!

Ketiga ialah rakaman realiti hidup sekarang oleh pengarang ternyata benar dan tepat kali ini. Bahawa orang yang bijak dan pandai agamanya, ternyata semakin jahil adabnya dalam amalan beragama, telah dionjolkan oleh Razali. Peranan imam, satu amanah sudah dilihat sebagai jawatan yang boleh direbut-rebut. Semua yang merasakan dirinya layak, pastinya tanpa malu-malu menerkam untuk merebut jawatan. Contoh berebut-rebut jawatan yang lumrah dalam masyarakat juga sudah berjangkit dan membusuk dalam kalangan orang-orang yang beragama.


Baik tua, baik muda, baik yang berijazah maupun yang tidak ke sekolah pondok, berebut-rebut. Kenapa berebut-rebut? Mereka semua berpendapat ‘Aku layak’.


Jika saya yang menggarap cerpen ini, saya akan sudahinya begini:


Ramai para penyokong Hj Wahab terpinga-pinga dan tertanya-tanya, “Kenapakah tuan Haji mengalah dan membiarkan Hj Joned yang tidak layak itu mengambilalih jawatan imam tuan yang sah?”

Haji Wahab tersenyum..senyuman yang manis sekali...

“Bukankah dia lebih tua dan lebih bijaksana? Marilah kita berjemaah berimamkan Hj. Joned.”

Wallahuaklam.


Tahniah, saudara Razali Endun.




No comments: