Wednesday, August 25, 2010

Sekolah PRU12

Pasca PRU12: Ke mana perginya gagasan satu negara satu bangsa?

Bahagian I: Ramuan perkauman setelah PRU12

Keputusan PRU12: Umno ditolak rakyat


Apa yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-12, (PRU12) kini menjadi sebahagian daripada sejarah negara yang tidak dapat dilupakan. Oleh para pemerhati politik, lembar-lembar sejarah itu dicatat dan digambarkan dalam pelbagai frasa@metafora menarik ― paling popular di antaranya ialah ‘tsunami PRU12’ atau ‘wajah politik baru’.

BN/Umno sebagai pemerintah mutlak sejak kemerdekaan kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan lima buah negeri, iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Selangor. Perak kemudiannya dirampas semula oleh BN/Umno dengan menggunakan kaedah yang sangat kontroversial, sarat intrig politik yang tidak menguntungkan sesiapa kecuali paparan wajah hodoh politik anarki. Sekali lagi demokrasi tewas dan diaibkan oleh kuasa yang dirasuk kemaruk.

PRU12 juga sedikit sebanyak mengingatkan kita bagaimana kuasa besar British diusir dari Persekutuan Tanah Melayu oleh Jepun dalam perang dunia kedua. Kesan psikologi kekalahan British ditangan Jepun itu cukup besar: Rakyat, lebih-lebih kumpulan kiri ketika itu, sedar bahawa British sebenarnya tidaklah invincible (kebal). Ini secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat ingin merdeka dari penjajahan British.

Pengajarannya?

Rakyat yang selama ini dambakan perubahan kian sedar bahawa BN/Umno juga boleh dikalahkan. Rakyat mahu merdeka memilih pemerintah yang jauh lebih baik: Telus, adil, tidak korup, prihatin. Pemerintah yang menghormati undang-undang dan peraturan yang dibuatnya sendiri.


Hakisan sokongan rakyat membimbangkan Umno


PRU12 dengan ketara menunjukkan bahawa orang-orang bukan Melayu telah lari daripada BN/Umno. Itulah keputusan rakyat dalam PRU itu. Bukan itu saja. Kehilangan besar sokongan rakyat, lebih-lebih lagi orang-orang Melayu sangat membimbangkan Umno ― sedangkan Umno sentiasa menghebahkan bahawa Umno itu tulang belakangnya pemerintahan.

Umno sebagai sebuah parti Melayu tentulah gerun melihat tapak asas sokongan iaitu orang Melayunya terhakis sedemikian rupa. Dan Umno tidak boleh kehilangan sokongan yang sedemikian. Kehilangan sokongan orang-orang Melayu kepada parti Melayu sekular ini tentulah begitu membimbangkan pemerintah.



Untuk Umno sejarah PRU12 tidak boleh berulang

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan sekiranya BN/Umno mahu terus menerus kekal sebagai pemerintah Malaysia. Semua pihak sedar akan senario ini. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan. Untuk memastikan ini tidak terjadi pelbagai kaedah, tipu muslihat, pencak dan silat politik mestilah dilaksanakan.


Kesepakatan intim Pakatan Rakyat tidak menguntungkan Umno. Pakatan yang sihat walafiat sangat bahaya untuk kelangsungan hidup BN/Umno.


PRU12 telah membuktikan bahawa rakyat berupaya bersatu padu walaupun berbeza ideologi.

Senarionya berbeza pada zaman dahulu kala, sangat berbeza. Pada ‘zaman dahulu kala’ musuh-musuh lama seperti Pas dan DAP yang pernah duduk semeja, ternyata begitu mudah sekali dicarik-carik, disiat-siat, diadudomba supaya cepat-cepat berantakan. Mereka yang pada mulanya, begitu berkobar-kobar mahu memberikan rakyat Malaysia pilihan ― sebuah pemerintah alternatif yang jauh lebih baik, ternyata kecewa dan sangat terkilan kerana Pas dan Dap, akhirnya bercerai berai dan membawa haluan masing-masing. Itu sejarahnya.



‘Gempar’ atau menakut-nakutkan rakyat sebagai taktik memecah belahkan pembangkang

Pada zaman dahulu kala juga, Umno/BN sentiasa berjaya― dengan begitu mudah sekali, memecah-belahkan parti pembangkang biar betapa berkobar-kobar sekali pun hasrat mereka mahu bergabung. Untuk berjaya (untuk memecah belahkan pembangkang) pelbagai taktik, teknik dan strategi yang mudah-mudah digunakan. Salah satu kaedahnya ialah meng‘gempar’ rakyat ― biar rakyat betul-betul takut.

Benar. ‘Gempar’ adalah salah satu daripada kaedah yang begitu digemari. Dengan terus-terusan menakut-nakutkan rakyat ― the constant reminder to the Malays that their destiny is always with Umno at the helm, and unless and until the Malays remember that ― perish they would ― maka rakyat terus tunduk dan patuh. Jadi tidak hairanlah kenapa senjata ini yang paling kerap digunakan. Dan pada zaman silam senjata ini ternyata berkesan sekali.


Axiom politik Umno: Melayu punah tanpa Umno


Bayangkanlah betapa maha gagahnya Umno itu sehingga oleh para pembesar Umno ini, telah lama wujud satu ‘axiom politik’ bahawa Umno ini adalah masa depan dan hidup matinya satu bangsa yang namanya Melayu. Entah kitab mana yang menjadi rujukan mereka sehinggakan inilah yang berulang-ulang kali mereka canang.

Bayangkan masa depan satu bangsa itu terletak di tangan sebuah parti politik. Bayangkanlah. Tidakkah ini satu pandangan@gagasan yang cukup hebat? Atau bukankah ini sekadar sembang-sembang politik bangsawan Umno yang telah lama mengelabui orang-orang Melayu? Ya, bangsawan yang sekian lama menguasai lalu memperalatkan Melayu.

Ya, kata mereka untuk melindungi Melayu dan untuk menyelamatkan orang-orang Melayu, Umno mestilah dikekalkan supaya terus memimpin. Malangnya unsur ‘gempar’ the (F) fear factor, ini ternyata masih cukup ampuh. Senjata ini boleh menusuk, boleh mencantas dan boleh juga memancung.


Negara Islam sebagai alat menggempur musuh


Lihatlah salah satu daripada sekian banyak contoh ‘gemparnya’. ‘Gempar’ yang sangat mudah dan sederhana: Jika pembangkang menang, Pas mahu mendirikan Negara Islam. Walaupun begitu ternyata ‘gempar’ ini berkesan. Cukup berkesan sekali. Dan ‘gempar’ ini asalnya ditujukan kepada orang-orang bukan Melayu.

Dalam konteks ini jangan lupa hakikat bahawa bukan semua orang-orang Melayu sepakat dengan idea negara Islam. Oleh sebab itu ‘gempar’ yang lebih khusus untuk orang-orang bukan Melayu, juga digeruni sesetengah orang-orang Melayu.

Ini bermakna ‘gempar’ negara Islam mampu menikam dan juga memancung. Bukankah ini hebat?

Jadi adakah kita terkejut jika rumus-rumus perpaduan zaman silam tidak pernah kekal? CCC adalah satu contoh.


(Bersambung...insyallah)


No comments: