Thursday, January 28, 2010

"Semua manusia dilahirkan sama"



Itulah mesej tarbiahnya semalam. Ya, aku bercakap tentang sesi santapan rohani yang menjadi aktiviti mesti untuk semua staf Islam di pejabatku. Tidak ada siapa yang dapat lolos daripada sesi sarapan minda, di awal-awal pagi ini. Sesi yang oleh Yuman, si penolong pegawai tadbir, disebutnya ‘sesi indoktrinasi tersirat’. Apa pun motif sebenar si pembuat pogram, aku rasa dia telah berjaya. Paling tidak staf yang lewat akan tertangkap basah jika terlewat.

Tatkala aku baru masuk bekerja di pejabat ini tiga bulan yang lalu, mula-mulanya aku sedikit terperanjat.

“Ada kuliah pagi di sini” aku bertanyakan Yuman.

“Ya, itu sesi santapan minda untuk semua staf Islam. Sesi wajib”

“David dan Leong tak boleh ikut sama?”

“Kau gila?”

“Kita boleh pilih tajuk-tajuk yang universal, biar semua staf dapat ambil bahagian”. Aku cuba berikan cadangan. Ya, semacam idea penambahbaikan yang selalu dilaung-laungkan oleh Tuan Semaun, bos besar kami, apabila kami memperkatakan proses Q, proses kualiti. Jefri pegawai Unit Intipan, UJ 41 merenungku dalam-dalam, lebih mirip melotot.

“Manusia dilahirkan sama, tak ada bezanya...” kata Tuan Semaun dalam salah satu sesi santapan rohani kami di hujung minggu.

“Ya, yang paling menentukan ialah ketaqwaannya...” sampuk Yuman.

Kami berpandangan. Tuan Semaun seperti tidak mendengar kuliah selingan itu. Aku tersenyum melihat Yuman, menutup mulutnya.

Isnin minggu lalu, kami tidak sempat bersantapan rohani. Tuan Semaun mahu kami semua hadiri sesi taklimat intipan. Khabarnya ada info terkini yang baru diperolehi oleh Bahagian Risikan.

Semua pegawai Unit Intipan hadir ... kecuali David, Leong dan Lingam.

Itulah saatnya aku, maksudku mulutku, tergelincir...

Soalanku membuat semua yang hadir berpandangan.

Sejak Isnin yang fatal itu, sesi-sesi santapan rohani Haji Semaun, di awal-awal pagi terasa begitu hambar sekali.






No comments: