Wednesday, February 10, 2010

"Subky, janganlah kau mati dulu"


Saya tidak perlu bermula dengan pelbagai mukadimah, basa basi yang basi seperti, ‘ah, cuaca hari ini cukup panas’ atau ‘lama betul tak hujan sekarang!’. Ya, saya tak perlukan itu semua.


Begitu melihat sosoknya; wajah ceria dihiasi kuntum-kuntum senyuman, kaca mata bulat ala John Denver, baju labuh tanpa leher dan kopiah hitam Raihannya, dia terus saya hampiri sambil menghulurkan tangan. Kami duduk bersebelahan.


“Saya pesan Razali Endun, ajak bapak bersama ke acara ‘Apresiasi Novel Dunia’ bersama Pak Samad”.


“Ya, kebetulan ada artikel-artikel untuk akhbar yang belum siap..Jadi tak dapat pergi.”


Maka tatkala kira-kira empat jam bersamanya pada pagi 9 Februari 2010 itu, pelbagai soalan telah saya ajukan. Terlalu banyak yang boleh ditanya, terlalu kaya pengalaman yang terpendam namun terlalu sedikit yang saya ketahui:


“Kenapakah Pas mahu bertemu (dah penat telinga ‘mengucapkan’ muzakarah et al) dengan Umno?”


“Pas mahu bertemu dengan semua pihak, paderi, sami ...gereja, jadi macam mana Pas nak tolak pertemuan dengan Umno?”


Memang logik soalan itu. Ini bermakna, peluang untuk Umno memutar belit dan membina gambaran dan wajah-wajah berhantu pembangkang lebih-lebih lagi Pas, juga semakin terbuka luas. Dan rasa curiga orang-orang bukan Melayu terhadap Pas tetap tidak mahu-mahu pergi.


“How do we know that we can trust Pas too?” Ya, betul fikir saya, soalan teman-teman seperti Phuah, Liew, Augustine dan Saw ‘Macam mana nak percayakan Pas?’ sememangnya cukup relevan. Dalam situasi begini, yang sentiasa untung tentulah dan adalah Umno.

Ini semua tidak saya ucapkan. Ia sekadar berlegar-legar dalam dalam cpu.


Mari kita balik ke soalan-soalan lain yang dikemukakan. Ya, sepanjang kira-kira empat jam bersamanya, pelbagai soalan telah saya kemukakan:


“Apakah bapak tidak mahu menulis memoir?”


“Apakah rakyat tidak boleh menegur Raja-Raja Melayu?”


“Apakah benar Shamsiah Fakeh itu bukan pejuang kemerdekaan?”


“Apakah peranan Ibrahim Fikri dalam mogok Utusan Melayu?”


“Betulkah arwah King Ghaz tidak ada dalam pesawat itu?”


“Apakah benar dia berminat mahu menjadi PM?”


“Abdullah Majid sudah tiada, ada pengalaman menarik dengannya?”


Alangkah seronoknya mendengar ulasan, kupasan, pandangan, pengamatan dan pengalaman langsungnya dalam meredah belentara sejarah bangsa kita. Saya tertanya-tanya apakah sekarang ini kita (negara ini) dapat secara berterusan melahirkan manusia-manusia penulis besar sepertinya? (Atau adakah kita, sekarang ini sekadar memiliki penulis dan sasterawan upahan semata-mata?). Mereka, para penulis generasi ini adalah manusia istimewa yang memiliki begitu banyak pengalaman, ilmu dan pengetahuan.


Dan semasa memandu pulang, saya masih teringat terjahan soalan dan juga maklumat yang telah dilontarnya:


“Ke manakah perginya (menghilangnya) Dato Onn selama 7 jam, sebelum dia muncul dalam rapat raksasa rakyat yang mahu membuang Sultan yang bersetuju dengan British?”


“Arwah Tun Dar. Ismail adalah salah seorang Melayu yang menyertai Hisbul Muslimin”


“Saya bercadang meminta Azizi menulis kata penghantar memoir itu...”


“Tahukah sebabnya mengapa British betul-betul mahukan Umno berkuasa dan bukannya Pas?”


Alangkah menusuknya doa Sdr Azizi dalam Siasah(?) tempoh hari itu:


“Subky, janganlah kau mati dulu”




1 comment:

Anonymous said...

Barajiwa
Selalulah jumpa dan berbual dengan Subki.
Dia khazanah ilmu politik sebenarnya. Kewartawanannyalah yang menjadi dia begitu.
Salam
azizi hj abdullah