(Dipetik dari laman ‘Detikdaily” 13 Februari 2010)
Maulid Rasul: Guan Eng bidas Utusan, cabar TPM sertai sama
Oleh Syed Jaymal Zahiid
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesahkan perarakan Maulidur Rasul tahunan akan diadakan seperti biasa sambil membidas laporan Utusan Malaysia, yang mencetuskan rasa tidak senang dan protes di kalangan pemimpin Umno dan umat Islam, sebagai satu pembohongan.
Lim juga menafikan dakwaan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pentadbirannya anti-Islam atas alasan kononnya telah membatalkan perarakan itu kali ini.
Sebaliknya beliau menjemput timbalan perdana menteri itu sendiri mengambil bahagian dalam sambutan tiga hari akhir bulan ini.
“Saya mencabar timbalan perdana menteri untuk menyertai perarakan ini apabila ia diadakan,” kata Lim sambil menambah, media arus perdana dengan sengaja membelakangkan berita atau tidak melaporkan perkara yang sebenar tentang Pulau Pinang.
“Utusan Malaysia berbohong dan saya tidak mahu Muhyiddin memalukan dirinya sendiri dengan mempercayai pembohongan itu,” kata Lim kepada The Malaysian Insider.
Setiausaha agung DAP itu kini berhadapan dengan siri dakwaan bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Zahrain Hashim yang semalam keluar parti itu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Bulan lalu Zahrain mengecam keras kepimpinan Lim dan semalam pula mengumumkan keluar Pakatan Rakyat.
Lim yang mengetuai Pulau Pinang sejak Mac 2008, sendiri pernah mengambil bahagian dalam perarakan itu selaku ketua menteri bagi memperlihatkan beliau juga mengambil berat tentang sentimen umat Islam.
“Jangan mempolitikkan isu ini. Timbalan perdana menteri tidak harus bergantung pada maklumat-maklumat Utusan Malaysia yang tidak disahkan. Laporan bahawa kami hendak membatalkan perarakan ini adalah satu pembohongan,” katanya.
Lim telah pun melarang Utusan Malaysia dan New Straits Times, kedua-duanya dikaitkan dengan Umno, kerana menurut beliau seringkali salah lapor dan enggan membawa jawapan balas beliau.
Semalam Muhyiddin berkata tindakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim yang membatalkan acara tradisi umat Islam yang diadakan sebagai tanda rasa cinta dan sayang mereka kepada Nabi Muhammad, seolah-olah menunjukkan mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita orang Islam.
Katanya perkara yang telah menjadi amalan tradisi tidak sepatutnya diberhentikan apatah lagi dalam situasi negara yang perlu sentiasa menjaga sensitiviti semua kaum.
Menurut Muhyiddin sebagai sebuah kerajaan negeri yang memerintah, mereka sepatutnya meneruskan amalan yang membawa kebaikan kepada sesebuah masyarakat di negeri berkenaan kerana ia melambangkan pimpinan memahami dan menghormati agama-agama lain.
“Apakah ini hendak menunjukkan satu sikap baru daripada DAP bahawa mereka tidak menyokong hasrat dan cita-cita umat Islam? Kita tanya balik pada dia (Guan Eng),” kata Muhyiddin.
Menurut laporan Utusan Malaysia semalam, mesyuarat jawatankuasa induk majlis sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah/2010 Masihi peringkat negeri pada 3 Feb lalu memutuskan perarakan tersebut dibatalkan tetapi majlis perhimpunan ummah diteruskan di Dewan Sri Pinang.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua ketua jabatan, ketua badan berkanun dan ketua pengurusan pihak berkuasa tempatan.
Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi juga melahirkan pandangan sedemikian dengan meminta kerajaan Pulau Pinang tidak wajar membatalkan perarakan Maulidur Rasul di negeri itu kerana ia adalah perarakan aman dan tidak mendatangkan keburukan.
Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata tindakan membatalkan perarakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri mengandaikan perarakan itu akan menjadi sesuatu yang tidak baik, membawa keburukan serta menyebabkan pergaduhan.M/I
Ulasan:
Marilah kita amati, baik-baik petikan di bawah ini, dan kita renungi rentetan segala peristiwa yang telah berlaku sejak PRU12 ini dengan minda yang terbuka. Kita nyahkan segala sentimen dan prasangka yang cuba diapi-apikan oleh mereka telah nyata kematian idea dan kewalahan ikhtiar mencari cara menawan semula hati rakyat, khususnya orang-orang Melayu...
Mula-mula, kita teliti petikan berita di atas:
“Setiausaha agung DAP itu kini berhadapan dengan siri dakwaan bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Zahrain Hashim yang semalam keluar parti itu untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Bulan lalu Zahrain mengecam keras kepimpinan Lim dan semalam pula mengumumkan keluar Pakatan Rakyat.
Lim yang mengetuai Pulau Pinang sejak Mac 2008, sendiri pernah mengambil bahagian dalam perarakan itu selaku ketua menteri bagi memperlihatkan beliau juga mengambil berat tentang sentimen umat Islam”.
Pertama,
Marilah kita teliti apa yang pernah ditulis oleh seorang Sasterawan Negara, Usman Awang dalam cerpennya “Sebuah Khemah Didirikan” (Usman Awang, “Kami yang terlibat”, DBP, 2005).
“Jagalah jangan sampai ada antara kawan kita yang dapat dibeli oleh majikan. Kita tahu majikan sedia mengeluarkan wang untuk menghancurkan dan memecah-belahkan pemogokan kita dengan membeli orang-orang yang lemah dan tak tahan menderita...”
Siapakah yang akan menjual dirinya kepada majikan? Ah, tidak mungkin tidak ada. Aku? Aku sendiri bagaimana? O, dijauhi Tuhan.” (halaman 60)
Lalu, adakah cerita menjual dirinya ini cerita yang baru?
Kedua,
Saya teringat akan pandangan Subky Latiff yang bagi saya, bukan saja menarik tetapi cukup tajam. Saya ingin mendengar pandangannya, apakah kaedah Guan Eng yang katanya mahu menerapkan pemerintahan ala Umar Abdul Aziz itu mampu mendobrak imej buruk DAP dalam kalangan orang-orang Melayu yang totok Umnonya? Bayangkanlah propaganda media Umno yang sudah sekian lama melabelkan bahawa DAP itu anti Melayu, anti-Islam dan pejuang konsep Malaysian Malaysia dan oleh itu sangat bahaya kepada orang-orang Melayu.
Intipati pandangan Subky itu dapat dilihat dalam ceritanya yang kira-kira begini:
“Tatkala pertama kali kami masuk Tok Cina di sekitar Pantai Remis kerana PRK, saya telah menyeru orang-orang bukan Islam, orang-orang bukan Melayu khususnya kaum Cina di situ supaya menghayati nilai-nilai Islam (Islamic values). Tentunya dalam hati kecil saya ingin supaya tuan-tuan semua menjadi Islam tapi saya tak bolehlah berbuat begitu, saya hanya boleh mengajak tuan-tuan faham nilai-nilai Islam. Cubalah tuan-tuan hayati nilai-nilai Islam, dan kalau itu terjadi saya rasa itu sudah cukup baik. Jadi pendekatan Guan Eng, kita kira memang cukup baik kerana dia menunjukkan bahawa sebagai pemimpin Cina yang bukan Islam, dia memahami dan melaksanakan nilai-nilai Islam itu. Jika dia berterusan begitu, negara ini akan a menjadi jauh lebih bagus dalam semua hal.
Yang menjadi masalah kita sekarang ialah adakah tuan-tuan semua ini menjadi penganut Buddha yang baik? Saya rasa tidak, tuan-tuan menganut dan mengamalkan kefahaman nilai-nilai Barat dan sekular. Tapi tuan-tuan tak rasa risau. Jadi kenapakah pula tuan-tuan perlu risau dengan nilai-nilai Islam?”
Ketiga,
Citra Umno yang masih dikelek oleh sesetengah bekas ahli-ahli Umno yang menyeberang ke dalam PKR, masih cukup tebal dan kental. Budaya dan mentaliti menggunakan Umno sepuas-puasnya oleh Umno ini telah menjadikan Umno seperti apa yang ada sekarang ini: Tersasar. Parti hanya ekslusif untuk elit berkuasa. Mereka yang berkuasa mestilah ada labanya dan habuannya. Dan ini mahu dibawanya juga ke dalam parti barunya, PKR.
Semakin menyusutnya bilangan orang-orang begini dalam Pakatan Rakyat, maka semakin baiklah untuk rakyat, mudah-mudahan.
Apakah kita harus bersedih?
Bak kata sesetengah pemimpin, “Good riddance!!” Eloklah tu, lebih cepat berambus, lagi bagus!!
Tentunya kita semua setuju. Bukan begitu Ustaz Azizi? Jadi tak payahlah lagi Ustaz bawa heli, depa dah terjun!
No comments:
Post a Comment