Wednesday, October 6, 2010

Dari Adam ke Kaab

Dari Adam ke Kaab: Kembara batin seorang seniman

I)

Dalam “Bukan Bunuh Diri” (Dinsman, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1979 halaman 84 dan 85), kita temui dialog begini:


“Tidak, tidak, tidak, tidak.  Kau hanya pandai bercakap. Tapi kau tak mengerti diri aku.

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Memang aku sendiri tak mengerti diriku.  Sebab itu aku mahu bunuh diri.  Tidak, tidak.  Bukan, bukan bunuh diri.  Aku bukan bunuh diri.  Aku, aku mau berjumpa dengan-Nya.  Aku mahu jumpa Tuhan.  Hanya Tuhan yang mengerti erti hidup ini.  Hanya Tuhan yang mengerti erti semuanya.

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)
    
Itu menurut kepercayaan kau. Dan kau tidak mempedulikan nasib sebahagian terbanyak manusia lain.

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Tuhan tidak sezalim itu.  Tuhan itu adil. Pengasih. Penyayang. Tuhan ciptakan semua ini kerana cinta.  Kerana dia sayang kepada semua.

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Tuhan yang ciptakan semuanya.  Kalau dia tidak cinta buat apa dia cipta?

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Ya, aku percaya Tuhan cintakan aku.  Aku percaya Tuhan cintakan kau juga.  Aku percaya Tuhan cintakan semua.

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Aku nak jumpa Tuhan.

(Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Untuk apa?! Kerana aku percaya hanya Tuhan yang mengerti semuanya.

 (Orang-Yang-Tidak-Kelihatan bercakap-tanpa-suara)

Inilah masalahnya.  Aku mahu pengertian.  Aku merasakan hidupku terlalu kosong.  Tak ada suatu pun yang bererti.  Untuk apa aku hidup kalau aku tidak mengerti untuk apa?”


II)


Dalam tahun 2009, Dinsman muncul dengan “Menunggu Kata Dari Tuhan” Teater dari Hadis Nabi, Teater Elit, Kuala Lumpur, 2009.   Dalamnya kita temui monolog ini:


KAAB:

...

“Aku tahu, bukan keputusan lambat diambil.  Allah telahpun menetapkan qadha dan qadar semua perkara.  Hanya waktunya belum tiba untukku.  Kiranya ini hukum Tuhan ke atas kelalaianku, aku percaya pasti ada hikmahnya, dan aku redha ya Allah.

Ya, Rahman ya Rahim ya Zal-Jalaali wal-Ikraam.  Sungguh aku menyesal ya Allah.  Aku menyesal kerana berlengah-lengah ketika orang sibuk bersiap, dan akhirnya aku tidak ikut bersama dengan mereka, keluar menghadapi musuhmu orang-orang Rom di Tabuk.  Aku menyesal ya Allah.  Ya, Ghaffar ya Latiff, ampunilah kelalaianku.  Ampunilah dosa-dosaku ya Allah.  Aku bertaubat kepada-Mu, Tuhan maha berkuasa.  Engkau pemilik segalanya.  Terimalah taubatku ya Allah.  Aku menyesal dan tak akan ku ulangi lagi kesalahan itu.  Ampunilah dosa-dosaku ya Allah... Aku redha dengan ujian-Mu ini.  Aku redha dan aku mengharapkan keampunan-Mu ya Allah, ya Latihiif, ya Ghaniy ya Hamiid, ya Jabbra ya Qadhhaar ya Tauwaab ya Allah...”


III)

Abdul Rahman Napiah dalam “ Drama Moden Malaysia – Perkembangan Dan Perubahan” Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987 (halaman 179-180) membuat ulasan begini:


“Pemikiran yang dikemukakan oleh “Bukan Bunuh Diri” ternyata bertentangan dengan visi Islam itu sendiri.  Malah dilihat dalam konteks peranan penulis Islam terhadap tanggungjawab kreativitinya ada beberapa hal yang tidak sesuai.  Unsur-unsur negatif yang dibawakan oleh drama ini boleh mengelirukan dan menyesatkan, 361 kesan yang ditinggalkannya boleh lebih meruntuhkan moral.  Memang benar sastera memerlukan keindahan dan kebebasan berkreatif, tetapi seharusnya menimbulkan kebenarannya, keindahannya yang sesuai dengan tempat dan peranannya, bukannya hanya terbawa-bawa oleh arus perasaan.362  Malah sebaiknya, permasalahan-permasalahan yang ditimbulkan oleh drama ini, seharusnya diselesaikan secara wajar dengan memberikan sedikit kenyataan bahawa apa yang dilakukan oleh watak Adam itu telah terpesong, berakhir dengan persoalan yang tidak mendapat jawapan. 363  Barangkali ini membayangkan masyarakat kita sudah demikian parahnya, sudah timbul problem kegagalan manusia mencari Tuhan atau masalah tidak percayakan Tuhan.364


IV)  Penutup


Saya bukanlah orang yang terdidik dalam ilmu sastera ― hanya sekadar seorang peminat sastera.  Dan tidak juga pula saya seorang yang bersekolah dalam bidang agama.  Ertinya saya adalah pembaca yang tidak terlatih dalam ilmu sastera maupun agama.

Walaupun demikian, apabila membaca kedua-dua teks Dinsman ini,  maka terdapat beberapa aspek@persoalan sastera dan agama yang timbul di dalam fikiran. Di antara soalan-soalannya ialah:

i) Dari sudut sastera dan segala teori yang berkaitan dengannya, apakah benar pengarang itu telah mati setelah teksnya sampai ke tangan pembacanya?  Ertinya sebagai penulis, sudah tidak ada lagi pertanggungjawaban pengarang dengan/terhadap teks tersebut.  Apakah kefahaman ini tepat?

ii) Katakanlah ada seorang pemuda (yang pendek akal dan terencat imannya) lalu memilih jalannya Adam, dari sudut agamanya ― apakah Dinsman sebagai pengarang turut bertanggungjawab di atas segala bencana yang timbul kerana meniru gayanya Adam.  (Dalam “Bukan Bunuh Diri” Adam tidak sempat...).

iii) Apakah teori sastera yang dapat dikaitkan dengan perjalanan@pengembaraan batinnya seorang Adam kepada seorang Kaab? Apakah teori Baratnya dan apakah wujud ‘padanannya’ teori sastera Islamnya?  Adakah Takmillah,  Shafie Abu Bakar mampu menghuraikan semua ini?

iv) Apakah agaknya ulasan Mana Sikana apabila membaca “Menunggu Kata Dari Tuhan”?  Apakah benar itu adalah manifestasi perjalanan batin seorang seniman?

Soalan terakhir yang tidak kurang pentingnya (mungkin)  ialah:

v) Apakah benar ilmu sastera itu sekadar ilmu ‘suka-suka bermain dengan kata-kata’?

Alangkah baiknya jika aspek-aspek seperti ini dikupas oleh para sasterawan dan juga agamawan kita.  Alangkah baiknya buat renungan kita bersama.


Wallahuaklam.     




__________________________________________________________________
361Malah  di Barat juga, unsur-unsur yang mempertikaikan keagamaan terutamanya karya sastera beraliran absurdisme yang rapat hubungannya dengan kepercayaan agama pernah dikatakan membawa keburukan.  Sebagai contoh karya Samuel Beckett “Waiting for Godot” sindiran kepada ketiadaan Tuhan itu boleh menyesatkan manusia.  Sila lihat, Charles I. Glickberg, The Literature of Nihilism, London:  Associated University Press, 1975.     





2 comments:

Anonymous said...

sdra barajiwa
teori adalah teori. ia bukan hukum. teori menyangkut dengan penghasilan itu, sedangkan hukum ia merata ke setiap perkara, termasuk dlm sastera kreatif.
pendapat mana sikana itu benar dari etika memelihara aqidah. saya sendiri tidak setuju penulis menulis watak mau bunuh diri hendak menemui tuhan. apakah tuhan boleh ditemui selepas mati? memang itu dailog watak yang jahil, tapi siapa yang mewujudkan watak dan dailog seperti itu.
pengarang sudah mati hanya saranan dari pengkeritik yang cuba hendak mengelak dari rasa segan, takut kepada penulis atau mereka ego kerana mau sebebas2nya hendak mengkritik.
saya pernah menulis cerpen begini, tapi tidak menemui tuhan tetapi menemui rasulullah kerana rasulullah sudah pun wafat, sedangkan tuhan tidak wafat.
kaab pada pendapat saya baik.
kaab lebih menonjol tentang kegelisahan jiwa dan dailog dari pengarang tidak dapat mengatasi kegelisahan pelakon. pelakon lebih berjaya dari pengarang tentang gambaran ini.
salam
-azizi abdullah

Anonymous said...

(II)
memang, jika pemuda terencat dan kurang daya fikir itu, jika ia terpengaruh kepada hasil karya itu, pengaranglh yg bertangguh jawab . orang berilmu bertanggung jawab kepada orang tidak berilmu.
kaab dengan adam berlainan watak yang dimuncul, tapi unsur kegelisahan jiwa ampir sama. kegelisahan kaab kerana hukuman dari rasulullah, sedangkan gelisah adam dari dinsman atau mungkin dari jiwa dinsman sendiri.