Sunday, October 17, 2010

PM mengajak pegawai kerajaan dan pesara bersama Umno


PM seolah-olah belum mengerti


Kalaulah benar perkataan Bernama bahawa Perdana Menteri Najib Tun Abdul Razak bingung, pelik (baffled) kenapa masih terdapat penjawat awam dan pesara Kerajaan (termasuk penulis sendiri) memilih untuk menyokong Pembangkang, maka jelaslah bahawa segala maklum balas yang terpampang di merata-rata media selama ini ― lebih-lebih lagi yang dilontar ke alam maya dan yang bukan milik Umno/BN, tidak pernah sampai ke pengetahuannya.   

Rupa-rupanya ada maklumat yang telah disorok dari pengetahuannya. 

Oleh sebab itu Perdana Menteri itu tidak sedar bahawa ada sebab-sebabnya yang cukup besar dan munasabah kenapa terdapat penjawat awam dan pesara,  tidak menyokong Kerajaan yang dikuasai Umno/BN.


II.  Membaca selapis makna pandangan Perdana Menteri   


Jika kita baca apa yang diungkapkan oleh Perdana Menteri itu, maka kita temui sudut-sudut pandangan seperti berikut:


Pertama: Umno itu kerajaan dan kerajaan adalah Umno. (Bermacam-macam aspek yang boleh dikupas, dibaca, diteliti, dihujah di sini).

Kedua: Pegawai kerajaan (sedia ada maupun mantan) tidak boleh memihak kepada pembangkang

Ketiga: Mereka (pegawai kerajaan) ini menentang kerana marahkan segelintir manusia, lalu  mereka memutuskan untuk menenggelamkan seluruh bahtera Umno.

Keempat:  Ketakutan Perdana Menteri ini kepada Anwar Ibrahim sangatlah besar.  Oleh kerana itu pegawai kerajaan yang sedia ada maupun yang mantan yang mengkritik Umno dilihat sebagai sekapal dengan Anwar Ibrahim yang didakwa-dicemburui-diperli-dicemuh oleh Najib Tun Razak dan juga mantan bosnya, Mahathir Mohamad sebagai manusia yang begitu sekali mengidam untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Kelima: Premis yang keempat itu membawa kita kepada satu lagi sudut pandangan Perdana Menteri Malaysia:  Bahawa pegawai kerajaan semestinyalah penyokong Umno/BN. 

Tidak ada yang namanya berpihak kepada kebenaran dan ketelusan ― tak ada pilihan ini.

(Masih ingat lagi ungkapan dan semboyan perangnya Bush yang tersohor itu, “either you are with us or with them”.  Kata sesetengah pemerhati,  ini semua adalah ikhtiar  Amerika untuk memadamkan pengaruh Islam dan gerakan merompak minyak Iraq(?)).

Keenam:  Pandangan Perdana Menteri ini menunjukkan bagaimana dan betapa teruknya terhakis hakikat dan kefahaman demokrasi ala Westminster itu dalam fikiran para pemimpin Umno.  Mereka telah nyata tercabut dan terasing akar,  falsafah dan semangat demokrasi yang dijanjikan semasa kita mahu merdeka. 

Keterasingan ini dapat dilihat dalam cara dan kaedah Umno mengurus pandangan yang berbeza. (Tun Salleh Abas adalah salah satu contoh).    

Ketujuh (yang tidak kurang pentingnya):  Yang tidak kurang pentingnya ialah kefahaman dan tanggapan Perdana Menteri itu dalam mengurus pandangan yang berbeza.  Kita dapat melihat contoh-contoh bagaiamana kefahaman Umno ini diterjemahkan ke dalam tindakan.

Dalam mengurus rakyat jelata misalnya, Umnolah dan hanya Umno yang tahu cara yang terbaik.  Umnolah yang menentukan bahawa ada universiti yang mesti dikhaskan khusus kepada Melayu  kerana itulah yang terbaik untuk Melayu dan masa depannya. 

Di samping itu, Melayu yang perlu ditolong itu juga ada kelas dan kategorinya.  Melayu yang ditadbir oleh Melayu yang bukan Umno tidak sepatutnya dibantu kerana mereka telah memilih untuk bersama-sama Tok-Tok Lebai.

Dalam sejarah Umno, apakah kita pernah melihat bahawa parti itu berminat untuk melihat jauh di luar kepompong kepentingan kuasa  yang dimilkinya?  

Umno, para pemimpinnya termasuk Najib Tun Razak tidak dapat melihat bahawa yang berbeza pandangan itu tidak semestinya auto-pilot menyokong Anwar Ibrahim.  Bukankah Anwar itu orang politik profesional yang pernah tidur, makan dan minum di dalam rumahnya Umno?


III.   Lapis-lapis makna lain


Rasanya, kita tidak perlulah membaca lapis-lapis makna yang dapat dirungkai dalam ucapan Perdana Menteri itu;  misalnya makna di sebalik tempik sorak hanya Umno yang menentukan hidup-matinya Melayu...

Kita telah terlalu penat bersilat kata, sudah melampaui had (batas/hududnya) setengah abad.


IV.  Harapan kepada para penulis dan budayawan


Itulah sebabnya kita sentiasa menyeru supaya para penulis kita segera kembali ke pangkal jalan.  Demi rakyat, berkata dan berlaku benarlah kepada diri sendiri.  Orang budaya mestilah kembali tegak dengan panji-panji kebenaran yang diperjuangkannya, bukan berlindung di sebalik ketiak hapak politik yang serba mungkin.

Adalah memalukan melihat aktivis budaya yang ke hulu ke hilir dalam semua agenda, katanya untuk Melayu ―ppsmi, Perkasa, budaya dan mantan Perdana Menteri. 


Dalam mengejar sesuap nasi itu, tidak adakah cara lain ―  yang lebih terhormat?





No comments: