Dinsman (Hrkh 465, 8/1214)
Apabila
ulamak hilang keyakinan diri
Ulamak ialah orang yang
berilmu. Berilmu maksudnya tahu mana yang benar dan mana yang salah, juga mana
yang baik dan mana yang buruk. Selalunya orang yang berilmu (ulamak) itu yakin
dengan dirinya. Maksudnya dia tahu siapa dirinya dan dia juga tahu kemampuan
dirinya dan juga ketidakmampuan dirinya. Maka dia boleh mengawal dirinya agar
sentiasa berada di jalan dan landasan yang benar, yakni yang diredhai Allah.
Tetapi hari ini ramai daripada
mereka yang digelar atau menggelar diri sebagai ulamak tidak bersifat demikian.
Mereka mungkin berilmu dan tahu mana yang benar dan mana yang salah serta mana
yang baik dan mana yang buruk, tetapi mereka tidak mempunyai keyakinan diri.
Kenapa saya katakan demikian?
Kerana mereka itu hanya sekadar berilmu sahaja tetapi tidak mengamalkan ilmu
atau tidak memanfaatkan ilmu mereka. Apabila ilmu tidak diamalkan mereka tidak
akan mempunyai keyakinan diri. Maka secara sedar atau tidak akan berlakulah
perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ulamak.
Inilah fenomena ulamak pada
hari ini, menyebabkan imej mereka di kalangan masyarakat telah merosot dan
semakin hari semakin jatuh teruk. Orang ramai sudah hilang kepercayaan kepada
ulamak. Sepatutnya mereka dihormati dan dimuliakan tetapi sekarang mereka
dipandang rendah dan dihina.
Suatu waktu dulu ulamak-ulamak
di dalam PAS menuduh demikian kepada ulamak-ulamak yang di luar PAS, termasuk
yang di dalam Umno. Tetapi hari ini orang ramai menyaksikan bahawa ulamak-ulamak
di dalam PAS pun kebanyakannya sudah tidak ada bezanya dengan ulamak-ulamak di
dalam Umno, bahkan ada yang mungkin lebih buruk lagi.
Suatu waktu dulu ulamak-ulamak
di dalam PAS sangat dihormati dan dimuliakan oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya,
hingga disepakati bahawa kepemimpinan di dalam PAS adalah “kepemimpinan ulamak”.
Maka turut terpesona dan hormat kepada pemimpin-pemimpin PAS yang terdiri
daripada ulamak itu ialah golongan intelektual dan profesional, yang ramai
mendaftar diri menjadi ahli PAS pada akhir dekad 90-an.
Namun tak lama selepas itu,
selepas Presiden yang namanya Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah, tak
lama selepas itu mulailah kedengaran suatu kempen dilakukan oleh para ulamak
PAS dan penyokong-penyokong mereka, agar pemilihan pimpinan di peringkat atasan
hendaklah diberikan kepada golongan ulamak.
Saya sangat terkejut dan
kehairanan, bagaimanakah boleh terjadinya hal yang demikian itu di dalam parti
yang menegaskan dasar kepemimpinan ulamak? Apakah ulamak patut melakukan kempen
yang seperti itu, seperti yang berlaku di dalam Umno itu? Dan kenapa mereka
perlu melakukannya padahal sebelum itu tidak pernah berlaku?
Sepatutnya tokoh-tokoh dari
golongan baru yang dikenali dengan gelaran profesional itulah yang melakukannya,
kalaupun hal seperti itu akan berlaku. Tetapi tidak, bukan golongan profesional
yang melakukan kempen jawatan itu. Sebaliknya yang melakukannya ialah golongan
ulamak! Dan mereka berkempen agar golongan profesional tidak dipilih.
Kenapa mereka melakukan kempen
ala-ala Umno itu? Jawabnya ialah kerana sudah kelihatan yang tokoh-tokoh dari
golongan baru/profesional mendapat perhatian ahli-ahli dan kemungkinan akan
terpilih ke jawatan penting di dalam parti.
Jadi, apa salahnya? Bukankah
sistem organisasi parti sudahpun dimantapkan dengan dasar kepemimpinan ulamak,
iaitu melalui Majlis Syura Ulamak sebagai pemandu dasar paling tinggi, di
samping Dewan Ulamak yang sudah lama wujud?
Dan soalan yang lebih penting
lagi ialah: apakah institusi ulamak itu sendiri membenarkan kempen yang seperti
itu dijalankan?
Cuba kita lihat apakah makna
dan implikasinya kempen itu. Kempen itu ialah usaha ulamak mempengaruhi ahli
supaya memilih tokoh dari golongan mereka sendiri. Mengapa perlunya usaha ini
dilakukan? Kerana, pertama, kalau tak dilakukan dibimbangi tokoh dari golongan
ulamak itu tidak akan dipilih.
Kedua, kerana golongan ulamak
sudah berasa yang kedudukan mereka terancam oleh kehadiran tokoh-tokoh dari
golongan profesional dan intelektual. Maka mereka perlu berusaha mempertahankan
jawatan/kedudukan mereka.
Kenapakah ulamak perlu
mempertahankan kedudukan jawatan mereka sebagai pemimpin, dan kenapakah mereka
berasa yang kedudukan mereka terancam? Apakah mereka tidak percaya lagi kepada
dasar kepemimpinan ulamak yang sedia wujud di dalam parti?
Dan apakah mereka juga tidak
percaya lagi kepada keberkesanan dakwah dan tarbiyah yang sentiasa mereka
lakukan ke atas ahli-ahli sepanjang masa, yang sememangnya menjadi sebagian
daripada tanggungjawab dan amanah yang mesti mereka tunaikan itu?
Saya masih ingat lagi suatu
muktamar tahunan PAS dimana para ulamak diseru supaya mempertingkatkan peranan
mereka di dalam parti. Seruan itu timbul kerana pada waktu itu sudah dapat
dikesan yang para ulamak itu kurang berperanan, terutamanaya dalam menjalankan
dakwah dan tarbiyah, khasnya di kalangan ahli-ahli sendiri.
Dan muktamar itu ialah salah
satu muktamar terakhir dalam era Fadzil Noor, yakni sebelum berlakunya kempen
mempertahankan jawatan yang disebut di atas tadi. Mafhumnya ialah kemerosotan
‘moral’ ulamak di dalam PAS sudah mulai dikesani sejak waktu itu lagi.
Sayangnya teguran dan seruan
tersebut tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh mereka yang berkenaan.
Sebaliknya yang dilakukan ialah berkempen untuk mempertahankan jawatan, yang
boleh juga dibaca sebagai kempen untuk kepentingan diri. Dan ini berlaku
disebabkan apa? Disebabkan mereka hilang keyakinan diri.
Dan apakah faktor yang
menyebabkan mereka hilang keyakinan diri? Faktornya ialah kerana mereka mengutamakan
politik lebih daripada agama, disamping kurang beramal dan kurang memanfaatkan
ilmu yang ada pada mereka, dan juga kerana terpengaruh dengan kemilau keduniaan
(kebendaan, kemewahan dan kemasyhuran diri).
Dan kemerosotan kualiti ulamak
ini juga sedang diperhatikan di kalangan pimpinan peringkat negeri Kelantan –
kubu kuat dan benteng yang mempertahankan keutuhan gerakan Islam PAS selama
ini. Maka berwaspadalah!
(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms
019-7172408)
No comments:
Post a Comment