Saturday, April 3, 2010
Fenomena orang-orang besar berbicara hal kecil-kecil
Yang ditakrifkan sebagai orang-orang besar di sini ialah mereka yang memegang jawatan penting dan utama dalam pemerintahan, baik persekutuan maupun negeri. Ini bermakna Perdana Menteri dan seluruh kabinetnya adalah orang-orang besar negara ini. Di peringkat Negeri pula, para Menteri Besar dan bala tenteranya yang namanya EXCO itu adalah orang-orang besar negeri.
Namun begitu, yang namanya orang-orang besar bukanlah tertumpu kepada kumpulan yang memerintah negara atau negeri saja. Organisasi politik yng besar dan berpengaruh seperti PAS, PKR dan DAP juga memiliki orang-orang besarnya. Mereka diberikan perhatian, oleh itu menjadi harapan rakyat. Untuk yang beragama Islam, mereka juga menaruh harapan yang sangat tinggi terhadap para ulamaknya, mulai dari mursyidul amnya sehingga seluruh saf kepimpinannya yang lain.
Sebagai orang besar, pengaruh mereka sememangnya besar sekali. Satu ketika dulu, kita tentu ingat kata-kata pemerhati ekonomi bahawa apabila Daim Zainuddin bersin, Bursa Saham Kuala Lumpur juga turut akan terkena selesmanya! Begitulah besarnya pengaruh Menteri Kewangan itu.
Makanya janganlah iri hati jika kata-kata orang-orang besar itu selalu saja dipetik dan dijadikan kata-kata hikmat, panduan, azimat oleh segala macam orang, termasuk para penjahat. Dan kata-kata besar maknanya ini kadang-kadang menerjah keluar sempadan negara tempat ungkapan itu dituturkan kepada khalayak. Sebagai contoh, ucapan tersohor JF Kennedy bahawa "And so, my fellow Americans, ask not what your country can do for you; ask what you can do for your country" dipetik di mana-mana dan sepanjang masa.
Lalu apakah tujuan kita ― menyebut-nyebut semua ini?
Kita ingin mengajak para pemimpin, termasuk tanpa kecuali para pemimpin PAS supaya mulai bercakap, menulis, mengupas dan berbincang hal-hal yang lebih utama, yang lebih menyentuh realiti kehidupan sukar yang dihadapi oleh seluruh rakyat jelata sekalian, daripada menumpukan tulisannya kepada aspek-aspek tempelen. Maka oleh hal yang demikian, jika ada para pemimpin Pas yang menulis untuk akhbar misalnya, anggaplah bahawa mereka menujukan buah fikiran mereka itu kepada rakyat seluruh negara ini (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) dan bukannya mereka sedang berceramah di hadapan ahli jemaah surau Ulu Tembeling, misalnya.
Tidakkah tuan penat dan gusar jika ada orang besar-besar gemar sekali berbicara hal-hal yang kecil-kecil?
Labels:
pendapat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment