Wednesday, March 17, 2010

Respons Lee Ban Chen terhadap e-mel terbuka Dinsman



Eratkan Hubungan yang Telah Dibina:
Menjawab emel terbuka Dinsman Lee Ban Chen


Saya tidak begitu setuju “Emel Terbuka untuk Sahabat-Sabahat Cina Budayawan Bertindak” Sdr. Dinsman selepas disampaikan kepada kawan dan sahabatnya yang berkaitan, disiarkan pula dalam Harakah (Bilangan 1521) yang tidak kena-mengena, namun demikian saya tetap menghargai sikap beliau yang berterus-terang.

Apa salah blurb di kulit belakang buku itu?

Oleh kerana yang timbulkan kontroversi ialah blurb di kulit belakang buku “Kumpulan Esei Budayawan Bertindak, Menyokong Perjuangan A Samad Said” yang disusun oleh Dinsman, Hasni Abas dan Kassim Muhamad, mungkin ada baiknya kita teliti dahulu blurb yang berkaitan, iaitu:

Apakah saudara sekalian percaya bahawa jika tiada gerakan menentang PPSMI itu, yang dilancarkan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), tidak mengadakan perarakan yang disertai oleh puluhan ribu dan ada yang mengatakan ratusan ribu jumlah pesertanya, PPSMI akan dimansuhkan? Ingat peristiwa dulu, setelah didesak oleh KPGMS dan setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, baru kerajaan bertindak melaksanakan dasar pro-Perlembagaan, pro-Akta Bahasa, dan pro-bahasa kebangsaan.

Kata Sdr. Dinsman dalam emel terbukanya, memang sepatutnya ada tanda kutip dan ada nama Datuk Hassan Ahmad di bawah teks itu, kerana ia diambil daripada esei Datuk Hassan.

Tambah beliau, seperti semua esei di dalam buku tersebut tidak semestinya mereka (penyusun) bersetuju dan bersependapat, begitu jugalah dengan esei Datuk Hassan dan petikan tersebut.

Tidak dapat dinafikan tanpa bubuh tanda kutip dan nama penulis esei memang suatu kesilapan teknikal yang boleh disalah mengertikan bahawa blurb itu merupakan rumusan daripada penyusun-penyusun sendiri.


Apresiasi atau keterlanjuran penyusun?


Memang benar penyusun-penyusun tidak semestinya bersetuju dan bersependapat dengan pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh semua esei dalam buku yang disusun mereka, tetapi rasa pelik juga jika penyusun-penyusun bisa menghighlightkan sesuatu yang mereka tidak setuju dalam blurb pada kulit buku.

Apatah lagi isi kandangan blurb terbabit padahal terus terang dan hanya boleh dimengertikan sebagai membawa makna positif: Pertama, tanpa perarakan puluhan ribu peserta, PPSMI mungkin tidak akan dimansuhkan. Kedua, tanpa desakan KPGMS dan berlakunya Peristiwa 13 Mei, kerajaan tidak akan melaksanakan dasar pro-perlembagaan, pro-Akta Bahasa, dan pro-bahasa kebangsaan.

Secara logik, Hasni tentu mengapresiasi teks terbabit barulah ianya dijadikan blurb di kulit belakang buku itu. Mungkin kerana menyedari “keterlanjuran” perbuatan beliau seperti anggapan Kassim selepas mendapat maklum balas daripada sahabat dan kawan, maka Hasni bertanya kepada Dinsman perlukah blurb terbabit dihitamkan. Perlu dijelaskan bahawa pihak kami tidak pernah membuat sebarang permintaan tentang blurb itu.


Dinsman kata tidak perlu dihitamkan, kerana walaupun keputusan itu dibuat oleh salah seorang penyusun, namun mereka bertiga tetap bertanggungjawab sepenuhnya dengan keputusan itu, dan beliau tidak nampak di mana salahnya teks itu hingga boleh mendorong sahabat dan kawan mengambil keputusan tidak mahu hadir ke acara pada 7 Mac lalu.

Kassim lebih empati dengan perasaan sahabat dan kawan

Banyak terima kasih kepada Kassim yang cuba menawarkan jawapannya kepada “mana salahnya teks itu hingga boleh mendorong sahabat dan kawan mengambil keputusan tidak mahu hadir ke acara pada 7 Mac” melalui “Respons terhadap emel terbuka Dinsman” dalam blognya (barajiwa.blogspot.com) pada 13 Mac, di mana beliau berhujah:


“Dalam konteks sejarah negara kita, tragedi nasional, 13 Mei 1969 kerap diulang-ulang oleh sesetengah ahli politik setiap kali senjata ini ‘diperlukan’. Ramai, khususnya orang-orang Cina begitu marah apabila dan setiap kali tragedi ini diungkit-ungkit. Perbuatan menyebut-nyebut, apatah lagi dengan niat untuk mengancam dan menakut-nakutkan sebegini sangatlah tidak wajar, maka sudah semestinya tidak terlintas dalam kepala sesiapa saja – apatah lagi ( dan lebih-lebih lagi) yang namanya kawan dan sahabat. Itulah latar peristiwa kenapa kawan dan sahabat Cina Budayawan Bertindak memilih untuk tidak hadir pada 7 Mac 2010.”


Menurut tesis ‘coup d’etat’ atau rampasan kuasa yang telah dikemukakan oleh Dr. Kua Kia Soong dalam buku barunya yang bertajuk “May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969”, Peristiwa 13 Mei sebenarnya dirancang oleh golongan kapitalis negara/birokrat yang sedang muncul dengan sokongan pasukan bersenjata dan polis terhadap Tunku Abdul Rahman yang mewakili kepentingan aristokrat lama pada jangka masa terbabit.


Tesis ‘coup d’etat’ padahal bukan hujah yang baru, umpamanya Subky Latiff juga pernah mengemukakan tesis yang sama pada tahun 1977, yang berbeza hanya rumusan Dr Kua mungkin lebih kukuh kerana diasaskan kepada kajian terhadap dokumen-dokumen yang telah dideklasifikasikan dari Pejabat Rekod Awam di London.

Demorasi sudah mati di bawah pemerintahan Mageran


Maklumlah selepas rampasan kuasa, sistem demokrasi berparlimen telah ditamatkan, dan negara diperintah melalui kediktatoran Mageran (Majlis Gerakan Nasional) yang mempunyai kuasa mutlak di bawah keadaan darurat. Dengan kata lain, demokrasi di negara kita telah mati pada masa itu!

Dalam jangka masa pemerintahan Mageran yang dipimpin oleh Tun Razak dari 17 Mei 1969 hingga 20 Februari 1971, pelbagai agenda Melayu yang berat sebelah telah diperkenalkan, termasuk apa yang disebut oleh Datuk Hassan, iaitu: “setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, baru kerajaan bertindak melaksanakan dasar pro-Perlembagaan, pro-Akta Bahasa, dan pro-bahasa kebangsaan.”

Berhubung dengan Peristiwa 13 Mei, Dinsman demikian menamatkan emel terbukanya: “Namun apapun, yang berlaku telahpun berlaku. Tidak dapat diubah lagi. Samalah juga dengan Peristiwa 13 Mei itu. Ia telahpun berlaku, dan berlalu. Janganlah kita takut untuk mengakui sejarah itu. Hodoh atau cantik, sejarah adalah sejarah. Dan ia mengajar kita, apakah kita tidak mahu belajar daripada sejarah?”

Mungkin bukan takut untuk mengakui sejarah itu, tetapi sikap dan interpretasi yang berlainan, ada yang tak tahu hodoh atau cantiknya Peristiwa 13 Mei, ada yang tegas mengutuk kehodohannya, dan ada pula yang mati-matian mengagumi kecantikannya. Justeru, blurb yang dipertikaikan itu ada yang “tidak nampak di mana salahnya”, ada pula yang anggap sebagai “keterlanjuran”, dan ada pula yang langsung tidak dapat terima dari segi prinsip!

Peristiwa 13 Mei itu “blessing in disguise”?


Pendek kata, teks petikan mengenai Peristiwa 13 Mei itu mungkin dianggap sebagai “blessing in disguise” oleh setengah Nasionalis Melayu yang berfikiran sempit, namun ia sudah barang tentu dikesali oleh demokrat tulen tanpa mengira kaum, termasuk kawan dan sahabat Budayawan Bertindak yang mengambil keputusan tidak hadir ke acara 7 Mac lalu.


Kami mengambil keputusan tidak hadir untuk mengelakkan keadaan dilema: Jika hadir dan berdiam diri, mungkin disalahfahamkan sebagai menyokong suatu pendirian yang tidak dapat kami terima; jika mempertikaikan pendirian tersebut secara terbuka, kami anggap mungkin bukan masa dan tempatnya, seperti anggapan Dinsman bahawa bukan sekarang untuk membahaskan “kertas Cikgu Azmi yang kental dan keras Melayu dan Islam” itu.


Kami telah memberitahu Hasni dan Kassim tentang dilema kami tersebut dan rasanya mereka cukup faham dan simpati dengan kedudukan kami yang serba salah itu, dan tidak terus memujuk kami supaya hadir pada mesyuarat Budayawan Bertindak di sebelah petang hari itu.


Justeru, kami padahal tidak berniat hendak “tinggalkan kawan dan sahabat sendirian di tengah medan”, dan ia juga tidak akan “merosakkan hubungan yang kita telah bina dengan kejujuran dan keikhlasan itu” seperti yang dirunsingkan Dinsman.


Bagaimanapun, moga-moga Budayawan Bertindak yang lahir dalam Zaman Reformasi ini dapat beransur-ansur menjanakan anjakan paradigma, agar rujukan dan skop pandangan kita dapat diperluaskan kepada agenda rakyat pelbagai kaum dan nilai-nilai universal, tidak terbatas kepada agenda satu-satu kaum atau nilai-nilai satu-satu agama saja, serta terkongkong oleh warisan penjajah British dan dasar-dasar perkauman Umno/Barisan Nasional yang bertujuan untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat dan menindas golongan marhaen semua kaum buat selama-lamanya. (16/3/2010)





No comments: