Saturday, January 30, 2010
Lembaga Disiplin, Pengetua dan Ketua Pengawas sekolahku
“Ya...ya..dia telah mendedahkan rahsia sulit pasukan sekolah.”
"Ya...ya..dia tidak boleh bertindak membelakangkan sekolah.”
“Ya..ya...ya dia pun telah mengaku, mengaku telah melakukan kesalahan besar itu. Dia sendiri yang mengaku. Bukan kami yang menuduh.”
Aku mendengar mereka berbicara hal yang sama, berhari-hari, berminggu-minggu: Dalam kelas, di luar kelas, di tepi padang, di kantin sekolahku dan di perhentian bas di tengah-tengah bandar. Malah ketika sama-sama menyempurnakan hajat (baik yang besar maupun kecil), ramai teman dan bukan temanku dari kelas dan tingkatan yang berlainan juga bercakap tentang tindakan disiplin itu.
Aku lupa-lupa ingat (maknanya: banyak yang lupa dan sedikit pula yang masih ku ingat)
Hukuman yang dibaca guru disiplin bunyinya, lebih kurang begini;
“Memandangkan kesalahanmu yang sangat berat-berat itu, kamu kami gantung selama 6 bulan; digantung tugas sebagai seorang pengawas, digantung dari jawatankuasa pengawas sekolah.”
Malam itu seluruh bandar kami menjadi meriah, cukup meriah. Di luar sana ramai berkumpul. Ya, orang berkumpul di padang-padang; di tengah bandar, di pinggir-pinggir bandar. Di padang-padang awam, di padang-padang sekolah. Di padang-padang taman-taman perumahan. Ada yang membakar mercun seperti merayakan Tahun Baru. Ada yang terus-terusan memicitkan hon-hon kenderaan mereka, tatkala saling berselisih di jalan-jalan raya; seperti merayakan kemenangan Malaysia merebut Piala Dunia. Ya, Malaysia, sebagai juara bola sepak dunia terbaru. Mereka bersuka ria dengan mesej yang telah dihantarkan oleh sekolahku yang sangat besar nafsu dan cita-citanya mahu menjuarai dan menjulang Piala Malaysia. Malam itu, seluruh rakyat bandarku begitu gembira dengan hukuman yang telah diputuskan. Seorang pengawas sekolahku telah bersalah. Tersangat bersalah.
Mereka terlalu marahkan Sang Pengawas kerana dialah yang paling ke depan mengutuk pesta mengarak kereta berhias bereplika kepala, ya, kepalanya lembu. Sementara ketua pengawas sangat santun lagi tertib dan berdisiplin. Dia telah memasang mangga yang paling selamat dan paling besar, ke mulutnya.
Mereka sangat marah kerana Sang Pengawas menjuarai isu perpindahan pasu bunga yang besar di hujung padang. Ketua pengawas dan para pengawas lain sunyi sepi, takut kalau-kalau diherdik guru besar dan diancam Toyol.
Tatkala Taik, itu jawatankuasa majalah sekolahku, berperang kerana mempertahankan sebuah kesucian istilah Latin sekolah kami, Sang Pengawaslah yang paling lantang membantah. Kata Sang Pengawas perangai Taik amat membusukkan. Orang hilang rasa hormat terhadap sekolahku. Bukan main lagi, orang namanya Sang Pengawas ini!
Apabila Taik menyenaraikan perkataan yang tidak boleh disebut oleh sesiapa kecuali para pelajar sekolahku, kawan-kawan, yang bukan dari sekolahku, sangat bimbang kalau-kalau ‘berak’ juga termasuk dalam senarai kata terlarang.
“Leong, ‘berak’ perkataan yang dibenarkan. Beraklah”. Akulah paling banyak dan paling kerap memberi panduan tentang perkataan-perkataan terlarang ini. Perkataan mana yang boleh, dan yang mana pula yang tidak dibolehkan.
Dan Sang Pengawaslah yang menjuarai kelompok yang menentang ‘keputusan yang tidak masuk akal’ itu. Demikianlah Sang Pengawas, terkenal sangat celupar berhujah.
Semua perbuatan Sang Pengawas seperti di atas ini, tidak baik untuk sekolah. Ya, amat sangat tidak baik, demikianlah hujah Lembaga Disiplin sekolahku.
Kami dari kelas paling tercorot sekolahku tertanya-tanya, “Apakah peranan dan tingkah laku terbuka Ketua Pengawas, menyokong pasukan sekolah daerah lain, bukan satu kesalahan yang amat mengaibkan sekolah kami? Apakah itu bukan satu kesalahan?”
Masih ingat lagi kami akan hujah Ketua Pengawas ini, “ Sekolah itu semua pemainnya Melayu- belaka...Kenapa kita tidak mahu sokong kelompok kita saja?”
Seluruh Malaysia dengar dan hadam akan hujah itu. Semua orang; dari Pengetua, Guru Disiplin sehinggalah seluruh ahli Lembaga Disiplin amat arif dengan kelakuan dan peristiwa itu.
Sampai ke hari ini, setelah menjadi pikun lagi nyanyuk seperti sekarang ini, kami para pelajar kelas paling tercorot sekolahku, masih yakin bahawa Pengetua mahu melindungi anak buahnya. Khabar yang bergentayangan dalam kalangan masyarakat di bandar kami ketika itu ialah: Ketua Pengawas itu, bau-bau bacang dengan bini Pengetua.
Sejak itu, aku dan kawan-kawanku sangat ragu-ragu dengan semua Lembaga Disiplin.
Lembaga Displin, Pengetua dan Ketua Pengawas sekolahku, kami semua masih ingat dan insyallah, akan tidak pernah lupa.
Labels:
dongeng moden
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment