Cerita seekor cak
raya super hero
Pengikhtirafan
ialah salah satu kaedah untuk menyatakan “syabas, terima kasih dan tahniah”
kerana jasa-jasa yang dikira sudah cukup besar yang pernah diberikan oleh
seseorang individu itu kepada masyarakatnya.
Ia kaedah pengurusan mana-mana organisasi yang prihatin terhadap kesejahteraan
segala manusia di bawah jagaannya. Yang
menganugerahkan pengiktirafan tentulah DIA yang berhak dan layak memberikan
pengiktirafan itu ― pengurusan tertinggi sesebuah masyarakat.
Aku ― seekor
cak raya, pekak dan buta sebelah mata ―
lahir dalam sebuah masyarakat cak raya pernah tinggal di pinggir sebuah kampung,
Pokok Buluh Pinggir Huma di pelosok sebuah negeri. Kampung kami cukup kaya dengan pokok-pokok
buluh dan padi huma. Harus diingat, bagi kami segala cak raya dalam mana-mana kampung
di alam ini, rumpun-rumpun buluh dan padi adalah segala-galanya. Pokok buluh menjadi tempat untuk beranak pinak,
membiak, berteduh dan bermastautin. Sementara
padi huma adalah sumber penting penerus hidup. Makanya siapa saja yang
menguasai rumpun-rumpun buluh dan segala padi huma, dialah Tuan Gede (‘gede’
itu ‘besar’ untuk orang-orang Jawa) Kampung.
Kami, masyarakat
cak raya rumpun buluh pinggir huma, juga memiliki tingkat-tingkat dan susun
lapis nilai pengiktirafan dan darjah kebesarannya. Aku tidak pernah tahu menahu bahwa semua ini
wujud dan cukup bermakna dalam kehidupan segala cak raya sehinggalah meletusnya
satu peristiwa. Bila difikir-fikirkan
semula apakah yang lebih bermakna dalam kehidupan seekor cak raya yang hodoh, pekak
dan buta pula sebelah mata sepertiku kecuali tempat untuknya memejamkan sebelah
mata (hanya sebelah) dan padi secukupnya untuk mengisi perut? Rupa-rupanya susun lapis, tingkat dan darjat kebesaran
ini punya makna yang cukup besar. Itu baru
kutahu setelah peristiwa besar itu.
Jika sebelum
peristiwa besar itu tidak sesiapa pun yang ambil peduli dan perhatikan diriku, tapi
sejak peristiwa besar itu semuanya telah berubah; aku dijunjung julang,
diangkat, diiring, dielus belai, ditatah seperti menatang minyak yang penuh. Rupa-rupanya
akulah cak pujaan yang tidak ada duanya dalam masyarakat segala cak. Sebenarnya aku malu untuk menceritakan segala
layanan istimewa yang kuterima setelah diangkat julang itu. Bayangkan seluruh kehidupanku berubah menjadi
satu perhatian maha mega. Masih jelas dalam
ingatanku bagaimana sekelompok cak-cak raya muda dara mengekoriku ke mana saja
aku pergi. Mereka sentiasa mengamati ekorku. Aku resah tak terkatakan diperhatikan sedemikian
rupa. Semuanya jelas bila cak-cak muda
dara ini menjelaskan, “Kami tak boleh membiarkan Tok Gede ke water closet@jamban
tanpa ditemani. Itu arahan pihak tertinggi.”
Rupa-rupanya bagus
juga terlibat dan menjadi juara dalam peristiwa besar para cak raya ― Sayembara
Cak Paling Nyaring di Pokok Buluh Pinggir Huma.
Aku yang pekak dan buta sebelah mata dikatakan memiliki suara paling nyaring
dalam seluruh masyarakat cak raya itu. Sesungguhnya,
pengiktirafan, penghargaan dan juga proses melucutkannya bukan saja mengejutkan,
ia benar-benar membuat kejutan.
No comments:
Post a Comment