Friday, January 29, 2010

Menyambut kemenangan 'Semangat Budaya' 7 Mac




Dinsman (Artikel 135, 29/1)



Orang-orang yang pernah meremehkan agenda membantah PPSMI melalui demo rakyat pada 7 mac 2009 dengan mengatakan ia hanya akan disertai oleh seramai dua buah bas sahaja, kini sedang sibuk berkeliling negara menyebarkan dakwaan mengatakan keputusan kerajaan untuk menghapuskan PPSMI itu adalah hasil perjuangan mereka. Bahkan mereka menyifatkan aksi mereka membuat laporan polis terhadap isu itu sebagai suatu “aksi samseng” yang terpaksa mereka ambil demi menjaga hak dan kepentingan orang Melayu.



Aduuh.. itulah dia juara-juara pahlawan Melayu yang sudah kehilangan malu, tetapi disambut pula oleh para budayawan pengikut-pengikut mereka yang masih ramai dan sebahagiannya masih berpengaruh dalam masyarakat Malaysia hari ini. Entah mengapa boleh terjadinya hal yang menyedihkan itu – adalah suatu cerita lain. Kita akan bercakap hal itu dalam kesempatan lain.



Sekarang nak bercakap pasal sambutan ulangtahun demo itu dulu. Dan sebelum itu nak sebut satu lagi hal yang hampir sama – menyedihkan dan memalukan, diceritakan oleh seorang kawan, pensyarah sebuah universiti di Lembah Kelang – bahawasanya ahli Senat universiti itu pun sama, mendakwa keputusan kerajaan hendak menghapuskan PPSMI itu adalah hasil perjuangan mereka.



(Oh ya, kalau ada yang tak tahu atau terlupa PPSMI itu apa – ia adalah “Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris”.)



Anda barangkali hairan bagaimana perkara begini boleh berlaku. Ya, hairanlah. Memang sebahagian orang Melayu sekarang sangat menghairankan. Kerana antara kita dan mereka terdapat perbezaan yang besar dalam cara berfikir dan cara beragama – maka sebab itulah perangai mereka kelihatan pelik dan menghairankan pada kita. Sedangkan bagi mereka perkara begitu semuanya biasa saja.



Ya, katalah apa yang anda nak kata pun. Itu semua memang biasa saja bagi mereka. Dan mereka itu bukan orang-orang bodoh tu! Mereka itu orang-orang cerdik pandai di kalangan bangsanya. (Bangsa kita jugalah! Tapi Kassim jangan bimbang. Di Akhirat nanti Allah SWT tak tanya ‘kamu bangsa Melayukah’, sebelum seseorang dicampak ke neraka atau ke syurga). Mereka orang-orang yang dihormati. Ada Tan Sri ada Profesor segala macam.



Anda nak kata bahawa itu adalah perangai hipokritkah, munafikkah, tak tahu malukah, atau apakah lagi – anda katalah. Mereka bukannya nak peduli pun. Cubalah tanya dengan Hasni Abas sendiri, Setiausaha GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) itu – apa kata Ketua Pengarah DBP sendiri dalam perkara ini? Sama juga. Dia pun membuat dakwaan yang serupa juga, bahawa itu adalah hasil perjuangan mereka.



“Padahal orang-orang yang basah muka kena gas pemedih mata dan air gatal itu semua masih hidup lagi. Samad Said masih hidup lagi. Kita semua ini masih hidup lagi,” kata Hasni.

“Itulah sebabnya kita kena buat acara menyambut ulangtahun Demo PPSMI 7 Mac ini,” kata Hasni lagi.



Itu kalau dilihat dari sudut itu. Memang perlu. Bahkan kalau mengikut A Samad Said, pengumuman awal pihak kerajaan bahawa PPSMI akan dihentikan secara beransur-ansur dulu itu, ada makna tersirat yang lain. Sasterawan Negara yang menjadi Penasihat GMP itu tidak ikut bergembira sewaktu orang bergembira menyambut pengumuman itu. Sebab baginya pengumuman itu membawa maksud ‘penangguhan’.



“Kita menuntut supaya dihapuskan dasar itu,” katanya. “Pengumuman kerajaan itu mahu menangguhkan untuk menghapuskan dasar itu.”



Dan saya melihatnya dari aspek yang lain lagi. Saya melihatnya sebagai satu kemenangan bagi “semangat budaya”, atau selalu saya sebut sebagai “Keazaman Budaya” (Cultural Will). Suatu konsep yang saya ketengahkan bagi memberi keseimbangan kepada penekanan terhadap “Keazaman Politik” (Political Will).



Orang selalu mengharapkan kepada ‘kuasa’ Political Will apabila ingin membuat sesuatu perubahan; hingga para budayawan pun turut sama mengharap dan bergantung kepada sumber kuasa orang-orang politik. Padahal di kalangan budayawan juga terdapat ‘kuasa’ yang kira-kira sama tarafnya, bersumber pada orang-orang budaya. Itulah kuasa “semangat budaya” atau Cultural Will (Keazaman Budaya).



Apa yang berlaku di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2009, berhimpunnya rakyat sebegitu ramai, 100 ribu bahkan ada yang kata lebih daripada 100 ribu orang, untuk menuntut supaya dihapuskan ‘dasar gila’ PPSMI itu, adalah bukti kepada pentingnya Keazaman Budaya, di samping Keazaman Politik. Dan kemenangan yang terjadi hasil daripada perhimpunan rakyat itu adalah suatu kemenangan bagi ‘semangat budaya’ yang wujud dalam “Keazaman Budaya”.



Kita melihat bahawa bermula daripada bangkitnya gerakan rakyat menuntut kerajaan membuat perubahan kepada dasar bahasa yang songsang itu, secara beransur-ansur telah muncul juga suatu ‘gerakan budaya baru’, yang dipelopori oleh SN A Samad Said. Dan sekumpulan budayawan-cendekiawan yang berbuka puasa di Rumah Pena pada 6 September 2009 (bersamaan 16 Ramadhan 1430), menyedari akan kemunculan ‘gerakan budaya baru’ ini, telah membentuk suatu lingkungan yang mereka panggil “Budayawan Bertindak”.



Lingkungan Budayawan Bertindak (BB) ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan di seluruh negara. Tanda bahawa budaya baru memang sedang muncul di Malaysia. Maka sempena dengan sambutan 7 Mac nanti, sebuah buku kumpulan esei para Budayawan Bertindak ini akan turut dilancarkan. Buku ini secara jelasnya adalah pernyataan sokongan para budayawan (khasnya dalam lingkungan BB) terhadap perjuangan A Samad Said.

Kassim dan Hasni yang menyelenggarakan penerbitan buku ini menyatakan, sekiranya terdapat sesiapa di kalangan seniman, penulis dan ilmuan yang ingin menyumbang esei, selaras dengan ‘semangat budaya’ yang dipelopori A Samad Said, mereka masih boleh berbuat demikian. Tetapi mesti cepat, kerana buku itu sudahpun dalam proses editing.



Sementara itu, mengikut Hasni selaku Setiausaha GMP, beberapa badan NGO dan juga parti politik yang bergabung dengan GMP, sudah mulai bergerak menyampaikan maklumat mengenai perhimpunan ulangtahun 7 Mac, yang dijangka akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam. Sekadar berhimpun untuk mengingati sebuah peristiwa besar dalam sejarah kebudayaan kita.



Tetapi walaupun sekadar berhimpun, ia sebenarnya penting. Jangan kerana sekarang terdapat banyak isu yang panas dan lebih urgent maka kita hendak kesampingkan agenda bahasa, dan melihatnya tidak penting. Jangan. Yang tahu betapa pentingnya agenda bahasa ialah A Samad Said. Datang dan dengarlah sendiri amanat beliau.



(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)







No comments: