Wednesday, September 8, 2010

titian

titian usia


di hujung sisa usia payah

dalam langkah lesu

berbalam citra sejarah:


pada:


sekolah melayu tengah bandar, masjid rahmaniah jirannya

dan deretan kabur segala nama: ismail, cikgu saad, ramli ramlan dua beradik,

bakar awang

kampung yang bertebaran bakar kapor, kg raja, sungai layar,

pengkalan lebai man, penghulu him

siapa dan di mana lagi?


post kastam adalah penunggu setia sungai jernih airnya

sesekali aku dan surendiran mencuri berenang

tatkala airnya penuh pasangnya

nonton ‘the good, the bad and the ugly’ panggung empire,

(‘koboi belemoih!’ komen isteriku pabila peristiwa silam kukisah semula).


pada ustaz darus. dimintanya tahun depan saja ku ngaji agama...

entah alasan apa, tak pernah kufahami.

selamat tinggal lima puluhan.


pada:


ibrahim primary school dan mr ghee sang guru besar. saban perhimpunan tak lupa berpesan:

jadilah kalian kereta api jagoan ― yakin diri dalam kehidupan: “I think I can, I think I can...” mrs aziz yang selalu jengkel, bajuku comot bermain kejar-kejaran , dua azizan; satunya guar cempedak, satu lagi kelahiran sungai petani.


pada:


sekalian rakan special malay biar kompeten telor inggerisnya, pada ilmu hisab dalam bahasa yang mulanya tak pernah kufaham... (jahanamlah kamu ppsmi)

pada:


ibrahim secondary school tatkala tingkatan satu kelasnya berjejer ― dari kelas a sehingga g. pertama kali bertemu ong ai bee, lim swee lian. amoi-amoi sekelas ayu cunnya bukan kepalang. pada semarak api di pinggir padang, pada timun sengkuang calit tempat berjajan.


pada mrs nayar guru ‘english’, dan kelab bahasnya, pada perputakaan tempat pertama kukenali betapa banyaknya buku, pada bulan bahasa dengan pesta pantun syairnya, pada vicky yang manis sekali...


langsai 13 mei lukanya tetap mendalam dan suhu sekolah masih terasa panas, ada guru matanya ganas. pada v. palanisami yang mahu kuketuk, memijak kasutku sehingga hodoh. pada kuil hindu batu dua, tempat aku dan palani belajar bersama...add maths dan segalanya.



tingkatan enam suhunya resah. zaman gelisah bercuaca redup, minda muda terasa tertutup

pergi sudah enam puluhan.


tujuh puluh aku ke jogja. memilih teknik sipil ugm bukannya sains tulen ukm. djetis, sentul 6, bulak sumur, alun-alun utara, malioboro, husin pawiro, siti zainon dan ismail di asri, jasmah, rohani, di doktor gigi. onn, daud teknik mesin, armia pula susul kemudian. malik bidangnya pasti. pada majid kedoktoran haiwan, pada ng ah kow ipoh mali. kawin juga cewek indon akhirnya tuan. pada robinson hutepia dari sumatera.


pada basuki wibowo, surnaryo, suparno, mas cung, didit asalnya arsitektur. pada ganes th dan komik silatnya. pada gembira loka, pak sunaryo dgn mekanika tekniknya, pak darusalan ketua bagian.


pada mbak tik dan suami mas har, adik-adik manis jalan ireda. masih di bayerkah mas kita. apa sudah kawinkah anak sulung mbak-mas berdua?


76 ke utm, dukanya bukan kepalang, 79 ke rumah jps. politik ras mula terasa. para jurutera rata-rata cina.

abu bakar yusof, halim jalil, awang kecik, hanafi, mohd ansor, adnan mohd nor, rafidah, arpiah, rahmat, zamali, abas noordin, phuah kim heng, saw hin seang, sardar ali. dan tentunya salmah zakaria. masakan kulupa peristiwa sergah menyergah pertama jumpa.


kerian-sungai manik, bagan serai, selinsing, kuala kurau, zainal abidin zain berhonda ke dalam tebuk. jalan ladang pembawa rahmat


iadp pulau pinang, balik pulau, karunanthi, kampung melayu balik pulau, salbi ranting dan zaman tegang yang tak pernah aman...


perlis dan realiti sebuah kehidupan, tragedi semangat dan kenyataan. timah tasoh, hamid pawanteh, abu bakar TA kanan, mat isa sabu exco pertanian. pisang, mempelam, taman teknologi dalam kenangan.

jps kedah jps muda...sejarah gemilang cerita yang panjang. mengejar kualiti memupuk setiakawan, ismail bpm, ghazali,


masakan kulupa katholieke leuven, camilo torres, frituur pak abu di pinggir dale...pada sekalian pelajar dari pelbagai penjuru alam. pada perit nilai biasiswa mahathir susutkan, tak ada lagi family allowance. perihnya bukan kepalang. suyitno, bedel, vilettta mina sicat, pathirana dari seri langka dalam lipatan. pertama kali kudengar bbc bahawa salleh abas telah dipccat. terpancung sudah rumah keadilan.


akhirnya ke ampang aku kembali juga, tempat bertemu hoh cheong seng, bersama tabarani bermain ping pong setiap hari, stesen khidmat pertama dan terakhir: akhir perjalanan sebuah kerjaya. pada john abraham, wahai dikaulah sasaran puji-umpatan.


hari ini, tatkala meniti hujung usia, entah wajah dan nama siapa yang masih terbaring dalam ingatan. sungai petani, jogja, kuala lumpur, bagan serai, perlis, leuven hanyalah sekadar nama. jiwa dan roh adalah sapaan segala insan ― tatkala meniti lorong-lorong kehidupan.


mana mungkin dimatikan insan yang pernah bersua, bergaul untuk berpisah lagi...hj ghazali, razak abdullah, razak kecik, ramli jaya, dinsman, kaab nurdin, hasni abas, razali, ustaz azizi, sutung, rahimidin, azlee lee, pak mat, bang lan, nur aziah, yuzman, augustine, akmar yang malu-malu nakal, chu adalah kisah kuala pahang dan batu batan dan para aktivis dan tampang budaya seniman dalam kehidupan. pada kalian kubelajar makna sastera dan perjuangan.


ppsmi, gmp, gmi, kami dan tentunya ... paksi. badan budaya tak lulus daftar. betapa takutnya pemerintah pada rakyatnya sendiri.


pada dinsman, qiadah. sabri yunus mkdt...pemuzik handalan kopratasa sani sudin tentunya

ppsmi dan penipuan total, peristiwa derhaka nyata durjananya...betapa begitu menyakitkan. saksi nyata sialnya sebuah pemerintahan.


ariff fahmi, anbakri, mat ali, saiful adalah orang-orang muda yang bakal memikul makna segala cabaran serambi mekah. tanah subur serendah sekebun bunga.


kelantan, qiadah, pulau melaka dan masjidnya, pada TG nik aziz dan pesan pitih akhiratnya. pada kerinduan alam ghaib yang ramai sekali tidak pernah pedulikan, pada kezuhudan yang menyentuh batin yang dalam.


pada ban chen, cikgu goh, yap dan dr toh. dengan llg kita bersama.

pada pak samad dikasihi tekad berani gagah contoh ikutan.

pada segala lorong sapa sebuah kehidupan: kumohon maaf.

pada yang mera’ikan sebuah lebaran,


tamat sudah denai ibadah.

bersisakah rezeki bersua kembali?


dirgahayulah ― sebuah kesementaraan.


wangsa maju

8 september 2010


No comments: