Thursday, February 4, 2010

Prof Shaharir dan Teori Kepemimpinan Rumpun Melayu


Dinsman (Artikel 138, 5/2)



Kebetulan saya memang sedang mencari buku yang membicarakan mengenai teori atau teori-teori kepemimpinan, pentadbiran kerajaan dan pembangunan. Sebabnya? Seperti pernah saya tulis dalam kolum ini, saya berminat untuk melihat kepimpinan dan pentadbiran Tok Guru Nik Aziz di Kelantan dalam kerangka atau format teori kepimpinan/kepemimpinan dan teori pembangunan yang diiktiraf dunia.



Saya mempunyai perancangan tertentu dalam hal ini bersama dengan bekas CEO Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir Ariffahmi Ab Rahman. Sekarang walaupun Ariffahmi sudah tiada lagi di PMBK, saya tidak menyisihkan minat dan perancangan untuk merakamkan kerja-kerja TG Nik Aziz selama 19 tahun di Kelantan itu. Cuma bagaimana ia akan dilaksanakan – itu saya belum pasti. Namun saya terus berusaha untuk menganalisa hasil kerja TG Nik Aziz itu, secara perlahan-lahan, semampu saya.



Demikianlah apabila Dr Alinor memberitahu yang Prof Shaharir Mohd Zain ada menulis sebuah buku mengenai Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan, saya agak terkejut. Setahu saya Prof Shaharir seorang yang pakar dalam ilmu Matematik dan Fizik. Juga mempunyai minat dan cinta yang mendalam terhadap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menyebabkan beliau melibatkan diri selaku Timbalan Presiden GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) dan turut memimpin perhimpunan bantah PPSMI pada 7 Mac 2009.


Sewaktu saya mencari-cari orang yang sesuai/layak untuk menulis artikel mengenai “Teori Kepimpinan dan Pembangunan TG Nik Aziz”, untuk mengisi majalah Qiadah (terbitan PMBK) akan datang itu, memang nama Prof Shaharir disebut oleh kawan-kawan. Rupa-rupanya dia telah menghasilkan banyak sekali tulisan yang berhubungan dengan soal teori kepemimpinan dan kepengurusan, khasnya di Alam Melayu.



Buku Shaharir yang dimaksudkan oleh Alinor itu berjudul Pembinaan Semula Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu”, diterbitkan oleh Universiti Malaysia Terengganu, 2008.



Walaupun ia membicarakan Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu, ia juga membicarakan Teori Kepemimpinan dan Kepengurusan Barat-Eropah, serta teori-teori berkenaan dalam Tamadun Islam, sebagai perbandingan. Oleh kerana ia ditulis dengan pendekatan sejarah, buku ini telah mendedahkan beberapa fakta yang sangat menarik. Misalnya, siapakah orang pertama di dunia yang menghasilkan teori kepemimpinan dan kepengurusan? Bilakah teori berkenaan mula diperkenalkan, dan di mana?



Mengikut Shaharir, karya asli dalam kepemimpinan dan kepengurusan dari rumpun Melayu telah lahir “jauh lebih awal daripada tamadun lain yang kita kagumi selama ini, khususnya berbanding dengan tamadun Eropah.”


Dalam sejarah ilmu kepemimpinan di Barat, Machiavelli dari Itali adalah orang pertama yang memperkenalkan teori kepemimpinan, iaitu menerusi bukunya yang terkenal hingga ke hari ini, ‘Il Principe’ (dalam bahasa Itali), yang kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris (tahun 1640) sebagai ‘The Prince’. Manuskrip buku ini dikatakan siap pada tahun 1513, tetapi diterbitkan pada tahun 1532.



Salah satu prinsip atau nilai kepemimpinan yang terdapat dalam buku ini, yang masyhur disebut-sebut dalam dunia politik hingga ke hari ini ialah prinsip “faedah membenarkan kaedah”, atau “matlamat membenarkan cara”.



Mengikut Shaharir, gaya tulisan Machiavelli adalah sama dengan penulis-penulis sarjana Islam ratusan tahun sebelumnya, seperti al-Farabi (m.1000), al-Mawardi (m.1040) dan al-Ghazali (m.1110). “Ini tidaklah menghairankan,” katanya, “kerana karya-karya ini memang dipercayai diketahui oleh Machiavelli, kerana karya-karya sarjana Islam ini memang diterjemahkan kepada bahasa Latin dalam abad ke-13 atau ke-14M.”



Dalam sejarah di Rumpun Melayu pula, sebuah batu bersurat Campa yang bertarikh 1088 telah membuat catatan mengenai ciri-ciri seorang Raja Campa yang dianggap sebagai ‘Cakravantin’ atau Pemimpin Alam



Sifat Cakravantin yang dicatat sebanyak 32 sifat di situ, yang ditafsir sebagai pemimpin yang unggul (daripada perspektif Buddhaisme), adalah ilmu kepemimpinan dan kepengurusan rumpun Melayu yang tertua. Malah, di segi pernyataan bertulis, kata Shaharir, “ini adalah yg tertua di dunia,” (selain daripada karya sarjana Yunani sebelum Masehi).



Ini bermakna Barat terkebelakang kira-kira 500 tahun dalam bidang ini, berbanding dengan kita di rumpun Melayu! Malangnya, kata Shaharir, “rumpun Melayu mengabaikan ilmunya hingga terdampar, sambil mengejar ilmu tersebut dari Barat.”



Seterusnya dalam zaman kerajaan Majapahit, seorang sarjananya bernama Prapanca telah menghasilkan sebuah karya bernama ‘Nagarakertagama’ (1365) yang membicarakan 18 sifat pemimpin unggul yang dikatakan dimiliki oleh Pateh Gajah Mada.



Karya seterusnya yang mengandungi bicara teori kepemimpinan ialah Hikayat Raja Pasai, yang dipercayai ditulis antara 1400–1520-an. Diikuti dengan Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) karya Tun Sri Lanang (1612); Tajus Salatin (Mahkota Raja-Raja) kayra Bukhari al-Jauhari, 1603; dn Bustan al-Salatin (Taman Raja-Raja) karya Nur al-Din al-Raniri, 1623.

Ada banyak perkara menarik yang perlu dibincangkan mengenai buku ini sebenarnya.


Walaupun pengarangnya mengatakan “buku ini bertujuan menunjukkan kepemimpinan dan kepengurusan itu sebahagian daripada matematik, atau matematik itu berperanan besar dalam penerokaan ilmu ini”, keseluruhan perbincangan buku ini tidaklah terikat dengan tujuan itu sahaja. Walau apapun, bacaan awal saya ke atas buku ini tidak menemukan saya dengan apa yang saya cari pada awalnya, iaitu teori yang boleh saya padankan kepada analisa kerja-kerja TG Nik Aziz di Kelantan selama 19 tahun lalu itu.



Sungguhpun begitu, saya akan menelaahnya lagi, kerana saya rasa ada banyak perkara yang perlu difahami dan dibincangkan. Paling tidak pun, fikirkanlah akan kenyataan Shaharir ini:


“Orang2 Islam dan Melayu khasnya terus dididik supaya mengabaikan tamadunnya dan diajak hanya mengejar ilmu Barat, khususnya ilmu pengurusan ini, hingga warisan ilmu ini daripada warisan sendiri terfosil sejak abad ke-14M dan terdampar di Pascabima sejak abad ke-18M.”



Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)






No comments: