Saturday, March 20, 2010

Sasterawan atau pe...?





“...bahawa seni kata wajar diperkaya dengan seni tindak”


“Perkembangan terbaru politik, ekonomi dan sosial merangsang malah memaksa saya untuk melihat sastera hanya sebagai khazanah yang diam. Sastera boleh bersuara dan bertindak serentak di luar buku. Paling menonjol akhir-akhir ini ialah revitalisasi peranan Dinsman melalui karyanya ― teks drama terbukti bukan teks diam. Terbukti pada Dinsman bahawa seni kata wajar diperkaya dengan seni tindak. Kerana itu, Dinsman tampaknya tidak lagi terlalu mempercayai karya seni yang diam. Teks drama perlu keluar ke tengah pentas.”


A Samad Said dalam esei “ Menanti Aksi Dari Seniwan” dalam “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak – Menyokong Perjuangan A Samad Said” (Seniman Paksi Rakyat, 2010).



Dalam buku “Sikap dan Pemikiran Usman Awang” oleh Dinsman dan Sutung Umar Rs (Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1983), terdapat kisah ini, sebagai rekod:


“ Pengalaman itu dialaminya pada tahun 1948, berikutan dengan peristiwa Malayan Union dan perisytiharan Undang-Undang Darurat. Usman terlibat dalam peristiwa penangkapan beramai-ramai. Anggota polis dibahagikan kepada beberapa kelompok. Dengan dipimpin oleh orang-orang dari Cawangan Khas (Special Branch) mereka menaiki jip dan lori pada waktu dinihari menuju rumah ke rumah. Tangkapan demi tangkapan dilakukan. Kata Usman: “Saya tidak pernah tahu untuk apa mereka ditangkap. Mereka ini menurut hemat kami adalah orang yang baik-baik, guru, pekedai, pekerja ....Dan dari desas desus yang didengar maka sedikit demi sedikit saya mulai mengerti kaedaan politik, penangkapan, tindakan polis dan lain-lain lagi.”


Dalam Majalah “Off The Edge” Terbitan Mac 2010 di bawah tajuk kecil “History’s Turning Point” (halaman 53) terdapat rekod ini:


“You mention in your book Two Faces that you were induced by the Special Branch to implicate Mahathir.

At that time Ghazali Shafie was very ambitious to become deputy prime minister and he was very much closer to Hussein Onn...”


Untuk mengetahui latar belakang peristiwanya, sila dapatkan naskhah saudara secepat mungkin di kedai-kedai buku yang berdekatan.


Apakah kena mengena peristiwa ini dengan para sasterawan?


Sasterawan, sama seperti manusia profesional lain, ada harga dirinya atau mungkin juga lebih selesa untuk menggantungkan tanda harga itu di dahinya. Dia boleh didakap oleh sesiapa yang mampu memberikan habuan yang terbesar. Untuk upah yang setimpal itu, sasterawan sama seperti call girl, boleh saja melacuri ― jiwanya.

Para profesionl dalam pelbagai bidang dihormati kerana kesetiaan yang tidak pernah berbelah terhadap profesionnya. Tun Suffian dikenang kerana integritinya, bukan kerana sebab musabab yang lain. Bukan. Manusia sasterawan juga terus gagah perkasa sepanjang hayatnya kerana terus kekal sebagai sasterawan sejati ― manusia yang mempertahankan idealisme dan perjuangan.


Bagaimanakah tampang para sasterawan kita kini ― apakah mereka masih terus setia, sebagai sasterawan?





No comments: