Saturday, October 16, 2010

Kecemerlangan dan laluannya


I.  Pengalaman mempelajari sastera Melayu


“Saya mula mempelajari sastera Melayu lama semasa di bangku Sekolah Menengah Nan Hwa, di Kampong Koh, Setiawan, Perak bagi menduduki Peperiksaan MCE pada tahun 1965.  Untuk peperiksaan itu, saya telah membaca teks Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu, yang kini dianggap sebagai karya agung, dan juga Bunga Rampai Sastera Lama II (1962) yang mengandungi ringkasan tiga buah cerita hikayat: Hikayat Shah Kobat Lela Indera, Hikayat Keris Mengindera dan Hikayat Shamsul Anuar.  Buku lain yang wajib dibaca ialah Sejarah Kesusasteraan Melayu (jilid 1- 3), karangan A. Samad Ahmad, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (1963).”  Prakata: Halaman xxi.  


II.  Hukum alam menyatakan bahawa orang yang belajar dan mencintai ilmu itu lebih unggul

Pada halaman 293-294, kita temui:


Orang Melayu yang lahir, membesar dan hidup dalam masyarakat Melayu masa kini tidak semestinya lebih mengetahui bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan Melayu ratusan yang lalu, berbanding sarjana Barat yang telah mengkajinya dan mempelajarinya.  Selain itu, orang Melayu sendiri mungkin telah menjadi orang asing kepada budaya Melayu tradisional, lebih-lebih lagi sastera Melayu tradisional yang kuat dipengaruhi tradisi lisan.

Pada bahagian yang lain pula,  dinyatakan:

“Tetapi, atas keyakinan bahawa warisan budaya tradisional itu besar manfaatnya kepada generasi kini meneruskan hidup bangsa itu, maka usaha positif dan intensif harus dilakukan untuk meletakkan pengajian sastera tradisional dalam persepektif yang wajar.  Sehubungan itu, Muhammad Haji Salleh dan Harun Mat Piah telah memberikan cadangan mereka untuk membangkitkan minat orang ramai terhadapnya:

...”   Halaman 297.


III.  Institusi awam dan organisasi kita perlukan pemimpin yang menghormati dan mencintai ilmu (bukan pengampu yang tidak mencintai ilmu)


Untuk cemerlang dalam budaya Melayu, kita tidak semestinya seorang Melayu.  Institusi awam seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP tidak semestinya cemerlang kerana institusi bahasa itu dipimpin oleh seorang Melayu. 

Di samping itu, baca dan telitilah makna budaya Melayu yang unggul itu dalam teks-teks seperti ini.  Salah satu aspek penting yang kita semua fahami (tanpa membaca buku ini) ialah hakikat bahawa kita tidak perlukan NGO-NGO seperti Perkasa dan segala yang sebangsa dengannya untuk tujuan itu (untuk memperkasakan bangsa).

Kita ulangi - sama seperti bidang-bidang yang lain,  untuk cemerlang memang tidak ada jalan pintasnya, kecuali belajar dan terus belajar dan berusaha.  Ding unggul dalam bidang budaya Melayu kerana dia mencintai ilmu itu dan bukan kerana dia seorang Cina yang lahir di Setiawan.

Ini bermakna, tidak ada jalan pintas untuk menjadi jutawan.  Tidak ada rumus yang namanya melahirkan 100 orang Melayu yang kaya raya segera.  Itulah sebenarnya yang namanya mimpi itu.

Seruan-gesaan supaya para pemimpin hari ini menjadi telus dan beriman, bukanlah mimpi tapi tanggungjawab semua manusia, termasuk rakyat jelata yang melarat.


Sekali lagi, kita jelaskan bahawa manusia unggul kerana dia mencintai ilmu.  Kali ini,  ilmu yang diungguli itu adalah budaya Melayu walaupun yang mempelajari dan mendalaminya adalah seorang bukan Melayu.



__________________________________________________________
Ding Choo Ming. “Kajian Manuskrip Melayu: Masalah, Kritikan dan Cadangan” Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. 2003

Buku ini memenangi Hadiah Sastera Utusan, Kategori Kajian Sastera.






No comments: