Friday, April 9, 2010
Burung terbang dipipiskan lada
Kata seorang kawan yang belajar dan mengajar matematik, ilmu utama dalam kehidupan ini adalah matematik. Ini bermakna segala gerak kerja harian setiap manusia itu sentiasa berteraskan matematik. Contoh-contoh mudah yang kita amalkan setiap hari sememangnya banyak. Misalnya tatkala kita membeli belah di kedai runcit, kita berbelanja dengan menukar barang dan menyerahkan duit yang kita miliki. Proses membayar memerlukan ilmu kira mengira, asas penting ilmu matematik.
Ada satu lagi cabang ilmu matematik yang kerap kita gunakan dalam kehidupan ini, iaitu ilmu statistik yang antara lain meliputi tajuk kebangkalian, atau probability. Sebagai contoh, kalau kita melambung duit shiling dengan dua permukaaan yang berbeza yang lengkap dengan permukaan bunga dan kepalanya, (mengikut sesetengah istilah shiling yang adil/tidak bias), kebangkalian kita meneka dengan betul ialah setengah atau 50%.
Dalam pepatah Melayu ada bidalan yang berbunyi ‘burung terbang dipipiskan lada’. Ini juga melibatkan ilmu kebangkalian: Probability kita berjaya menangkap burung yang terbang itu. Kalaulah kita penembak yang jitu dan burung punai pula terbang berkumpulan, mungkin peluang kita membawa balik burung punai itu mungkin cukup besar. Mungkin. Tapi berapa besarkah peluang itu? Bagaimanakah dengan bentuk rumus yang menyatakan peluang kita mendapat seekor burung yang sedang terbang itu?
Apakah rumus mendapatkan burung terbang itu seperti ini:
F(x) = c1x + c2x3 + .... dengan c1 dan c2 sebagai angkali (constant)
Bolehkah sesiapa mencari dan membuktikan bahawa rumus umum untuk pengurusan ‘burung terbang dipipiskan lada’ ialah sekian atau sekian?
Bagaimana pula dengan rumus umum untuk urusan pawah memawah kambing, lembu dan kerbau yang kerap diamalkan dalam kalangan masyarakat Melayu?
Atau bagaimana pula dengan kaedah pengurusan pawah memawah buah-buahan yang diamalkan oleh orang-orang Melayu, adakah sesiapa yang dapat mencari rumus umumnya?
Kenapa agaknya sistem padi kunca itu dikatakan zalim dan ditegah dalam Islam? Bolehkah kita cari rumus umumnya?
Ilmu-ilmu asli seperti ini, ilmu yang lahir dari budaya sesuatu bangsa hanya akan menjadi ilmu yang berguna kepada sesuatu bangsa, jika ia ditulis dalam bahasa bangsa itu. Ia tidak menjadi ilmu bangsa itu sekiranya ilmu itu ditulis dalam bahasa asing.
Itulah sebabnya kenapa para pejuang GMP membantah keras PPSMI. Ia bukanlah sekadar isu menentang ajakan dan gesaan bersungguh-sungguh ‘belajar dalam bahasa Inggeris’ dengan memusnahkan bahasa ibunda. Ia jauh lebih besar dari itu. Katakan dengan tindakan pendek akal ini, satu hari nanti setelah satu abad berlalu bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa ilmu, apakah yang akan terjadi dengan segala macam ilmu dan pemikiran yang tertanam dalam budaya dan pemikiran bangsa Melayu sejak abad berabad itu?
Tidak yakin dengan ilmu yang terkumpul dalam budaya Melayu itu? Ini satu contoh. Sejarah telah membuktikan bahawa nenek moyang kita adalah pelayar-pelayar ulung. Untuk belayar meredah lautan, mereka perlukan kapal yang ampuh menyeberangi lautan. Ke mana perginya ilmu pembinaan kapal yang hebat-hebat ini?
Inilah satu contoh sisi perkasa nenek moyang kita yang tidak kita pedulikan. Dan sisi-sisi perkasa seperti ini semakin luput dari wajah bangsa kita kerana sikap dan perlakuan kita terhadap akar budaya kita. Oleh sebab itu, perlahan-lahan tapi pasti kita kian menjadi satu bangsa yang semakin tercabut akar budaya itu kerana perlakuan songsang kita sendiri. Dan contoh rogol budaya yang paling jelas ialah tindakan pemerintah terhadap bahasa kita: Bahasa kita telah diturunkan tarafnya agar cepat-cepat menjadi bahasa untuk sekadar mak cik pak cik membeli ikan di pasar saja.
Begitulah kehebatan para pemimpin kita!
Itulah sebabnya kenapa aktivis Budayawan Bertindak dan Paksi sentiasa saja menggesa anak-anak muda kita belajar memperkasakan diri dengan mencintai ilmu. Jika mereka mahasiswa, mereka kita gesa supaya betul-betul tekun belajar. Mereka belajar demi mengejar ilmunya dan bukan semata-mata kerana sekeping kertas yang kian hari kian hilang nilainya. Penyakit yang begitu cepat menular kini ialah orang kelihatannya lebih rela ‘tidak berilmu seperti sepatutnya’ asalkan mereka memiliki gelar-gelar yang berjela-jela.
Dalam konteks masyarakat umum, usahlah kita berfikir bahawa yang namanya gejala (sebenarnya penyakit) sosial yang besar lagi kronik sekarang ini hanyalah perbuatan bejat, pembuangan bayi. Salah satu penyakit sosial kita yang lebih besar impaknya ialah tingkah orang-orang bergelar yang tidak mencintai ilmu. Dan orang-orang ini adalah pemimpin dalam masyarakat kita. Apakah mereka mampu menjadi contoh yang baik sekiranya mereka memimpin pusat-pusat pengajian tinggi misalnya?
Atau apakah mereka sekadar menjadi pengampu yang setia kepada tuannya semata-mata kerana sikap bebal dan cintanya yang meluap-luap kepada laba dan benda?
Labels:
bahasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment