Friday, October 15, 2010

'The house that Mahathir built'

Projek apanamanya: Melahirkan para jutawan impian


Dalam tahun-tahun 80an dan 90an,  kita dapat menyaksikan bagaimana dua butir bintang cemerlang ― Tajuddin Ramli dan Halim Saad, dinobat khas oleh mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, diletak di pentas nasional untuk dijadikan contoh usahawan baru Melayu dengan budaya bisnes baru, katanya untuk menyaingi kaum Cina yang telahpun sekian lama menguasai ekonomi Malaysia.  Begitulah idea sebuah wawasan besar, seorang pemimpin besar pula.

Apakah tujuannya projek khas ini?  Katanya wawasan maha besarnya ialah untuk melahirkan 100 orang manusia Melayu dengan kekayaan yang luar biasa (the super-rich bumis).  Untuk apa diwujudkan mereka yang kaya raya ini?  Katanya orang-orang ini menjadi payung ― tempatnya segala orang-orang Melayu lain yang masih lemah menumpang berteduh.

Demikianlah ideanya, demikianlah caranya Melayu boleh dibantu.  Itulah idea besarnya ― Melayu menjadi gagah dan dihormati kerana mereka kaya raya.


ii.


Ada seorang lagi pemimpin,  yang oleh Umno/BN, sering dituduh kolot dan kampungan.  Mereka mentertawakan pemimpin ini dan menuduhnya mengabaikan pembangunan rakyatnya.    Pemimpin ini didera, dicemuh dan dianaktirikan semahu-mahunya.  Namun pemimpin terus menerus mengajak rakyatnya kenal apa itu dosa dan pahala dalam kehidupan ini. Diajaknya  rakyatnya patuhi perintah yang Maha Kuasa.

Pemimpin ini terus memberikan peringatan bahawa di akhirat kelak, manusia akan ditanya tanggungjawabnya tatkala di dunia ini.

Pemimpin yang tidak pernah ghairah menyeru rakyatnya cepat-cepatlah ‘menjadi kaya supaya dihormati’ ini ditertawakan oleh para pemimpin Umno kerana hidup sederhana walaupun sudah menjadi pemimpin utama negeri.      


iii.


Bandinglah stail kepimpinan yang takut kepada Allah ini dengan stail yang katanya begitu ghairah mahu memperkasakan Melayu.

Apakah orang-orang Melayu masih belum mampu melihat semua ini?

Untuk mengetahui kisah lanjut pemimpin besar dengan idea 100 orang Melayu yang kaya raya itu bacalah, “The house that Mahathir built” dalam Malaysiakini versi Inggeris, Oct 15, 10 7:18 am).  Bacalah legasi yang ditinggalkannya.

Lihatlah kehebatan orang ini, dan jangan pula lupa untuk membandingkannya dengan wawasan seorang lagi pemimpin yang sering mereka tuduh kolot dan kampungan itu.





  

No comments: