Saturday, March 27, 2010

Pengaruh pemerintahan yang berbeza

I)

Cuti dua hari seminggu


“Beruntunglah mereka kerana mendapat cuti dua hari seminggu. Hari Sabtu atau Ahad boleh ke pasar membeli belah barang-barang keperluan dapur. Masa bersama keluarga jauh lebih panjang. Kita dulu kena rengkuh buat semua kerja dalam masa sehari!” Begitulah pandangan seorang kawan yang telah bersara.


Tentunya kita juga masih ingat bagaimana Umno/BN begitu bersusah payah sekali mencari jalan keluar menyelesaikan kemelut dan masalahnya apabila Tuan Guru Nik Aziz, TGNA melaksanakan cuti dua hari seminggu di Kelantan. Nak buat sepertimana yang dibuat oleh TGNA, nanti bimbang dituduh meniru. Tapi kalau tidak dibuat, ternyata lagi banyak masalahnya.


Negeri Kedah yang ketika itu masih di bawah BN/Umno juga haru biru jadinya. Masalahnya semakin kacau apabila Abdul Hamid Pawanteh di Perlis menukar cuti mingguan dari hari Jumaat ke hari Ahad.


‘Allah’ mengganti ‘Tuhan’


Maka minggu lalu apabila Presiden Pas, Hadi Awang menyeru di Parlimen supaya ‘Tuhan’ dalam Rukun Negara menjadi ‘Allah’, sakitnya ulu hati Umno bolehlah kita bayangkan. Sudahlah perangkap ‘Allah’ tidak menjadi, Presiden Pas ini telah bergerak selangkah ke depan dengan cadangan terbaru ini.


Ya, kenapa tidak? Bukankah orang yang berTuhan dan takut akan Tuhan itu, jauh lebih baik daripada gerombolan setan gundul yang berkeliaran?


II)


Dua kisah benar di atas membuktikan hakikat bagaimana pembangkang yang bertanggungjawab mampu membawa idea-idea pemerintahan yang lebih progresif ― gaya pemerintahan yang amat baik untuk rakyat jelata semua.


Dalam konteks ini, apakah masih ramai rakyat jelata negara ini, khususnya orang-orang Melayu yang begitu yakin bahawa pemerintahan (baca:pembohongan) ala ketuanan bermusim para pemimpin mereka adalah contoh pemerintahan yang terbaik? Terbaik dahulu, terbaik sekarang dan terbaik pada masa depan agar ia dapat dinikmati oleh cucu cicit kita kelak. Terbaik untuk kita ― tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit dan asal usulnya.


“Bersekutu Bertambah Mutu” mendahului “1Malaysia”


Percayalah jika terus dibiarkan, segala kerosakan yang kita alami tidak akan terhenti di sini saja. Masih ingat lagikah kita dengan kata-kata hikmat milik negara kita, “Bersekutu Bertambah Mutu” itu? Ya, kalaulah mereka, (para pemimpin ini) sejak dulu lagi ikhlas, kita tidak perlu kitar semula 1Malaysia. Semuanya telah diletak asasnya oleh mereka yang terdahulu.


Pemimpin air bah


Malangnya, pemimpin seolah-olah air bah mestilah mampu menunjukkan pantai yang telah berubah. Maka air bah itulah agaknya yang menghanyutkan ketul-ketul Hadhari, BCA dan mutakhir, 1Malaysia.


Benarlah, rakyat jelata negara ini memerlukan contoh kepimpinan yang sedikit berbeza. Apakah orang-orang Melayu masih belum yakin dengan contoh-contoh kepimpinan yang ternyata berbeza itu?



No comments: