Friday, April 2, 2010

Cakap-cakap seni generasi baru

Dinsman (Artikel 153, 2/4)
“a.sid:pHO” dan cakap-cakap seni generasi baru

Saya sangat teruja apabila seorang pelajar tingkatan enam dari Jerantut, Pahang, hubungi saya melalui SMS bertanyakan buku ‘Kumpulan Esei Budayawan Bertindak’ (KEBB), sebaik saja kolum ini menyentuh mengenainya, sebelum ia dilancarkan pada 7 Mac. Dan dia terus meminta nombor akaun bank untuk dimasukkan RM40 sebagai bayaran buku dan tambah belanja pos RM10.

Teruja dengan semangatnya yang sedemikian ghairah hendak membaca, saya minta dia bayar harga buku sahaja RM30. Dan selepas menerima buku itu dia hubungi saya lagi beberapa kali, menyatakan pandangannya terhadap esei-esei yang dibacanya dalam buku itu. Syabas Syaifuddin – anak muda yang semoga suatu hari nanti akan menyebabkan ibubapanya berbangga kerananya, insya Allah!

Dan selepas itu saya menerima pula SMS daripada seorang yang mengenalkan diri sebagai penjual buku kecil-kecilan di Kota Bharu (KB), ingin mengambil sejumlah buku KEBB untuk dijual. Kebetulan saya pun akan ke KB, untuk urusan majalah Qiadah. Maka kami pun bertemu. Ada hal yang menarik juga dengan penjual buku kecil-kecilan ini.

Dia menunjukkan senarai sekitar 150 buah buku yang sedang dijualnya. Tidak ada buku politik popular, tidak ada novel popular, dan tentunyalah tidak ada buku-buku sensasi yang berbau seks, skandal dan sebagainya. Kebanyakannya adalah buku-buku serius, buku-buku intelektual, buku-buku karya generasi baru dan seumpamanya.

Saya pun memesan tiga buah buku: Kisah Saya Pejuang Islam oleh Ed Husain; Ibn ‘Arabi: Riwayat Hidup dan Perjalanan Seorang Sufi Agung oleh Claude Addas; dan Individualisme: Yang Hak dan Yang Batil oleh F.A.Hayek.

Bukan kerana tidak pernah melihat buku-buku itu di kedai buku, tapi kerana ingin menunjukkan sokongan kepada usahanya. Dan dia bukan sahaja menjual buku, tetapi dia juga boleh bercakap mengenai buku-buku yang dijualnya. Ertinya dia juga seorang yang minat membaca buku.

Ketika dia datang membawa buku-buku yang dipesan, dia menghadiahkan saya sebuah majalah bersaiz buku yang nampaknya seperti hasil fotostat, iaitu “a.sid:pHO, idea-idea penghakis pemikiran”, isu januari 2010, setebal 40 halaman, keluaran oxygenmedia.

Sangat menarik. Tak tahulah apa itu “a.sid:pHO”, dan pedulikanlah apa yang dimaksudkan dengan “idea-idea penghakis pemikiran”. Yang penting isinya sangat menarik. Walaupun saiz huruf-huruf tulisannya agak kecil, tak mengapa. Itu selera anak-anak mudah hari ini. Kawan saya komplen susah nak baca. Saya kata mata kita dah tua. Ia bukan untuk mata kita. Ia untuk mata generasi muda hari ini.

Di dalamnya ada interviu bersama kumpulan muzik Dum Dum Tak, yang menghasilkan album “Hentikan Penindasan”; ada beberapa tulisan mengenai sasterawan Indonesia, Seno Gumira Ajidarma, termasuk satu yang ditulis oleh Jimadie Shah, “Peranan Sasterawan dalam Reformasi”, dan satu oleh Annaliza Bakri, “Kesusasteraan: Antara Bentuk dan Makna”.

Juga ada tulisan Hasmi Hashim, “Media vs Kekuasaan”; tulisan Zulhabri Supian, “Dilema Perubahan di Malaysia”; tulisan Alina Abdullah, “Menjengah Penetrasi Teknologi dalam Seni Visual”; dan tulisan Mazir Ibrahim, “DNA Muzik”.

Ada dua tulisan reviu buku. Satu, buku Meor Yusuf Azidin, “Sembang Tepi Jalan” oleh Rahmat Haron, dan satu lagi buku Edward Said, “Representations of the Intellectual: The Reith Lectures” oleh Hafiz Hamzah. Ada juga reviu filem, oleh Faizal Mustaffa, “Karaoke: Estetikatik Kehijauan Kelapa Sawit”.

Selain itu ada cerpen pendek oleh Danielle Corleone; cerpen bersiri oleh Sufian Abas; dan coratcoret oleh Aria. Dan sajak pun ada.

Melihat saya membaca majalah a.sid itu, kawan saya bertanya, baguskah majalah tu? Bagus, jawab saya, terutamanya untuk anak-anak muda generasi baru. Ini satu hasil usaha yang baik, mengajak kawan-kawan berfikir, tentang kesenian, kebudayaan dan masyarakat. Satu usaha yang patut disokong dan digalakkan.

Anak muda seperti penjual buku kecil-kecilan di KB itu, yang juga seorang yang minat membaca buku-buku serius, juga mempunyai kelompok kawan-kawannya yang meminati sastera dan teater. Bercakap-cakap dengan anak-anak muda ini mengenai seni, sastera dan teater, saya mendapati sesuatu yang berbeza secara perbandingan dengan kawan-kawan yang sebaya saya di negeri yang berpemerintahan cara Islam itu.

Keghairahan mereka terhadap seni itu begitu terasa sekali. Terasa juga keberanian mereka dalam menyatakan pandangan dan pemikiran. Idealisme itu suatu hal, tetapi yang penting juga ialah semangat mereka untuk berkarya dan melaksanakan kerja-kerja seni dan budaya.

Tidak terasa wujudnya usaha untuk berselindung-selindung supaya tidak dikatakan yang dia cenderung kepada parti-parti politik tertentu, seperti yang dapat dikesan dalam cakap-cakap kebanyakan kawan-kawan yang sebaya saya. Hal ini sangat menarik bagi saya. Sesuai dengan semangat Kaab bin Malik dalam ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT).

Ya, barangkali keghairahan yang ditunjukkan oleh pelajar tingkatan enam di Jerantut, yang tanpa ragu-ragu terus memesan buku Kumpulan Esei Budayawaqn Bertindak itu, adalah suatu petanda yang menunjukkan wujudnya generasi baru yang secara serius menentang arus yang cuba dibawa oleh agen-agen kebudayaan jahiliyah yang dipelopori oleh pelbagai saluran televisyen kita dan juga tokoh-tokoh politik Umno/BN yang korup minda itu.

Nampaknya walaupun forum pemikiran yang cuba dibangkitkan oleh buku KEBB itu tidak sama dengan forum yang cuba dibangkitkan oleh majalah a.sid:pHO dan anak-anak muda generasi baru pendokongnya, namun saya perhatikan terdapat juga warna-warna yang sama di dalamnya. Barangkali para budayawan dan cendekiawan dalam kelompok Budayawan Bertindak pun perlu mengambil perhatian kepada kelompok generasi baru ini.

Dan anda yang berminat hendak membeli buku dengan peniaga buku kecil-kecilan tadi, dia juga memberikan khidmat pos, melalui laman blognya thekedaihitamputih.blogspot.com.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)


1 comment:

adreenazman said...

terima kasih abang kasim, insyallah kita mkn roti tempayan lagi