Tuesday, March 23, 2010

Politik dan dilema seniman dalam berkarya


Dinsman (Artikel 150, 22/3)


Politik dan dilema seniman dalam berkarya



Keluaran lalu tidak ada Wacana Budaya. Saya beritahu Ketua Pengarang, “Malam ini tak dapat tulis WB. Minta maaf. Kepala bengong sikit…”


Ya, ada perkara yang agak membengongkan kepala beberapa hari lalu. Ada keputusan yang perlu dibuat agak bercanggah sedikit dengan naluri kesenimanan. Ada tawaran yang menawarkan pelbagai kemudahan untuk berkarya, tetapi terdapat pertimbangan lain yang kurang selesa dengan tawaran tersebut, walaupun datangnya daripada seorang sahabat yang keikhlasannya tidak saya ragukan sama sekali. Saya sangat hargai keikhlasan dan kebebasan keintelektualannya. Malah keberanian akademik dan intelektualnya itulah yang melahirkan tawaran tersebut. Memang saya tidak ragui.


Tetapi di negara Malaysia kita hari ini, sejak beberapa tahun lalu, telah terjadi pelbagai kekeliruan dan kecelaruan, yang telah memporak-perandakan banyak perkara dan juga institusi. Hinggakan hal-hal keilmuan dan kesenimanan yang sepatutnya dihormati keunggulannya pun turut dicampuri urusan dan kepentingan politik pihak tertentu. Hingga dunia ilmu dan akademik pun hilang kebebasan dan keunggulannya. Dunia seni dan kesenimanan pun hilang kebebasan dan keunggulannya.



Memang sangat memilukan, apabila pertimbangan seni dan kesenimanan serta keilmuan terpaksa tunduk mengalah kepada pertimbangan politik kepartian, disebabkan kekeliruan dan kecelaruan yang telah merebak luas menyerap ke dalam pelbagai ruang dan sudut kehidupan kita. Itu belum lagi menyebut soal kehakiman, keadilan dan penguatkuasaan. Masya Allah! Betapa rosaknya sistem nilai dalam kehidupan kita hari ini.



Sekali pandang, bagi mereka yang enggan terlibat dan enggan mempedulikan politik, ia mungkin tidak kelihatan. Maka tidak hairanlah ada kawan-kawan yang tidak faham. Lalu mereka mempertikaikan hujah kebebasan kesenimanan yang saya timbulkan, dengan menegaskan bahawa tawaran itu tidak mengandungi syarat kawalan dan tapisan pun. Malah ada yang menempelak dengan mengatakan sayalah yang tidak bebas untuk menerima tawaran tersebut.



Memang perkara ini pun agak rumit sebenarnya, kerana ia dibaluti dengan pembalut politik yang begitu halus dan sofistikated. Banyak orang tidak menyedari pun kewujudannya. Dan ironisnya, ia terjadi sampai kepada masyarakat ilmuan, cendekiawan dan orang-orang terpelajar di kampus-kampus pengajian tinggi kita.



Saya sendiri pun mendapatinya tersangat sukar untuk menjelaskan kepada kawan-kawan. Maka akhirnya kebengongan sementara itu saya bawa beristikharah, dan timbullah fikiran yang cenderong untuk melepaskan peluang-peluang yang walaupun sangat saya idam-idamkan itu. (Bertahun-tahun ingin mementaskan ‘Teater Nabi Yusuf’; dan bertahun-tahun juga ingin menyiapkan kajian mengenai kehidupan Imam Ghazali untuk menghasilkan dokumentari, skrip filem dan teater ‘Al-Ghazali Pencari Hakiki’!)



Saya tahu, kawan yang memahami gelodak jiwa seni saya itu dan mahu membantu supaya impian menjadi kenyataan, tentu akan kecewa dengan keputusan menolak tawaran dari institusi akademik yang dipimpinnya. Dan memang memilukan, apabila terpaksa mengecewa-kan seorang sahabat yang ingin membantu, dan setelah berbincang mengenainya agak lama. Tetapi – demikianlah situasi kita.



Satu situasi yang sangat tidak okey. Apabila para ilmuan dan cendekiawan kita memilih untuk tidak mahu menegur pihak penguasa walaupun kemungkaran dan penyelewengan mereka sudah begitu berleluasa hingga memporak-perandakan sistem nilai masyarakat. Juga apabila mereka tidak mahu membantah pihak politik penguasa walaupun kebebasan dan keunggulan institusi akademik telah dicerobohi dengan pelbagai kawalan dan arahan bersifat politik.



Manakala di pihak yang lain, yang ideologi politiknya agak selari pula, saya dan kawan-kawan seniman bertungkus-lumus berusaha memahamkan mereka terhadap keperluan seni ini, namun dua tahun berlalu, terlalu sedikit yang boleh dibuat. Ini tentu lebih memilukan!

Negeri Selangor misalnya, dengan kedudukan kewangannya yang lebih baik daripada negeri-negeri lain, apabila bercakap soal kesenian khususnya teater, mengapa harus bercakap seolah-olah Selangor adalah negeri yang paling miskin di Malaysia? Retoriknya Pakatan Rakyat memberi alternatif yang lebih baik dalam semua bidang, tetapi realitinya di bidang kesenian para aktivisnya seperti tidak dihargai dan tidak difahami, (kecuali dalam beberapa kes kecil).



Demikianlah tragisnya situasi seni bagi seniman yang sedar dan ingin berjuang untuk melihat kebenaran dan keadilan berada pada tempatnya yang wajar dalam masyarakat dan ummah-nya. Di kiri duri di kanan pun duri, pastinya tercalar dan lukalah mereka apabila bergerak. Tetapi apakah lagi pilihan yang ada?



Memang ironis sungguh! Saya selalu bercakap mengenai Keazaman Budaya atau Cultural Will yang patut dibina untuk berdiri bersama-sama dengan Keazaman Politik (Political Will). Rupa-rupanya ia tidaklah mudah untuk dibina. Apabila menyentuh soal kewangan nampaknya agak sukar untuk kita bertahan dengan Keazaman Budaya bagi mencapai maksud kita itu. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna kita harus mengalah dan berserah kepada kuasa politik sahaja.



Misalnya, apabila seorang Perdana Menteri mencipta sebuah ‘slogan’ atau konsep pimpinannya seperti “Islam Hadhari”, maka para ilmuan dan ahli akademik kita pun sibuklah menganjurkan seminar dan sebagainya, membincangkan ‘slogan’ politik itu dari sudut ilmu dan akademik. Saya tidak pasti apakah ada ditubuhkan Jabatan atau Institut Islam Hadhari di mana-mana universiti kita.



Dan sekarang setelah Perdana Menteri itu diundurkan, konsep ilmu ‘Islam Hadhari’ itupun entah ke manalah hilangnya. Tiada siapa pun hendak menyebut-nyebutnya lagi, kerana mereka kini mulai sibuk pula menyebut “Satu Malaysia”. Hanya ‘Institut Pemikiran Dr Mahathir’ yang diwujudkan di sebuah universiti itu (entah atas kewajaran apa) masih lagi mempertahankan kewujudannya.



Demikianlah, memang agak sukar untuk memahami situasi yang saya katakan sangat tidak okey ini. Apatah lagi apabila ia harus dilihat dalam gandingannya dengan peluang untuk berkreativiti, dan dengan pernyataan kesenimanan. Tidak hairanlah kalau saya pun boleh kebengongan sekejap, ya!



Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)