Saturday, February 6, 2010

Teks moderator dalam sesi ‘Apresiasi Novel Dunia’: “Dr. Zhivago” karya Boris Pasternak.


Sebelum kita jemput Pak Samad ke rostrum, marilah kita teliti mutiara kata yang pernah diucapkan oleh sasterawan kita:


Usman Awang dalam tulisannya berjudul “Pengertian bakat, ilham dan tugas sasterawan” Utusan Zaman, 21 Mac 1954 yang kemudiannya dimuat dalam “Esei Sastera Asas 50” (Peny. A.M. Thani, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981), menyatakan:


“Kalau sasterawan itu ada dalam masyarakat yang pincang, maka di antara pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai lainnya, sasterawan juga mempunyai tugas yang besar. Dia seharusnya ― melalui karangan-karangannya ― dapat menyatakan tentang kepincangan itu dan mendidik rakyat menginsafi kepincangan masyarakat itu agar mereka berjuang ke arah kebaikan.”


“Kalau sasterawan itu ada di sebuah negeri yang masih dijajah, yang rakyatnya mempunyai cita-cita untuk mencapai kemerdekaan, maka sasterawan itu, selain dari para pemipin, harus berada di tengah-tengah rakyat dan memperjuangkan cita-cita itu dengan menambahkan kesedaran dan keinsafan rakyat”


Bukankah kata-kata yang lahir kira-kira setengah abad yang lalu, masih lagi relevan dan ― mencabar sehingga ke saat ini? Ya, tentunya paling mencabar mereka ― yang mahu mengaitkan dirinya sebagai sasterawan.


Bagi kita dalam Paksi, Seniman Paksi Rakyat, pernyataan ‘kalaunya’ Usman Awang seperti di atas, perlulah diterjemahkan menjadi tindakan. Atau dalam bahasa personifikasinya Pak Samad, “sastera boleh bersuara dan bertindak serentak di luar buku”. (Esei “Menanti Aksi dari Seniwan” dalam ‘himpunan esei Budayawan Bertindak’, insyallah akan menemui pembaca pada 7 Mac 2010, iaitu bersempena ulang tahun gerakan rakyat dalam GMP, Gerakan Memansuhkan PPSMI).


Nah, syukur berkat bantuan pelbagai pihak, maka hari ini kita bermula dengan program ‘Apresiasi Novel Dunia’: “Dr. Zhivago” karya Boris Pasternak oleh Sasterawan Negara A. samad Said.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Izinkan saya kutip dan taburkan pengamatan-pengamatan Pak Samad dalam beberapa tulisannya:


Pertama, marilah kita kembali kepada esei “Menanti Aksi Dari Seniwan”. Di sana Pak Samad menulis begini. (Saya mohon maaf kepada Pak Samad kerana mengadakan semacam ‘sneak preview’ esei Bapak itu):


“Perkembangan baru politik, ekonomi dan sosial merangsang malah memaksa saya untuk melihat sastera hanya sebagai khazanah yang diam. Sastera boleh bersuara dan bertindak serentak di luar buku. Paling menonjol akhir-akhir ini ialah revitalisasi peranan Dinsman melalui karyanya—teks drama terbukti bukan teks diam. Terbukti pada Dinsman bahawa seni kata wajar diperkaya dengan seni tindak. Kerana itu, Dinsman tampaknya tidak lagi terlalu mempercayai karya seni yang diam. Teks drama perlu keluar ke tengah pentas. Dan pentas tidak semestinya pentas konvensional. Setiap ruang—termasuk di dalam masjid dan di tengah gelanggang sukan—adalah pentas. Dan khalayak umum kini sebenarnya mula lebih menatap—malah mempercayai—gerak yang terangkat daripada kerdipan khazanah. Yang bergerak itulah yang selalunya diterima berlaku, sementara yang terkhazanah itu masih lagi “tidak hadir” selagi ditemui dan dihidupkan melalui tindakan. Makanya, Dinsman—melalui semangat Budayawan Bertindak—“hadir” di tengah khalayak mengisi pentas bagi mereka yang bakal “Menunggu Kata Dari Tuhan”—sebuah kisah dosa sesalan sekelompok pejuang yang tidak lanjut menyertai perjuangan murni ummahnya.”


Bayangkanlah betapa terujanya kami dalam PAKSI dan teman-teman seniwan lain dengan pernyataan seperti di atas. Sesungguhnya sejak hari bersejarah 7 Mac 2009 itu, PAKSI berpendapat komitmen dan kesungguhan Pak Samad untuk menghadirkan sastera di atas pentas masyarakat, dalam kalangan masyarakat, cukup nyata dan jelas. Dinsman dalam kolumnnya Wacana Budaya, WB berkali-kali menyorot aspek-aspek ini.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Kalau kita kembali ke tajuk yang lebih khusus untuk pagi yang bersejarah ini, kita temui tulisan begini dalam “Dari Salina ke Langit Petang”, (A. Samad Said, Wira Bukit 2008).


“Biasanya seseorang penulis membaca mengikut moodnya. Saya pernah begitu. Ada yang membaca mengikut ‘bahan’ yang diminatinya. Ada yang memilih menurut reviu yang dibacanya (mungkin secara tidak sengaja).


Setahun dua dulu dunia sastera begitu ‘kegilaan’ (craze) dengan kisah-kisah James Bond ― Ian Fleming dikenali umum. Memang benar ini bukan satu hasil sastera, tapi setiap penulis perlu merasa sama ‘keharuan’ pembaca umum. Saya teliti The Man with the Golden Gun dan The Goldfinger.


Sekarang saya hanya memilih buku-buku yang telah diuji nilai sasteranya, teruji keuniversalan tema dan semangatnya. The Leopard, Dr. Zhivago dan The First Circle adalah tiga buah karya sastera yang saya baca berulang-ulang setiap tahun. Kita tidak semata-mata melihat atau mengikuti cerita di dalamnya; kita mengalami kehidupan”...


Biasanya, dalam sesi ‘ilmiah’ begini kita sering melihat moderator membaca biodata dengan segala khazanah pengalaman, pangkat, anugerah dan gelaran yang telah terkalung pada sosok pembentang kita. Namun saya cukup terharu, sungguh-sungguh terharu dengan biodata ini, juga saya petik dari esei “Menanti Aksi Dari Seniwan” di atas. Pak Samad membandingkan dirinya:


“KETIKA ini usia saya menjelang 75 tahun; Dr. Anwar Ridhwan kini dalam usia 60-an—berjarak usia hanya 15 tahun. Latar asas pendidikan dan pembenihan sastera kami juga berbeda. Saya kira tepat untuk mengatakan bahawa Anwar seorang intelektuil yang lebih terasuh (berpuncak dengan gelaran Dr. tulen, sementara saya berpuncak dengan gelaran “Dr” kurang tulen). Sebenarnya saya meranum secara “streetwise”—hanya sempat menyaring kebijaksanaan daripada kerdip kearifan pengalaman melalui lorong-lorong kehidupan yang terkadang sangat bergelora (contohnya masa perang dan masa rusuhan) dan jarang sedikit damai (seperti sekarang ini)...”


Seorang pendekar sastera yang meranum ‘streetwise”. Sungguh luar biasa!

Dalam pidato penerimaan Anugerah Sasterawan Negara, di Dewan Besar, UPM, 25 Feb 1986 yang berjudul “ Menulis itu Resah yang Bahagia, Duka yang Indah” (dalam Sastera dan Kemanusiaan: Pidato umum dam pidato penerimaan Sasterawan Negara: 1981-1996, DBP, 1997)


Pak Samad, tentang sastera, berkata begini:


“Memang sastera tidak boleh mendadak memberi beras, tetapi tanpa mendampinginya, nasi yang dikunyah tidak pula dapat terisi khasiat bagi kewarasan dan kesegaran minda manusia. Pada dasarnya sastera menemukan moral yang jujur, subur; yang palsu, lesu. Dan sastera sentiasa mendaki puncak. Dan puncaknya, sastera mencapai kepada martabat seni sesyahdunya dan seni ialah keindahan, hati nurani, keadilan, ketakwaan. Seni juga ialah kewarasan, kebijaksanaan, dan tazkirah. Atau setidak-tidaknya, seni ialah satu janji bahagia yang jasmaniah wajahnya, dan rohaniah hatinya. Segala-gala ini ialah baja bagi minda dan nurani manusia.”

Dan dalam ucapan itu juga Pak Samad menyebut:

“Seorang ilmuan yang progresif menganjurkan ditulis history of society, bukan history of important people. Emphasis lama itu salah, katanya. Sejarah bukan himpunan benda-benda besar melulu...”

Ini satu lagi pengamatan yang cukup besar maknanya, untuk kita teliti berasama....Lihatlah saja tragedi apa, dan bagaimana ia telah menimpa kita, sebagai satu bangsa. Apakah kita masih belum serik-serik dalam mengagung-agungkan important people?!


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Kita mungkin tidak boleh berhenti, jika kita kutip, kutip dan terus meneliti segala yang pernah ditulis oleh Pak Samad sehingga ini. Telalu banyak yang boleh kita renungi, pelajari dan amati. Makanya anak-anak muda yang mahu mendakap sastera secara “bersungguh-sungguh” mestilah mengkaji ketekunan dan ‘kedisiplinan’nya sasterawan besar yang namanya Pak Samad.

Dan pada hari yang bertuah ini, kita berpeluang melihat satu lagi kerja sastera yang sering dilakukannya selama ini, setiap tahun.


Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Semuga usaha kecil kita, berpaksikan pencarian keredhaan sejati Maha Pencipta itu, benar-benar dapat berterusan. Dalam konteks ini, kita wajar sentiasa ingat dan mengambil ikhtibar akan kisah burung kecil seperti yang diceritakan dalam kisah Nabi Ibrahim As...SubhanAllah...


Pak Samad yang dikasihi, dengan segala hormatnya, dipersilakan...



Kassim Muhamad.

No comments: