Sunday, January 24, 2010

Teori kepemimpinan rumpun Melayu




“Makna Kepemimpinan, Kepengurusan dan Politik


Kepemimpinan ditujukan kepada ilmu penentuan falsafah, wawasan dan matlamat/objektif sesebuah institusi/negara; manakala kepengurusan sering ditakrifkan sebagai ilmu perancangan (sesuai dengan kehendak pemimpin), pelaksanaan, pengawalan dan penilaian; sedangkan setiap satu proses ini sudah mencapai tahap matematik yang tinggi dan semakin canggih lagi.


Jelaslah kepengurusan itu penuh dengan matematik tetapi kepemimpinan itu nampaknya tiada unsur matematiknya. Namun dalam pembinaan teori kepemimpinan, secara sedar atau tidaknya, seseorang telah lama menggunakan kaedah matematik juga terutamanya, yang diperlihatkan lagi dalam buku ini, kaedah deduksi yang terasas, iaitu kaedah aksiom. Lagi pun, pemisahan kepemimpinan dengan pengurusan itu agak baru, iaitu sejak 1970-an ini sahaja (lihat Zaleznik 1977), oleh itu teori kepengurusan dengan teori kepemimpinan sebelum itu tidak dipisahkan, walaupun amalannya pemisahaan ini mungkin telah lama berlaku menerusi delegasi kuasa.


Dalam kebudayaan rumpun Melayu dahulu Raja atau Sultan boleh dianggap pemimpin manakala Menteri sebagai pengurus (kini tentunya berbeza sekali!). Seseorang Ketua Pengarah Eksekutif/Chief Executive Officer biasanya dianggap pemimpin dan ketua-ketua besar bahagian atau jabatan dan sebagainya dianggap pengurus (biasanya nama jawatannya pun memang pengurus). Naib Canselor/Presiden/Rektor di universiti dianggap pemimpin dan Dekan-dekan dianggap pengurus.


Politik yang terkenal dengan ungkapan ringkas “kesenian kemungkinan” itu sebenarnya sama dengan perkataan ke-Machiavellean (sempena nama seorang sarjana kepemimpinan barat yang terkenal dan dibicarakan dalam bab 3 dan 5 buku ini) kepada makna politik yang lebih murni, “usaha memakmurkan atau membahagiakan sesebuah institusi, masyarakat dan negara berlandaskan pada sesuatu falsafah kepemimpinan”. Makna ini dengan mudah menarik perhatian sesetengah ahli matematik memainkan peranannya seperti yang telah disebut sebelum ini. Internet nampaknya memberikan puluhan makna “politik/politics”, termasuk banyak bersifat sendaan tetapi yang seriusnya semuanya tidak jauh daripada yang tersurat atau tersirat di dalam ungkapan di atas.”



Dari halaman 45, buku “Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu” oleh Shaharir Mohamad Zain, Universiti Malaysia Terengganu, 2008.


Prof Shaharir, Timbalan Pengerusi GMP, Gerakan Mansuhkan PPSMI salah seorang cendiakawan tanah air yang amat yakin bahawa bahasa itu bukanlah sekadar alat untuk berkomunikasi. Bahasa memiliki jati diri, roh dan akar budayanya yang terlalu berharga untuk diabaikan. Untuk mengetahui pemikirannya yang lebih lanjut, silalah teliti buku di atas.


Buku 9 (sembilan) bab ini, antara lain bermula dengan soalan, "Siapakah Melayu?" dan mengupas soal-soal seperti "Kepemimpinan, Kepengurusan dan Matematik", "Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu-Islam Sejak Abad Ke-20" dan berakhir dengan " Program Penyelidikan Kepemimpinan dan Kepengurusan Kontemporer Beracuan Rumpun Melayu yang Terdampar"








No comments: