Saturday, January 23, 2010
Ulasan novel "Zikir Rindu" Azizi Abdullah (bahagian akhir) oleh Ainurjah
3. Tema, persoalan dan watak
Bagi penulis, semua persoalan di atas bukanlah isu besar dalam ZR. Bilakah dia bertemu dengan Dee dalam kereta api bukan persoalannya. Begitu juga persoalan bilakah isteri penulis meninggal, sama ada selepas atau sebelum bertemu dengan Dee juga tidak penting. Yang pentingnya ialah peranan Dee yang selalu mengajak penulis dengan pelbagai helah dan cara ke alam fana dan zauq.
Sebenarnya, penulis ingin mengutarakan satu gagasan persoalan kemanusiaan yang lebih besar. Melalui watak Dee yang aneh dan penuh misteri (hal.6), penulis berjaya membawa pembaca kepada pokok persoalan yang utama. Namun, untuk tiba ke destinasi itu perlu menempuh pelbagai ranjau teka-teki, uji ingatan, duga perasaan, semak persepsi dan siasat sendiri. Segalanya bermula sejak detik pertemuan penulis dengan Dee secara tidak dirancang.
Walaupun Dee hanya sekadar watak igauan penulis yang selalu dimimpi-mimpikan, watak ini berjaya digerakkan sehingga ke hujung cerita. Teknik suspens milik penjual ubat yang menyatakan bahawa dalam bakulnya ada ular tedung selar ganjil berwarna putih yang sampai sudah-sudah tidak ditunjukkan telah berjaya digunakan penulis. Unsur suspens inilah sentiasa menghambat pembaca untuk mengetahui siapakah perempuan yang bernama Dee, sekali gus mendorong pembaca terus mengikuti penceritaan hingga ke bab penyudah.
Naluri ingin tahu pembaca dieksploit sehabis-habisnya dengan teknik penceritaan secara langsung yang diselang-seli dengan teknik imbas kembali. Pembaca ingin tahu siapakah insan bernama Dee yang penulis begitu ghairah dan berahi terhadapnya (hal.19). Dee adalah jantung fikir penulis (hal.49). Dee dianggap sebagai kekasih penulis (hal.118). Malah Deelah yang selalu dicari dan ditunggu-tunggu dengan penuh kerinduan semasa berada dalam fana dan zauq (hal.135). Apa yang ingin diketahui akhirnya terjawab di hujung cerita. Dee tidak pernah wujud di alam nyata. Penulis tidak pernah pun berjumpa dengan Dee walau sesaat jua. Yang ditemui hanyalah dalam khayalan penulis semata. (Hal.194).
Penulis begitu berjaya mengungkap dilema pemikiran dan perasaan orang tua dalam ZR, seorang tua ketika meniti kehidupan di hujung usia yang dahulunya tidak dipenuhi dengan usaha mendekatkan diri dengan Tuhan. Memanglah hidup di dunia ini kurang menarik tanpa tiga perkara iaitu agama, politik dan seks, kata seorang bekas ahli politik tempatan. Segala yang mempunyai tarikan seksual dikutip penulis untuk menghidupkan watak Dee sebagai wadah dalam pencariannya mengenali Tuhan.
Pengaruh Dee dalam ZR begitu penting. Kemunculannya sejak bab 1 lagi (hal.5) telah menyuntik semangat penulis untuk mencari Tuhan melalui ilmu tasawuf, walaupun penulis tidak berhasrat menjadi seorang sufi (hal.131). Dee berjaya memainkan emosi penulis (atau penulis yang berjaya melakarkan watak Dee?) untuk terus bangun malam lalu terjun ke alam makrifah, suasana fana dan zauq kerana Dee berjanji bahawa dia akan menunggu penulis di sana.
Setelah penulis nampak jelas akan matlamat yang hendak dituju, tanpa berlengah penulis mengajak pembaca mula berjinak dengan ilmu tasawuf melalui ungkapan dan kalimah yang mewarnai bidang tersebut. Secara perlahan-lahan, penulis mengajak pembaca meninjau ke batasan sempadan tasawuf melalui kalimah asyik dan fana seawal bab 5 (hal. 23).
Sebelum ini pun peminat ZR telah dijemput berenang bersama bibit-bibit keinsafan penulis tentang mencari makna diri dalam tasik kehidupan yang penuh mencabar di hujung usia. Cuba perhatikan ungkapan-ungkapan berikut:
o “Sangat lama aku memikirkan tentang aku. Enam puluh tahun lebih yang bergerak dalam serba lemah, ...adalah kehidupan di hujung dahan sama seperti seekor kera sakit.” (Hal.2).
o “Kamariah, di hujung usia dalam keadaan tua ini, aku mahu ke sampingkan segala-galanya, termasuklah mahu menafikan dunia pendidikan yang pernah bapa lalui. Bapa ingin belajar dan menempuh usia tua ini dan ...” (Hal.5).
Kemudian pembaca dibawa bersama-sama penulis bermonolog dengan diri sendiri di hadapan cermin, makhluk yang paling jujur dan tidak pernah berbohong (hal.21). Tali persoalan tentang ketuhanan dan kesufian mula dihulurkan sedikit demi sedikit untuk disambut oleh pembaca yang celek rasa hati. Cuba teliti:
o “Paling malang, ia tidak pernah sedar yang ia adalah cermin, satu alat yang melantun wajah orang lain tetapi tidak berupaya melantun wajahnya sendiri.” (Hal. 25).
o “Aku bercekak pinggang di depannya. Jadahnya, replika aku pun bercekak pinggang juga. Akulah ini... Aku melihat aku sendiri tetapi yang terpantul aku juga.” (Hal. 25).
o “Maka mengertilah aku, sesungguhnya sekeping cermin yang aku namakan cermin, tidak pernah mengerti hakikat zatnya.” (Hal.25).
o “Kalau tidak ada mati, masakan manusia dapat menikmati amalan baik dan merasai balasan jahatnya?” (Hal.44).
o “Masa adalah makhluk, sama seperti mati. Di akhirat, mati dimatikan dan kehidupan menjadi kekal. Mati tidak boleh mematikannya tetapi Penciptalah yang mematikan mati, sama dengan masa yang tidak boleh memasakan dirinya. Pencipta masa yang menentukan masa untuk mati.” (Hal.48).
o “Kata-kata bukanlah perasaan... Tanda cinta selalunya hendak berjumpa... Tapi bukan berjumpa tanda cinta...” (Hal.56).
o “Cintalah kepada-Nya. Selalulah berjumpa-Nya... Bisiklah cintamu selalu... Belajarlah daripada kesepian, belajrlah cara keasyikan dalam taat dan cubalah takut pada diri sendiri. Simpanlah rahsia cinta betapa pun cinta itu amat menggelodak!” (Hal.57).
o “Belajarlah pada kesepian! Belajarlah daripada kesepian! Belajarlah tentang kesepian!” (Hal. 58).
o “Mulalah terasa aku keseorangan, tapi tidak pula terasa seorang diri.” (Hal.85).
o “...aku sudah melompat lepas daripada amarah...parit lauwamah juga sudah kulompat.” (Hal.108).
o “Aku mahu tinggalkan dunia keparat ini.. Aku sudah benci dengan kehidupan dunia selama 44 tahun.” (Hl.110).
o “Tak guna engkau berwirid sampai berbuih mulut jika empat penjuru jihad tidak engkau tembusi!” (Hal.111).
o “Cubalah putuskan keperluan badani dengan sedikit melakukannya. Makanlah sekadar boleh beribadat. Pakailah sekadar cukup menutup aurat. Langkahlah kakimu jika itu tuntutan ALLAH. Buatlah segala apa yang dibenci nafsu. Sibukkan hati mengingati ALLAH. Banyakkan zikrullah baik dengan hujung lidah mahupun dengn hati. Matangkan ketaatan supaya hampir kepada kesempurnaan ...” (Hal.112).
o “... aku memang menantikan malam dengan sebilah pedang mujahadah... semacam ada satu zauq yang sukar dijelaskan apabila menemui malam.” (Hal.113).
o “... Kucuba menenggelamkan alam duniawi dan bersilat menepis segala lintasan.” (Hal.114).
o “Cuba pandang yang satu dalam yang banyak... Sebab yang satulah mencipta yang banyak bukan yang banyak mencipta yang satu. Kalau tidak ada titik, mana boleh ada satu... Titik itulah sebanarnya ‘sir’, rahsia yang tidak terbongkar... Untuk masuk ke alam ‘sir’, kamu mesti jadikan diri kamu sekecil titik. Seandainya kamu masih rasa kamulah yang besar, hebat, sombong dan lain-lain, kamu tidak akan dapat masuk ke alam ‘sir’.” (Hal. 138).
o “Dee lebih suka bersendirian bersama ALLAH dan tidak suka bercakap perkara yang sia-sia. Dee pasti berada dalam jasbah.” (Hal.178).
o “Tiba-tiba malaikat maut pun masuk. Aku sedar, aku tahu bahawa itu hanyalah sekadar bayangan perasaanku sahaja. Sesungguhnya aku tidak nampak tetapi aku seolah-olah dapat merasakannya.” (Hal.185).
Ulasan:
Semua fakta di atas adalah persoalan bidang kerohanian dan kesufian.
4. Jawapan Kepada Pokok Persoalan:
Dalam bab terakhir, penulis mengungkapkan:
“Aku sudah pun pelajari pengajaran-pengajaran rohaniah yang setinggi-tingginya daripada perbandingan dan ibarat daripada yang berlaku di dalam dunia yang lahir dan luar ini. Kalaulah aku atau mereka yang seumpama aku memburu-buru perkara yang tidak nyata, mengaling-aling ataupun sesuatu yang tidak ada wujud, aku atau mereka tidak akan sampai ke matlamat hidup...
... Manakala orang yang mengikuti cahaya daripada-NYA, yang membimbingnya dalam kemahuan rohani, ia adalah lebih baik, bahagia pada jiwa, lebih sejahtera kalbu dan lebih teguh kedudukan dalam hidup, seperti amnya, pada setiap detik hidup.” (Hal.195).
Penulis menutup bicara ZR dengan tafsir ayat 3 dari surah Muhammad.
Bagi pembaca yang berminat dengan bidang kesufian, dua paragraf ini menjadi kunci kepada pintu agenda tersembunyi penulis yang mendorong pembaca membuat kesimpulan berikut:
• Penulis memperingatkan pembaca agar berhati-hati dalam mencari Tuhan melalui jalan kesufian. Salah pilih jalan kesufian tidak akan membawa pengamalnya kepada matlamat yang dutuju.
• Penulis belum berjumpa jalan kesufian yang dibangsakan sebagai tariqat, ilmu yang membicarakan tentang aspek ketuhanan, ketauhidan dan peribadatan dengan lebih mendalam yang menyentuh bidang-bidang ilmu Martabat Tujuh, Latifah Tujuh dan Laduni. Itulah jalan yang nyata yang membawa manusia beriman kepada kesudahan hidup di dunia untuk menikmati kelazatan hidup di akhirat yang tidak berkesudahan. Balasan Syurga yang dijanjikan bukan matlamat seorang hamba Allah yang beriman. Sebenarnya, wawasannya ialah Tuan yang empunya Syurga itu sendiri. Beramal bukan kerana pahala, bukan kerana Syurga. Beramal dengan penuh ikhlas, dengan tidak dikeranakan oleh sebarang kerana. Jika demikian barulah layak orang itu menjadi penghuni Syurga Allah. (Rujuk Alfajr: 27-30).