Ulasan cerpennya
AMARAN:
(Barang siapa yang halus budi bahasanya, tinggi darjat budayanya, dan anggun pula pekertinya, dinasihatkan supaya tidak menghampiri ulasan ini. Ini juga gelodak rasa yang kesat, tidak beradab dan terlalu jorok untuk mereka yang mulia dan tinggi martabatnya, apatah lagi mereka yang sangat hampir dengan segala yang maha pikun).
Kitakah bangsa jadah itu?
(Mencari pelbagai makna cerpen ‘Si Pikun’ karya Azizi Abdullah (Harakah bilangan 1513, 12 – 14 Februari 2010)
Jika tidak tersalah hitungan, termasuk tajuknya ‘Si Pikun’ disebut dan diulang-ulangi Azizi sebanyak 53 kali dalam cerpen di atas. Sementara ‘jadah’ pula muncul sebanyak 19 kali. Apa itu yang kita maksudkan ‘pikun’ dan apa pula maknanya ‘jadah’? Sepertimana yang disebut oleh Azizi dalam teksnya, mengikut Kamus Dewan pikun itu bererti ‘sangat tua’, sementara ‘jadah’ pula membawa maksud, ‘ kata makian untuk menunjukkan kemarahan’. Dan apabila kita menyebut ‘haram jadah’ tentulah maknanya tidak akan berubah menjadi seni, lunak lagi puitis di telinga. ‘Haram jadah’ adalah anak yang lahir daripada ibu bapa yang tidak berkahwin@anak haram.
Bagi Azizi, Si Pikun walaupun pikun tersangatlah perkasa dari sejak dahulu kala sehinggalah ke zaman ini, dan segala masalah bangsaku tegas Azizi lagi adalah akibat perbuatan dan angkara Si Pikun itu. Malangnya, bangsaku, ulangi Azizi lagi tidak mahu atau berupaya melihatnya segala angkara yang bermula dan dimulakan oleh Si Pikun.
Untuk mengukuhkan hujahnya Pikunlah penyebab segala masalah, Azizi menyatakan:
‘Bangsaku kini semakin bercelaru. Memang kerana Si Pikun itulah’.
‘Satu ketika dulu bangsaku hampir jadi gila sawan apabila bahasanya diterbalik keramatnya’...Tapi jadahnya bangsaku tidak peduli pada Si Pikun, sedangkan Si Pikunlah yang memulakannya’.
‘Satu ketika dulu, mertabat dan kedaulatan raja-rajaku tergugat. Bangsaku memang jadah. Tidak pun dipeduli akibat dan tidak pernah melihat masa depan. Tiba-tiba apabila raja-rajaku menjadi tidak bertaring dan sebahagian imuniti dicabut, bangsaku sampai jadi macam ayam kena hawar. Tiba-tiba berlaku sesuatu, Sampai raja-rajaku dipermain. Jadahnya bangsaku tidak pernah mencari punca dari apa yang dilakukan oleh Si Pikun itu. Mereka asyik menyalah engkau dan mereka’.
‘Satu ketika dulu berlaku agamaku dihina. Segala peruntukan ditarik macam agama aku ini kerbau keweh yang hanya layak berkeliaran di hutan. Sekarang timbul isu-isu agama. Jadahnya bangsaku, asyik berpusing sasau menuduh engkau mereka pada hal Si Pikun itulah yang mula melakukannya’.
‘Kini hebuh tentang royalti dan ehsan. Jadahnya tidak seorang pun yang mencungkil dari mana sebab musabab. Yang berlaku asyik polimik, asyik kata boleh dan tidak boleh. Padal hal Si Pikun itulah yang mula mencipta istilah jadah itu’.
Kemuncak ketidakpedulian bangsaku...
Kemuncak ketidakpedulian bangsaku...
Kemuncak ketidakpedulian@sikap-biar-pilah bangsaku itu, Si Pikun telah memerli bangsaku supaya membawanya ke muka pengadilan! Hah...negaraku Malaysia yang tercinta ini, kata Azizi lagi sudah benar-benar sudah ‘terbalik court’!!
Penjenayah begitu lantang dan berani menjerit-jerit memberitahu pihak yang berkuasa@polis bahawa dia teraniaya kerana mangsa rompaknya tidak berduit.
Apakah lagi yang telah dan terdaya dilakukan oleh bangsaku sekarang ini, keluh Azizi lagi. Dia amat kecewa dengan sikap bangsanya yang terlalu membiarkan segala-galanya diperlakukan sesuka hati sehinggakan menurut Azizi sememangnyalah ‘bangku memang jadah kerana tidak mau melihat jadah Si Pikun itu. Bangsaku macam melepas rantai beruk dan dibiarkan beruk itu berlalu begitu sahaja.’
Ada yang berpendapat bahawa sesungguhnyalah, sejak berpuluh-puluh tahun lalu lagi, sebelum dan sesudah berada di puncak kuasa, orang yang pikun ini dikatakan telah memainkan pelbagai peranannya di mana saja, bila saja dalam segala hal. Seorang anak bangsawan direntap turun dari takhta kuasa oleh Si Pikun dan anak seorang lagi bangsawan dimusnahkannya, tatkala mahu mencabar kekuasaannya.
Persoalan yang timbul sekarang ialah:
Adakah bangsaku, khususnya orang Melayu terlalu mudah dibaca@predictable sehinggkan kita kerap kali hanyalah menjadi si lurus bendul yang diinjak-injak semahunya, bila, di mana oleh sesiapa saja?
Atau adakah manusia seperti si pikun ini terlalu cerdik@licik atau kita yang keterlaluan kurang cerdik@banyak bodohnya?
Atau adakah penyakit tidak mempedulikan segala-galanya adalah penyakit kronik kita sebagai satu bangsa?
Bayangkahlah, lubang najis juga yang mereka ulang-ulangi...namun kita melihat semuanya seolah-olah tidak ada apa yang serius, yang luar biasa yang telah berlaku.
Apakah penyakit kita sebenarnya?
Penyakitnya jelas, kata Azizi dan ini yang dinyatakannya dengan penuh ‘hanyalah gelodak rasa’ yang tak ada kaitannya dengan sesiapa kecuali tentunya, Si Pikun:
‘Tapi jadahnya bangsaku tidak peduli pada Si Pikun, sedangkan Si Pikunlah yang memulakannya’.
‘Jadahnya bangsaku, asyik berpusing sasau menuduh engkau mereka pada hal Si Pikun itulah yang mula melakukannya’.
‘Jadahnya bangsaku, asyik berpusing sasau menuduh engkau mereka pada hal Si Pikun itulah yang mula melakukannya’.
‘Memang jadah! Memang pun jadah! Si Pikun itulah yang menyebabkan jadah bangsaku’.
Apakah benar, kitalah bangsa jadah, bangsa haram jadah itu yang membiarkan semuanya terjadi?
Penutup:
i) Bolehkah sastera itu kasar dan panas baran?
Persoalannya sekarang ialah apakah sastera yang berseni lagi indah dan halus itu membenarkan yang sangat’blak-blakkan’ kasarnya, kesat dan hodoh bahasanya sebagai sebuah karya sastera? Jangan lupa itulah hujah yang bakal digunakan oleh mereka yang suka bersilat seni walaupun dalam sastera. Kita tentu ingat bagaimana pencinta sastera yang indah-halus pernah mengkritik ‘Shit’ habis-habisan kerana mesej dan isinya yang kotor itu.
Lihatlah di antara ungkapan bahasanya Azizi dalam ‘Si Pikun’:
‘Memang celaka dan haram jadah kawanku’
‘Dia ku anggap macam babi sondol pokok pisang; setelah kenyang terus berlalu begitu saja’.
‘Setidak-tidaknya tangkap Si Pikun itu, berkas di pokok belimbing buluh, biarkan kerengga gigit telur dan kemaluannya. Biar dia rasa pedih dan sakit walaupun tidak sama pedih dan sakit seluruh bangsanya’.
ii) Apakah kritik sastera lebih berkesan daripada kritikan yang formal?
Bagi saya memang jelas, Azizi sangat terkilan dengan sikap bangsaku yang membuat Si Pikun boleh bermaharaja lela begitu lama dan sedemikian rupa. Akhirnya kata Azizi, bangsaku memang bangsa yang jadah! Setidak-tidaknya itulah tanggapan saya, seorang awam.
iii) Tulislah lagi...
Sdr Azizi,
Bolehkah sdr tulis semacam cerita bersiri Si Pikun, tapi kali ini dengan penuh gelodak rasa, biar lebih ummphnya dari sudah berummphnya ‘Si Pikun’ ini?
No comments:
Post a Comment