Monday, January 3, 2011

Interlok

Interlok: Inikah yang menyakitkan hati para penentangnya?


Saya baru sepintas lalu membacanya, rasanya tak ada pun aspek yang tersangatlah negatif dengan ‘Interlok’ itu.  Maka untuk lebih pasti, pandangan dua orang sahabat Hasni dan Dinsman kita perolehi. 

Kata Hasni, ‘abang tengok halaman 210 – 212’:

Halaman 211 dalam karya Abdullah Hussain ini, antara lain terdapat satu perenggan seperti berikut:

“Di dalam kapal ini dia tidak susah.  Sebahagian besar daripada penumpang dek yang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil.  Mereka yang dari arah ke utara sedikit berbahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil.  Malayalam dan Telugu pun berasal dari satu rumpun bahasa Dravidia.  Satu perkara besar yang membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria.  Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan.  Mereka juga bebas bergaul.  Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.  Mereka berasak-asak seperti kambing.”


Di halaman 212, pengarang memberikan satu gambaran ― seperti berikut:


“Orang bumiputera negeri itu baik-baik belaka,”  kata orang itu.  “Mereka tidak hiraukan orang asing yang datang.  Mereka hidup senang.  Mereka punya tanah sawah dan kampung, dan mereka berasa puas dengan harta itu.”

Sementara itu Dinsman yang belum lagi selesai membaca teks untuk Tingakatan Lima ini,  turut menjawab sms saya:  Mengikut teman saya Dinsman, “Ada 1 yang Cina tu kata kat Seman “bodoh punya olang” Halaman 58.  Tapi kalu itu pun tak boleh cakap, karut sangatlah.”    


ii.

Dalam kehidupan ini banyak perkara yang boleh dilihat sensitif apatah lagi jika kita mahu melihatnya demikian.  Sehingga ke hari ini, ada yang pelik misalnya kenapa saya sukakan lagu-lagu Tamil dan filem Tamil.  Rasanya tak ada yang luar biasa dalam hal-hal begini kerana bahasa dan budaya adalah sebahagian daripada kepelbagaian manusia dan kemanusiaan.

Pelik juga misalnya kita melihat teman yang menjadi generasi kedua dalam perkahwinan Melayu dan India (mamak) tidak mahu dan akhirnya dapat bercakap Tamil.  Saya selalu sebut kepada kawan-kawan ini, “Saudara  rugi kerana melepaskan peluang keemasan menguasai satu lagi bahasa ― bahasa Tamil.”
 
iii.

Apakah pengajaran yang boleh kita dapati dari episod ini?

Kita masih lagi terlalu dijajah oleh kefahaman bahawa warna kulit, asal usul, bahasa ibunda itu adalah segala-galanya dalam kehidupan ini.  Yang nyata, dan yang sangat mencengkam ‘psikik’ kita sebagai bangsa ialah hakikat bahawa kita sangat kaya dan kental dengan pendirian: Aku Melayu, kau Cina, dia itu India.

Apakah benar teks itu menghina kerana di sana ada gambaran tentang kasta ― pariah?

Bukankah kita semua umumnya pariah kerana tidak termasuk di dalam kelompok elit penguasa yang tidak pernah kenal bangsa, agama, ras dan warna kulit itu,  kecuali ― duit?

Saya juga pariah yang tidak termasuk dalam penguasa yang elit walaupun saya pernah mendapat keistimewaan kerana kebetulan lahir sebagai Melayu.

Bila lagi kita semua mahu berhenti dimainkan oleh orang-orang yang berkuasa yang rakus ini?

Sampai bila? 


Untuk mereka yang masih marah-marah, sila dapatkan naskhah ‘Interlok’ tuan dan bacalah kisahnya keluarga Seman, keluarga Cing Huat, keluarga Maniam dan lihatlah bahagian keempat ‘Interlok’ yang menjadi rumusan pengarangnya.



1 comment:

Anonymous said...

* Bukankah kita semua umumnya pariah kerana tidak termasuk di dalam kelompok elit penguasa yang tidak pernah kenal bangsa, agama, ras dan warna kulit itu, kecuali ― duit?

- ...kecuali - duit dan burit?